Tuesday, November 15, 2011

Surau ganti di pusat beli-belah


MANSOR (kanan) mengetuai demonstrasi aman membantah tindakan kerajaan negeri membenarkan Madrasah Salihiah Kanchut dirobohkan ketika majlis pecah tanah Kompleks Aman Central dijalankan di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan menggantikan Madrasah Salihiah Kanchut di Jalan Tambang Badak di sini yang dibina di atas tanah wakaf dengan surau baharu di dalam pusat beli-belah Kompleks Aman Central yang akan dibangunkan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perkara tersebut sudah mendapat persetujuan Majlis Fatwa Kedah dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) yang merupakan pemegang amanah tanah wakaf dan masjid.

Katanya, pemaju projek, Kumpulan Belleview akan membina surau itu di tingkat bawah kompleks dengan ciri-ciri Islam ditonjolkan pada persekitaran surau.

"Surau baharu ini mampu menampung 400 jemaah pada satu-satu masa. Ia memudahkan pengunjung beragama Islam yang datang membeli-belah untuk menunaikan solat.

"Saya tidak nampak wujud apa-apa masalah. Kalau kita salah, tentu Majlis Fatwa negeri tidak terima dan MAIK tidak terima duit pampasan," katanya selepas merasmikan upacara pecah tanah Kompleks Aman Central di sini semalam.

Aman Central yang menempatkan pusat komersial menelan kos RM500 juta dijangka siap pada suku keempat 2014.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan pihak pengurusan Madrasah Salihiah Kanchut merayu kerajaan negeri menangguhkan arahan pengosongan rumah ibadat berusia 100 tahun itu bagi memberi laluan kepada pembangunan Plaza Tunku Yaacob yang terletak dalam kawasan projek Aman Central.

Pengurusan madrasah mahu keputusan muktamad dan relevan berhubung status madrasah itu yang diharap dapat dikekalkan di situ tanpa sebarang pengambilan tanah atau merobohkan struktur bangunan sedia ada.

Sementara itu, majlis pecah tanah berkenaan dicemari dengan demonstrasi melibatkan kira-kira 30 kariah Madrasah Sahiliah Kanchut yang membantah keputusan kerajaan negeri mengambil tapak dan bangunan madrasah untuk projek komersial.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: