Saturday, November 19, 2011

Eksentrik Widuri Bob Tutupoly


KERJASAMA. Bob bersama pemilik Erama Records, Datuk Md. Efendi Hamdan.


54tahun bukan tempoh masa singkat untuk berkhidmat menghiburkan orang ramai. Begitu juga pada usianya yang baru saja mencecah ke angka 72 pada 13 November lalu. Katanya: “Selama boleh menyanyi maka saya menyanyilah.”

Kekuatan untuk bertahan dari zaman ke zaman yang bersilih ganti diakui Bob atas dasar sokongan peminat.

“Lebih 50 tahun menyanyi, kita hiburkan orang dan bagi apa yang mereka mahu. Apa yang orang sekarang jarang buat adalah pergi kepada mereka dan menyanyi. Di situ letaknya sumber kekuatan saya,” ujarnya yang ditemui ketika sesi minum petang dan pelancaran single terbaharu Melodi Cinta di Hotel Legend, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bob atau nama sebenarnya Bobby Willem Tutupoly masyhur dengan lagu Widuri dan tidak sah jika dalam apa jua undangan dia tidak menyanyikan lagu ‘berhantu’ itu.

Selain itu lagu-lagu seperti Lidah Tidak Bertulang, Tiada Maaf Bagimu dan Tinggi Gunung Seribu Janji turut meniup namanya di seluruh Nusantara.

“Lagu Widuri dimestikan dalam setiap acara, sudah jadi sinonim, walau sudah lama tapi sentiasa diperbaharui seperti lagu Getaran Jiwa,” bicara Bob.

Sepanjang tempoh menyanyikan lagu nostalgia itu, Bob tidak terlepas daripada berdepan situasi yang melucukan dan mungkin dianggap aneh baginya.

“Bayangkan pernah sekali saya terlupa lirik lagu Widuri sebab terlalu kerap menyanyikan lagu itu. Sehingga saya terpaksa tanya pemuzik di sebelah apa kata-kata pertama lagu itu,” ceritanya mengenai lagu yang dirakam 35 tahun lalu itu.

Ada juga kisah unik yang berlaku di sebalik penghasilan lagu Widuri sebenarnya. Katanya kalau bukan kerana seorang budak daif yang memintanya menyanyikan lagu itu nescaya tiada apa yang ada pada Widuri hingga ke hari ini.

“Widuri dirakam tahun 1977 selepas balik dari New York. Masa itu sudah sembilan lagu selesai dirakam dalam piring hitam. Tiba-tiba datang seorang budak meminta saya nyanyikan sebuah lagu, tapi orang-orang lain ketika itu tidak kasi.

“Tapi saya bertegas untuk nyanyikan lagu itu dan akhirnya lagu terakhir itu yang popular dan penerbit datang ucapkan tahniah pada saya,” singkapnya yang percaya pada tuah.

Tegasnya lembut: “Saya adalah seorang yang bertuah, segalanya berjalan lancar dalam karier dan kehidupan, sesungguhnya orang tidak boleh hidup tanpa tuah.”

Ditanya adakah Bob punyai rahsia sendiri untuk menjaga suara hingga kekal selama tempoh lebih separuh abad, tuturnya ringkas: “Tiada pantang!”

“Saya tak pernah jaga suara, saya minum apa yang saya mahu dan tak ada pantang,” itu jawab penyanyi yang merangkap pelakon filem Gli Innamorati Della Becak (Kisah Cinta si Tukang Becak, 1958), Penasaran (1977) dan Sebelah Mata (2008).

Bob yang bertandang ke tanah Malaysia demi kerjasamanya dengan Erama Records mempromosikan single terbaharunya berjudul Melodi Cinta.

Single itu turut termuat bersama sembilan buah lagu lain dalam album yang dijangka diterbitkan pada awal tahun depan.

“Lagu ini menceritakan perasaan terharu dan terima kasih saya kepada peminat, sebagai artis tanpa peminat siapa kita,” katanya yang akan memasarkan album itu di Malaysia terlebih dahulu sebelum ke negaranya Indonesia serta Brunei.

Ada sebab mengapa pilihan itu dibikin Bob. Dia sebenarnya kesal dengan isu cetak rompak yang membadai industri kreatif terutama muzik Indonesia.

“Melodi Cinta diterbitkan eksklusif di Malaysia dulu sebagai tanda penghormatan saya, di Indonesia banyak masalah pembajakan (cetak rompak), kalau tunggu lagi sampai kapan (bila)?

“Pembajakan tidak akan hilang dan saya akan makin tua dan mungkin saya yang akan hilang dulu, now or never!” gesa Bob.

Bob menambah, kadangkala dia turut berputus asa akibat masalah tersebut dan tambah mendukacitakan apabila dalam tiga album yang dipasarkan di sana cuma satu saja daripadanya yang benar-benar asli.

Antara lagu yang terkandung dalam album Melodi Cinta adalah Ku Tetap Mencintaimu, Kemuning, Di Mana dan Widuri yang akan dinyanyikan dalam bahasa asing.

Bob pernah berasa kesal dan merajuk untuk terus menyumbang bakat dalam nyanyian, kerana terasa dipinggirkan.

“Penyanyi-penyanyi lama sudah makin dipinggirkan, kalau mahu terus kekal kena ada isu-isu sensasi, malah untuk siapkan album pun perlu keluarkan wang sendiri,” katanya yang berminat jika diberikan peluang berduet dengan penyanyi Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: