Friday, November 18, 2011

Merah jambu Oktober terus diingati


PARA peserta yang menghadiri The Pink Pamper Party 2011 tampil ayu, jelita dan anggun dengan busana merah jambu.


SEPANJANG bulan Oktober lalu, banyak lokasi diwarnai aura merah jambu kerana semua sedia maklum bahawa bulan tersebut merupakan bulan kesedaran kanser payudara.

Banyak hospital mahupun organisasi mengadakan pelbagai aktiviti bagi menyebarluaskan mesej mengenai bahaya kanser payudara yang merupakan pembunuh utama wanita. Ia juga menggalakkan kaum Hawa menjalankan pemeriksaan mamogram berkala.

Tidak ketinggalan, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) turut menganjurkan kempen seumpama itu yang dinamakan Wear It Pink & Charity Bazaar and Pampering Session bertempat di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar pada 8 Oktober lalu.

Kempen tersebut yang bermula seawal pukul 9 pagi hingga 5 petang bertujuan memberikan pendidikan dan kesedaran kepada lebih ramai wanita di semua peringkat umur mengenai kepentingan pemeriksaan payudara.

Dirasmikan oleh isteri Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datin Nafesah Raja Nong Chik Abidin, program tersebut kali ini berkolaborasi dengan Kelab Harvard Malaysia.

Hasil kerjasama tersebut awal tahun lalu menawarkan 300 ujian mamogram digital percuma kepada wanita yang kurang berkemampuan dan golongan orang kelainan upaya di Semenanjung Malaysia.

Namun sempena kempen kali ini, PHKL melakukan pelbagai aktiviti dan jualan amal bagi membantu menyokong Kinabalu Breast Cancer Support Association.

PHKL menyumbangkan sejumlah wang tunai bernilai RM10,000 dan lagi RM10,000 dalam bentuk coli dan prostesis kepada persatuan tersebut.

Kempen Wear It Pink tersebut ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Ia bukan sekadar sambutan yang biasa-biasa, malah terdapat beberapa kios yang menampilkan beberapa produk kecantikan, menawarkan urutan, rawatan kuku dan jualan kek cawan.

Selain itu, bagi mereka yang mahu menghias tangan mereka, perkhidmatan ukiran inai turut disediakan.

Demonstrasi

Dalam pada itu, kios informasi mengenai kanser payudara dikerumuni ramai pengunjung bagi mendapatkan risalah tentang kanser tersebut. Pada masa yang sama, demonstrasi mengesan ketulan pada payudara turut diadakan.

Suasana di dewan komuniti tersebut gamat apabila bermulanya pertunjukan fesyen yang pakaian para peragawati kanser survivor dengan gandingan selebriti lelaki ditaja oleh Bread & Butter Butique dan Yayasan Songket Tuanku Nur Zahirah.

Wajah peragawan dan peragawati yang mengambil bahagian diserikan lagi dengan dandanan rambut serta mekap oleh Kool Kutz Inc. dan Skin Food.

Sejajar dengan kempen tersebut, PHKL menawarkan pakej mamogram pada harga RM90 bagi mamogram analog dan RM160 untuk mamogram digital sehingga bulan November ini. Ujian ketumpatan tulang secara percuma diberikan kepada 100 wanita berusia 55 tahun ke atas yang melakukan ujian mamogram digital.

Seorang pesakit kanser yang kini beransur pulih, K. Sugunawathy, 54, berpendapat, kempen dan program mengenai kanser payudara perlu dijalankan dengan meluas bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.


RATU Cantik Malaysia, Soo Wincci, turut memeriahkan The Pink Pamper Party 2011 di Pusat Perubatan Tropicana baru-baru ini.


“Tidak seperti dahulu, kini ramai anggota masyarakat sedar mengenai kanser ini. Banyak persatuan sokongan diwujudkan bagi memberikan maklumat dan motivasi kepada wanita-wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara.

“Jangan biarkan kanser musnahkan kebahagiaan anda, Jalani rawatan seperti yang disarankan oleh doktor dan yang penting berfikiran positif!,” katanya yang sudah 12 tahun hidup bergelumang dengan kanser selepas didiagnosis pada 3 Disember 1999.

Tahun ke-10

Pengerusi Penganjur kempen tersebut, Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz memberitahu tahun ini masuk tahun ke-10 PHKL menganjurkan kempen seumpama itu.

Setiap tahun pelbagai aktiviti menarik dirangka bagi mengalu-alukan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat swasta serta orang ramai mengambil bahagian bagi menunjukkan keprihatinan mereka terhadap mereka yang menghidapi kanser tersebut.

“Ramai wanita kini segan untuk menjalani pemeriksaan selain tidak mendapat informasi yang tepat mengenai kanser ini. Ada yang mengatakan, ‘jika terdapat ketulan pada payudara tetapi tidak menyakitkan, tidak perlu berjumpa dengan doktor’, walhal ia adalah sebaliknya.

“Berjumpalah dengan doktor dan lakukan pemeriksaan kerana ia mampu menyelamatkan nyawa. Semua orang tidak kira gender perlu ambil tahu mengenai kanser ini,” serunya.

Pada tarikh 22 Oktober lalu, Pusat Perubatan Tropicana (TMC) dan The Curves, Kota Damansara telah mengadakan The Pink Pamper Party 2011.

The Pink Pamper Party 2011 dianjurkan bersama rakan niaga kosmetik Avon dan Syarikat Bekalan Air Selangor dengan sokongan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia

Penghargaan

Ia bertujuan menghormati dan menunjukkan penghargaan kepada semua wanita terutamanya buat para survivor kanser payudara.

Suasana auditorium di tingkat tujuh pusat perubatan tersebut ibarat pesta yang dipenuhi hadirin memakai pakaian rona merah jambu.


HADIRIN tidak melepaskan peluang turut serta dalam demonstrasi tatarias yang diadakan di The Pink Pamper Party 2011.


Keseronokan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kuiz dan cabutan bertuah membuatkan hadirin lupa seketika terhadap ‘musuh’ yang sudah banyak mengorbankan nyawa wanita.

Masing-masing menunjukkan semangat dan sangat teruja dengan sesi perkongsian pengalaman oleh kanser survivor, Koo Soo Ming dan Salmah Yunus.

Atmosfera riuh-rendah memenuhi ruang auditorium dengan sorak-sorai lebih 200 hadirin apabila sesi senamrobik atau menari beramai-ramai dimulakan dengan langkah tari mengikut rentak lagu Waka Waka oleh penyanyi Shakira.

Perjalanan majlis hari tersebut turut terisi dengan slot informasi berguna mengenai kanser payudara oleh Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan, Dr. Surinder Singh.

The Pink Pamper Party 2011 yang dimeriahkan dengan kemunculan Ratu Cantik Malaysia 2008, Soo Wincci dan pengacara, model serta pelakon terkenal, Dynas Mokhtar bertujuan mengumpul dana untuk NCSM.

Ketua Pegawai Operasi TMC, Erica Lam memberitahu tahun ini merupakan tahun pertama TMC mengadakan kempen sedemikian dan sambutannya sangat menggalakkan.

“Diharapkan program seperti ini dapat meningkatkan tahap kesedaran orang awam mengenai kanser payudara selain menyebarkan mesej mengenainya.

Parti bertemakan merah jambu itu dimeriahkan dengan pelbagai sesi manja diri secara percuma seperti rawatan kuku, pembuangan bulu, urutan dan pelbagai lagi kiosk disediakan selain menawarkan tip pemeriksaan payudara.

Sebanyak RM5,000 dana berjaya dikumpulkan untuk diserahkan kepada NCSM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: