|
PADA Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21) menyaksikan empunya nama Lisa Surihani Mohamed pertama kalinya menjulang trofi Pelakon Wanita Harapan menerusi lakonannya sebagai Maya Borhan dalam filem I’m Not Single bersama aktor Pierre Andre.
Meniti seri pertambahan usia dalam dunia lakonan, aktres kelahiran Kuala Lumpur itu merampas trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM 23 daripada tangan Liyana Jasmay, hasil pesona watak Ayu Sidaratul Dursina dalam filem adaptasi novel Lagenda Budak Setan.
Kekal mengungguli status itu, pada tahun ini pula Lisa, 25, menerusi lakonannya sebagai Sheila dalam filem Sekali Lagi tercalon dalam kategori yang sama (Pelakon Wanita Terbaik) bersama empat lagi nama besar - Maya Karin (Cun), Eja (Janin), Tiz Zaqyah (Nur Kasih The Movie) dan Liyana Jasmay (Senjakala).
Cabaran besar dilihat apabila Lisa bakal berentap dengan juara terbaharu Pelakon Wanita Terbaik Filem Anugerah Skrin 2011, Siti Shahriza atau Eja untuk mengekalkan kemenangan tahun lalu.
Juga akui Lisa, Eja adalah pesaingnya paling kuat untuk menggalas trofi yang sama buat kali kedua tahun ini.
“Sebenarnya semua calon yang tersenarai antara lima teratas merupakan yang terbaik, tapi jujur saya katakan Eja adalah pencabar paling kuat.
“Saya tidak tekankan sangat tentang siapa yang mencabar atau tidak sebab rezeki di tangan Allah, kalau kemenangan bukan di tangan saya kali ini apapun saya tetap pasrah,” ucap Lisa yang ditemui ketika majlis pengumuman lima calon terbaik setiap kategori FFM 24 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Panjat syukur Lisa atas pencalonannya kali ini, tegasnya sandaran harapan atau kemilau trofi diletakkan atas nama rezeki.
“Saya sudah tetapkan fikiran, Alhamdulillah ini rezeki daripada Allah, tentang siapa menang serah pada-Nya, saya ucapkan tahniah kepada semua pemenang,” tekadnya yang melihat setiap pencalonannya membuka ruang dan peluang kariernya.
Lagenda Budak Setan atau Sekali Lagi
Antara kedua-dua buah filem yang dipertandingkan sama ada Lagenda Budak Setan (FFM 23) atau Sekali Lagi (FFM 24), bagaimana Lisa melihat dari skop kualiti lakonan yakni dalam konteks peluang yang lebih cerah untuk sukses?
Jawab Lisa:”Saya tidak boleh menilai filem Sekali Lagi buat masa sekarang, semua kriteria kualiti atau peluang cerah diserahkan kepada juri dan penonton untuk membuat penilaian.”
Menerusi filem Lagenda Budak Setan, Lisa yang mendukung watak Ayu merupakan seorang yang gadis berdepan persimpangan cinta atau keluarga. Dalam filem Sekali Lagi, watak Sheila menuntutnya bermain emosi dan jiwa kematangan setelah melalui fasa sukar kehidupan.
“Kedua-dua filem ini masing-masing ada tahap kesukaran tersendiri dari segi karakter dan emosi watak yang saya bawakan.
“Bagi saya setiap tawaran yang saya terima ibarat membuka buku baharu, tidak menganggap buku lama itu buruk dan tidak memberi sebarang perbandingan antara yang lama atau baharu,” jelasnya menanam falsafah.
Malah tambahnya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Istanbul Aku Datang di Turki, kematangan dan pengetahuan diperoleh bukan saja ketika di set penggambaran bahkan juga di luar.
“Ia umpama satu sistem organik menimba ilmu di dalam dan luar set, maka sebab itu juga saya tidak boleh memberikan perbandingan antara kedua-dua filem lakonan saya yang tercalon untuk FFM tahun ini dan tahun lepas,” ujarnya berkias.
Sakit seminggu
Usai menjalani penggambaran di Turki baru-baru ini, Lisa dikhabarkan jatuh sakit sehingga segala aktivitinya selama seminggu dihentikan seketika.
Tegas Lisa, sakit yang dialaminya bukan disebabkan oleh penat bekerja di set penggambaran Istanbul Aku Datang tapi oleh kerana faktor semasa persekitaran.
“Doktor telah mengesahkan ada jangkitan konjunktivitis disebabkan keadaan cuaca sekarang di Malaysia yang tidak menentu dan saya dinasihatkan untuk berehat seminggu,” khabarnya yang dirawat di sebuah hospital pakar di ibu kota selepas 10 hari pulang ke Malaysia.
Selama tempoh bekerja 20 hari di Turki tambah Lisa, pelbagai pengalaman manis berjaya dikutipnya termasuk beramah mesra dengan tenaga industri lakon layar di sana.
Selain Lisa, filem itu juga membariskan pelakon berbakat Beto Kusyairy, Aizat Amdan dan Tomok.
“Senario di sana sangat berlainan dengan kita, banyak yang dapat saya pelajari sepanjang berada di sana dan kalau nak tahu banyak hasil kerja mereka di sana lebih bercirikan kesenian,” tutur Lisa menyimpul bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: