|
SEJAK di bangku sekolah, Jamilah Salihin, 52, menceburkan diri dalam bidang tarian dan muzik bagi mengikuti jejak langkah ayahnya yang juga merupakan seorang pemuzik.
Wanita yang berasal dari Johor Bahru itu memiliki kemahiran bermain violin dan jodoh juga mempertemukan dirinya dengan lelaki yang berkecimpung dalam kancah muzik.
Perkahwinan yang dibina mengurniakan Jamilah dan suami, Shafei Ali, 59, tujuh orang cahaya mata. Setiap daripada mereka dilatih sejak kecil untuk mengikut darah seni kepunyaan ibu bapa mereka.
Jamilah memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan seimbang, baik dari segi ilmiah mahupun kemahiran hidup yang lainnya. Keputusan membentuk anak-anaknya ke arah bidang seni mungkin kedengaran sedikit mendesak tetapi bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebung.
Hasil kesabaran dan usaha Jamilah serta suami membimbing setiap langkah putera dan puteri mereka kini dirasakan berhasil. Impian melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang seni telahpun dijelmakan.
“Bukan niat saya memaksa anak-anak menjadi seperti saya dan suami tetapi ia merupakan satu cara untuk melatih mereka menjadi individu yang memiliki kemahiran tersendiri di samping pencapaian dalam pelajaran.
“Pada awalnya, memang ada dalam kalangan mereka yang degil dan enggan mengikuti kelas-kelas muzik dan tari. Tetapi sebagai ibu, saya harus bijak memujuk dan menerangkan sebaiknya di sebalik keputusan tersebut.
“Alhamdulillah, kini mereka semua tidak lagi merasakan paksaan. Mungkin dulu mereka rasakan sebagai bebanan buat diri mereka, namun sekarang masing-masing telah menunjukkan kecintaan dalam bidang seni,” teratur sahaja bait-bait ayat suri rumah sepenuh masa itu saat ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Mengimbas kembali detik-detik awal menghantar anak-anaknya ke kelas tarian di Swatari milik komposer terkenal, Suhaimi Mohd. Zain atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ngah, hampir kesemua anaknya terutamanya yang lelaki menolak sekeras-kerasnya pilihan Jamilah.
Biarpun keberatan pada mulanya, lama-kelamaan mereka mula berasa seronok dan semakin mahir melakukan pelbagai gerak tari tradisional dan moden.
Menari di AS

Buktinya, anak bongsu Jamilah, Abd. Malik Shafei, 14, terpilih sebagai salah seorang peserta daripada 10 kanak-kanak yang terlibat mewakili Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) bagi mempromosi pelancongan negara di sana tahun lalu.
Berkampung selama 10 hari di negara itu, Malik berasa cukup bertuah kerana penglibatannya itu juga memberikan kesempatan buat dirinya bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang mengetuai program tersebut.
“Sekarang saya telah menguasai gerak tarian zapin, joget, inang dan beberapa lagi tarian tradisional lain.
“Tetapi minat saya lebih kepada bidang muzik dan cita-cita saya adalah menjadi seorang pemain trompet profesional,” jelasnya yang memegang posisi sebagai pemain trompet untuk pancaragam sekolahnya, SMK St. John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur.
Sementara itu, abangnya, Mohd. Arif Shafei, 15, yang memulakan perjalanan seni seawal umur lapan tahun, turut meminati trompet dan bercadang untuk meningkatkan kemahiran meniup instrumen itu ke peringkat yang lebih tinggi.
Dunia tarian dirasakan agak janggal bagi Arif pada awal penglibatannya. Dia mengakui, minat terhadap jurus kesenian itu tidak datang dengan sendirinya.
“Memang kena paksa masuk kelas tarian tetapi selepas saya dapat menguasai beberapa jenis tarian, saya mula rasa seronok terutama sekali ketika melakukan persembahan.
“Setakat ini saya telah mengiringi persembahan Aizat ketika malam Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak lama dahulu untuk lagu Kau Dan Aku yang memenangi Persembahan Terbaik. Saya juga perah menjadi penari cilik untuk mengiringi penyanyi Syazliana ketika AJL pada tahun 2002,” ujarnya yang juga mempunyai hobi memancing.
Anak keempat Jamilah, Mohd. Rizdwan Shafei, 21, kini berkhidmat sebagai pemuzik di Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di samping ayahnya.
Sejurus tamat persekolahan, Ridzwan bekerja sebagai artis budaya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama tiga tahun sebagai pemuzik.
Menyeronokkan
Pendedahan awal terhadap bidang seni memudahkan Ridzwan diterima mana-mana organisasi yang memerlukan kumpulan kebudayaan. Dia seringkali dijemput melakukan persembahan tarian dan bermain alat muzik bersama-sama ahli keluarganya.

“Kami sekeluarga pernah menjayakan persembahan di beberapa majlis dan yang terbaharu adalah pada hari raya lalu di Dewan Perdana Felda.
“Ketika itu, ayah bermain muzik dan kami mengiringinya dengan tarian tradisonal. Ia merupakan momen paling menyeronokkan dan amat berharga,” kata Ridzwan yang amat menghargai momen kebersamaan dengan keluarga sebegitu.
Berbeza dengan adik-beradiknya yang lain, Siti Saadiah Shafei, 19, memberitahu bahawa minatnya condong kepada bidang tarian kerana menerusi bidang itu, dia dapat menyertai pelbagai majlis-majlis besar dan pergi ke tempat-tempat menarik.
Sejak kecil, anak-anak seni itu telah menerima pelbagai pujian dan sindiran daripada teman-teman sekolah terutama lelaki yang menganggap bidang tarian hanya sesuai dilakukan budak perempuan sahaja.
Pun begitu, ia tidak menjejaskan disiplin mereka untuk terus mendalami bidang muzik dan tari dan hari ini majoriti sahabat mereka cukup mengagumi kelebihan serta kebolehan yang mereka miliki.
Anak-anak Jamilah yang telah tamat persekolahan kebanyakannya melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Ridzwan dan Saadiah umpamanya, memiliki sijil muzik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Nur Fazilah Shafei, 26, selaku anak sulung keluarga itu pula kini selesa bekerja di luar bidang seni yang telah menjadi darah dagingnya sejak kecil lagi.
Walaupun tidak lagi aktif, Fazilah tidak boleh mengelak kerinduannya terhadap alatan muzik kegemarannya, violin dan masih lagi mengasah bakatnya itu di saat-saat tertentu.

“Tidak mudah membuang perkara yang kita gemari macam itu sahaja, jadi saya masih tetap meluangkan masa bermain violin bersama-sama ibu dan ayah di rumah,” tuturnya yang pernah menyertai beberapa teater di Istana Budaya satu ketika dulu.
Melihatkan anak-anak yang sudah besar, Jamilah merasakan keputusan untuk masa depan anak-anaknya telah pun dilaksanakan dan kini terpulang kepada mereka untuk membawa diri dan memilih yang terbaik dalam kehidupan.
“Saya tidak marah jika ada dalam kalangan mereka yang mahu bekerja di luar bidang seni kerana tujuan utama saya menghantar mereka ke kelas-kelas seni itupun bagi mengisi masa lapang mereka.
“Sekurang-kurangnya apabila mereka habis kelas di sekolah, masa mereka akan diisikan pula dengan kelas seni di luar dan menjelang malam, mereka perlu mengulang kaji pelajaran.
“Jadi tiada masa bagi mereka untuk merayau dan melakukan aktiviti tidak berfaedah ketika itu. Saya gembira kerana hari ini mereka mengerti tujuan sebenar saya berbuat demikian,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: