Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Selangor, anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), menyasarkan 300,000 pengunjung selama tiga hari yang akan berakhir esok.
Pameran yang diadakan di Stesen Mardi Jalan Kebun, Kampung Jawa, Klang menyaksikan pelbagai pameran daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS); pembeli; pembekal; pencipta teknologi; dan pengusaha sektor pertanian dari seluruh negeri berkumpul mempamerkan hasil tani, teknologi dan produk terkini.
Pengarah Fama Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mansor Omar berkata, pameran ini merupakan inisiatif kerajaan membantu mempromosikan produk dan teknologi tempatan kepada umum.
“Pameran ini merupakan yang pertama diadakan di stesen ini, disertai 45 kedai jualan makanan, hasil tani dan anak benih yang rata-rata terdiri daripada usahawan negeri Selangor dan 20 kedai pameran lain oleh agensi kerajaan.
“Terdapat juga sembilan agensi kerajaan dan tiga jabatan turut serta bagi membantu pengunjung yang datang pada hari tersebut,” katanya.
Menurutnya, pengunjung bukan sahaja berpeluang membeli barangan tani dan makanan, malah turut berkesempatan berjumpa dengan agensi tertentu bagi mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan untuk memulakan perusahaan.
Mansor berkata, Fama menjemput orang ramai untuk tidak melepaskan peluang berkunjung ke pameran ini yang akan bermula pada jam 10 pagi hingga 10 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: