Monday, November 21, 2011

Mahu Cemerlang Ubah Nasib Keluarga

MELIHAT negara menyambut Hari Kanak-Kanak pada Oktober baru-baru ini membuatkan Nooramalina Zakaria, 16, tersenyum sendiri.

Ina mahu keluar dari kelompok kemiskinan.

Mana mungkin dia dapat melupakan sambutan tersebut kerana dia sendiri pernah menjadi sebahagian daripada kanak-kanak yang menyambut temasya ini.

Pada waktu itulah dia bersama kanak-kanak lain tanpa mengira latar keluarga diraikan, menjadikan diri terasa lebih dihargai. Dari luaran, Nooramalina nampak seperti kanak-kanak biasa.

Ketika ditemuramah Mingguan mStar, tuturnya diatur sebaik mungkin, sopan, namun yakin menjawab soalan yang diajukan.

Namun, zaman kanak-kanaknya tidak sebaik kanak-kanak lain. Sejak usianya lima tahun, tiada lagi insan bergelar bapa dalam dirinya.

Dari situlah episod kesusahan mula menghimpit keluarganya.

“Ayah tinggalkan kami begitu sahaja. Emak kerja sebagai pengawal keselamatan. Kami ada empat adik-beradik, tak mungkin emak dapat tanggung kesemuanya,” kata pelajar tingkatan empat ini kepada Mingguan mStar.

Terabai, dan faham situasi yang melanda keluarganya ketika dia berusia 10 tahun, dia dan adiknya akur apabila dihantar ke Rumah Kanak-Kanak (RKK) Tengku Budriah, Cheras, sebelum dihantar ke RKK Rembau setahun kemudian.

Nooramalina yang lebih selesa disapa sebagai Ina berkata, sudah menjadi cita-citanya untuk masuk ke sekolah berasrama, tetapi tidak pernah terlintas di fikirannya memasuki asrama berbentuk perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Disebabkan sedar kesusahan keluarga, saya reda dan belajar dengan hati terbuka,” katanya.

Memperoleh keputusan 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia berazam mengekalkan keputusan yang baik itu dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) walau menghadapi banyak dugaan.

Melihat kakaknya berjaya masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berserta dorongan ibu, semangatnya untuk mencipta kejayaan semakin berkobar-kobar.

“Kakak pun tinggal di RKK dan dia berjaya. Saya mahu jadi macam dia atau lebih baik daripada dia,” katanya.

Berkat kesungguhannya, dia mendapat 6A 1B dan 1C dalam PMR baru-baru ini.

Sebagai kanak-kanak yang dikategorikan sebagai terabai, anak ketiga daripada empat adik-beradik ini mengaku tertekan dengan masalah yang menimpa keluarganya.

Dalam masa yang sama, semangat untuk keluar dari kelompok kemiskinan juga berkobar-kobar menyebabkan dia bangkit.

“Saya tanamkan dalam diri saya tak semestinya keluarga saya susah saya tak boleh berjaya. Tak kira di mana pun ditempatkan, paling penting kita ada minat untuk belajar,” katanya.

Seperti pelajar normal, dia juga terdedah dengan dugaan yang datang dari rakan dan persekitaran.

“Tak semua di RKK betul-betul nak belajar. Bila saya dan beberapa rakan lain buat ulang kaji, ada yang sindir dan cuba jatuhkan semangat kami.

“Mujurlah penjaga yang mengasingkan kami dengan kelompok ini,” katanya sambil berterima kasih kepada bekas penjaganya yang banyak membantu.

Tamat PMR tahun lalu, dia bersama adiknya kembali ke pangkuan ibu dan bersekolah di sekolah biasa bagi meneruskan perjalanan hidup yang masih panjang.

Di sebalik apa yang berlaku, dia bersyukur kerana berpeluang meneruskan persekolahan dengan bantuan kerajaan.

Keluarga bermasalah bukan gelap masa depan

Noorhafiza terpaksa lari dari rumah demi masa depan.

MULA-mula dimasukkan ke rumah perlindungan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) rasa rendah diri menyelubungi diri Norhafiza Musa, 26.

Saban hari dia menangis mengenang nasib diri, malah dia juga takut ke sekolah bertemu rakan-rakan.

Penderitaannya bermula sejak ayah tercinta pergi meninggalkan mereka sekeluarga ketika dia berusia sembilan tahun.

Tertekan kehilangan suami tercinta, ibunya mahu menghentikan persekolahan mereka adik-beradik dan menjalinkan hubungan sulit dengan seorang warga Bangladesh.

“Bila dapat tahu kami adik-beradik akan diberhentikan, saya dan kakak lari dari rumah dan mengadu nasib dengan guru.

“Ibu pernah ugut kami jika enggan menurut perintahnya dia meminta kami adik-beradik keluar dari rumah,” dia mengimbas detik hitam yang pernah dilaluinya.

Ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Spastik, Mantin selama beberapa bulan, mereka kemudiannya dihantar ke RKK Tengku Budriah, Cheras pula sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sepanjang berada di sana pelbagai pahit getir perlu diharungi. Lebih memilukan, ibu atau saudara-mara tercinta sekali pun tidak pernah datang menjenguk.

Justeru, dia bersama kakak hanya menumpang kasih penjaga dan keluarga angkat yang sudi melayan mereka seperti keluarga sendiri.

Sebagai kanak-kanak dan faham erti kasih sayang keluarga, Norhafiza mangaku hidupnya tidak terlepas daripada bertemankan air mata.

“Sehinggalah satu tahap saya kekeringan air mata. Saya berfikir kalau saya terus menangis ia tak akan mengubah apa-apa. Sampai bila saya kena harapkan simpati orang,” jelasnya.

Selepas tamat SPM, dia kemudiannya tinggal bersama abangnya yang pada masa itu telah berkeluarga.

Jika zaman persekolahannya dia diberikan bantuan, kini sudah tiba masanya dia berdikari dan mencari rezeki sendiri.

Berbekalkan ilmu dan didikan yang diterima, dia ditawarkan belajar di Kolej Kejururawatan Pulau Pinang.

“Sukar untuk mendapatkan penjamin kerana saya terputus hubungan dengan keluarga. Mujurlah ada abang dan abang angkat saya,” katanya.

Kini, Norhafiza berjaya bergelar jururawat dan ditempatkan di Unit Penjagaan Kritikal (CCU).

Dia yang telah mengharungi tekanan perasaan sejak zaman kanak-kanak dan faham erti kesusahan kini lebih cekal dan yakin untuk menempuh hari mendatang.

Namun, dia sekali lagi diduga apabila ibunya yang tidak pernah ditemui selama 10 tahun ditemui semula tahun lepas.

“Makcik telefon saya beritahu emak sedang terlantar sakit. Sebagai anak, saya sangat teruja kerana dapat bertemu semula ibu.

Sebaik sampai di hospital saya menangis teresak-esak melihat keadaan ibu.

“Paling sedih, ibu sikit pun tak gembira melihat saya. Reaksinya seperti tiada apa-apa yang berlaku antara kami,” ujarnya.

Simpati terhadap ibu, Norhafiza menunaikan tanggungjawabnya sebagai anak dengan membawa ibunya menetap dengannya.

“Masa tinggal dengan saya pun ibu pernah tinggalkan rumah dan pergi ke rumah teman lelakinya di Seremban menaiki komuter.

“Nyata ibu tak berubah walaupun umurnya sudah 58 tahun. Sebagai anak saya berserah dan mendoakan yang terbaik untuk ibu,” katanya.

Norhafiza menasihatkan kanak-kanak yang senasib dengannya supaya memikirkan masa depan.

“Tinggal di rumah kebajikan tak bermakna gelap masa depan. Kita kena sayang diri sendiri dan bersedia untuk berubah.

“Halangan yang datang hanya sementara. Pasti ada kejayaan di penghujungnya,” ujarnya.

Kesedihan beri semangat belajar di Jordan

Walau pernah ketinggalan pada zaman kanak-kanak, Noorfarizan tetap berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara.

NOORFARIZAN Mohd Rani, 33, boleh berbangga dengan kejayaannya hari ini.

Dia kini bergelar pendidik, dengan kelulusan Ijazah Syariah Islam dari University of Jordan.

Namun zaman kanak-kanak anak sulung dari empat adik-beradik ini cukup tragis.

Ketika berusia sembilan tahun dia terpaksa berhenti sekolah kerana menjaga ibunya yang menderita sakit dan tidak mampu menyara persekolahan mereka adik-beradik.

Manakala ayahnya pula telah meninggalkan mereka sekeluarga tanpa sebarang berita.

“Saya anak sulung, tanggungjawab saya sangat berat. Saban hari saya menangis dan adik-adik hanya melihat tanpa bertanya apa-apa.

“Ke mana sahaja kami ditempatkan, mereka hanya menurut,” katanya kepada Mingguan mStar.

Bekas penghuni RKK Tengku Budriah, Cheras dan Rumah Tunas Harapan (RTH) Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor ini bagaimanapun bertuah kerana mendapat penjaga yang mampu memberikan kasih sayang seorang ayah dan ibu kepada mereka.

“Mereka anggap kami adik-beradik seperti keluarga sendiri. Walaupun mereka ada anak kandung, kami tak pernah disisihkan.

“Sekarang saya telah berkeluarga, saya tetap balik ke rumah ayah dan ibu di Kuala Selangor,” jelasnya.

Sebagai kanak-kanak yang pernah merasai bagaimana peritnya hilang tempat bergantung, Noorfarizan mengakui tidak terlepas daripada perasaan sedih dan rendah diri.

Bagaimanapun, kesedihan tersebut jugalah yang membawa dirinya bangkit untuk meneruskan perjuangan dalam hidup.

“Bukan semua kanak-kanak yang membesar dalam keluarga normal berjaya. Setiap kanak-kanak ada halangan sendiri. Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tak patut rasa diri mereka malang, malah saya rasa mereka amat bertuah kerana mendapat bantuan sepenuhnya,” dia memberi pendapat.

INFO

Rumah Kanak-Kanak (RKK) dan Rumah Tunas Harapan (RTH)

> RKK adalah institusi yang memberi pemeliharaan, jagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak yang tiada penjaga atau menjadi mangsa penderaan dan pengabaian. > RKK diwartakan sebagai “tempat selamat” di bawah seksyen 54(1) Akta Kanak-Kanak 2001 oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.> Sehingga kini terdapat 11 RKK di seluruh negara.> Objektif: Memberi jagaan gantian kepada kanak-kanak dan menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan fizikal, emosi sosial dan mental yang sihat dalam suasana kekeluargaan yang harmoni.> Kategori Kemasukan: Kanak-kanak yang kematian ibu/bapa, ibu/bapa menerima rawatan, terbiar dan ditinggalkan ibu/bapa, ibu/bapa dalam penjara/tahanan, terseksa/teraniaya seperti penderaan fizikal, mental, seksual atau emosi, memerlukan penjagaan kerana kemiskinan, pengabaian dan terbuang/terdampar.> Perkhidmatan:Penjagaan dan Perlindungan, Bimbingan dan Kaunseling, Pendidikan, Didikan Agama/Akhlak, Aktiviti di dalam dan di luar institusi, Rekreasi, Perubatan dan Rawatan Kesihatan.> RKK diwujudkan bagi melindungi kanak-kanak daripada semua bahaya termasuk jenis penyalahgunaan, penyeksaan, penderaan, diskriminasi dan eksploitasi.> Penekanan khusus diberi kepada perkembangan sihat kanak-kanak dari segi fizikal, sosial dan mental. > Mereka juga dilengkapi nilai dan sikap yang sesuai supaya mereka mempunyai haluan dan tujuan sebagai generasi dan pemimpin masa hadapan.

Rumah Tunas Harapan (RTH)

> RTH merupakan Rumah Kanak-Kanak Sistem Berkeluarga dalam konteks penjagaan kanak-kanak yang diabaikan oleh penjaga atau ibu bapa kandung. > Penubuhan RTH adalah hasil “Perkongsian Bijak” antara JKM dengan badan korporat, agensi Kerajaan, pertubuhan kebajikan sukarela dan masyarakat tempatan.> Merupakan satu inovasi dalam penjagaan kanak-kanak yang tiada keluarga kandung, dengan menempatkan 8 hingga 10 orang kanak-kanak dalam sebuah rumah biasa. > Mereka diberi jagaan, perlindungan dan didikan oleh penjaga yang telah dipilih khas sebagai ibu bapa pelihara mereka mengikut kepercayaan agama dan budaya masing-masing.> Terdapat sembilan RTH telah beroperasi di seluruh negara dan menerima sumbangan dari beberapa agensi korporat.> Konsep: Kanak-kanak yang masuk ke RTH adalah kanak-kanak yang telah dibebaskan dari RKK tetapi tidak dapat ditempatkan dengan keluarga asal kerana keluarga tidak dapat dikesan atau keluarga yang bermasalah. > RTH juga sebagai satu tempat alternatif bagi mengurangkan kepadatan kanak-kanak di RKK.> Kategori kemasukan: Berusia di antara 6 - 18 tahun, yatim atau yatim piatu yang memerlukan perlindungan.> Keutamaan adalah kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik semasa di RKK, supaya mereka berpeluang untuk membesar dalam satu keluarga.> Kanak-kanak yang tidak berpenyakit dan tidak banyak bermasalah dari segi sikap, kelakuan dan positif dalam pemikiran.> Perkhidmatan: Jagaan dan Perlindungan, Tempat tinggal, Makanan, Pakaian, Keperluan Harian, Perubatan, Kaunseling, Akademik, Pendidikan Agama dan Moral.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: