Saturday, November 19, 2011

Norman tawar hati dengan FFM 24?


NORMAN ABDUL HALIM


SELEPAS filem Magika terbitan KRU Studios berjaya memenangi tujuh kategori daripada 12 kategori yang dicalonkan pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM 23). Tahun ini, KRU Studios sekali lagi mencipta rekod apabila filem Hikayat Merong Mahawangsa tercalon menerusi 12 pencalonan daripada 23 kategori yang dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM 24)) yang bakal berlangsung pada esok, 20 November di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Norman Abdul Halim ketika ditemui selepas sidang akhbar filem Cinta Kura-Kura di Cineleisure, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini menyatakan perasaan syukur kerana sekali lagi menerima pencalonan sebanyak 12 kategori untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa pada FFM 24.

Walaupun pernah berasa tawar hati untuk bertanding dalam FFM 24 setelah kemenangan filem Magika pada FFM 23 dipertikaikan banyak pihak, namun dia tetap merasa gembira dan bersyukur.

“Saya bersyukur filem Hikayat Merong Mahawangsa mendapat pencalonan luar biasa dalam pertandingan FFM 24 tahun ini.

“Untuk mengulangi perkara yang serupa seperti tahun lepas ia sesuatu yang sukar. Namun, saya percaya pada rezeki.

“Magika menang banyak anugerah dan kami menerima banyak maklum balas. Sehinggakan saya tawar hati untuk bertanding sebab bila menang orang tetap pertikaikan dan bila kalah pula mereka bagi persepsi sebaliknya,” katanya.

Mujurlah, kata Norman, Yusry dan Edry menguatkan semangatnya untuk terus bertanding. Norman juga menganggap sistem penjurian adalah subjektif di mana setiap juri mempunyai kriteria tersendiri. Disebabkan itu, orang tidak dapat meramal keputusan juri.

Pembakar semangat

Begitupun, Pengarah Urusan KRU Studios dan juga Penerbit Hikayat Merong Mahawangsa itu menganggap pencalonan tersebut sebagai pembakar semangatnya untuk menghasilkan lagi filem-filem bermutu di masa akan datang.

Lebih mengujakan, katanya, Yusry juga berjaya menempatkan diri dalam kategori Pengarah Filem Terbaik untuk filem epik tersebut.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan filem Hikayat Merong Mahawangsa, pada mulanya dia mengaku tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Saya tidak letak harapan yang tinggi pada filem ini kerana ia bukan 100 peratus berbahasa Melayu. Cuma 60 peratus sahaja dan selebihnya berbahasa Inggeris. Saya pun tidak pasti sama ada ia layak bertanding sebagai filem berbahasa Melayu atau tidak. Tapi, tak sangka akhirnya dapat 12 pencalonan. Ini satu pencapaian yang luar biasa. Ia adalah pengiktirafan dalam industri perfileman tempatan.

Dalam pada itu, Norman juga memberitahu kini pihak KRU Studios sedang menyasar untuk menerbitkan sebanyak 50 buah filem berkualiti dalam masa tiga tahun.

Norman juga merancang untuk menambah tenaga produksi, terutama krew yang bertanggungjawab untuk menghasilkan skrip terbaik sekali gus menghasilkan filem yang baik.

“Untuk tahun yang akan datang kami ingin meletakkan sasaran untuk mengeluarkan 50 buah filem dalam masa tiga tahun. Ia termasuk filem bergenre bahasa Inggeris, Cina dan Tamil.

“Disebabkan itu, pihak KRU Studios sedang dalam proses menubuhkan sebuah unit khas untuk mengumpul material dari segi skrip,” katanya.

Bercerita tentang filem Cinta Kura-Kura, Norman memberitahu, filem itu merupakan salah satu filem yang diterbitkan untuk tujuan komersial. Filem itu dibintangi oleh Tiz Zaqyah, Aeril Zafrel, Zizan Raja Lawak, Shy8, Fara Fauzana dan Fizz Fairuz.

“Filem Cinta Kura-Kura ini diarahkan oleh pengarah baharu iaitu Nizam Zakaria dan ia akan ditayangkan pada bulan Mac 2012. Kami juga mempunyai beberapa strategi untuk menerbitkan filem untuk tujuan pertandingan atau komersial,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: