Monday, November 21, 2011

Optimis Walau Tak Sempurna

TIDAK semua kanak-kanak dilahirkan sempurna, tidak semua kanak-kanak ditakdirkan membesar dalam keluarga bahagia - itulah hakikat hidup yang tidak mampu disangkal sesiapa.

Dugaan menimpa keluarga, cacat anggota atau sakit menanggung derita, semua itu tidak harus dijadikan alasan untuk golongan ini mematikan terus angan-angan untuk berjaya.

Siapa pun diri mereka dan seperit mana pun dugaan mendatang, pasti ada ‘jalan’ yang mampu mengubah nasib mereka, asalkan inspirasi ini didahului kemahuan dan motivasi yang tinggi.

Peluang untuk kanak-kanak istimewa dan kurang bernasib baik ini lebih cerah dengan adanya pelbagai bentuk bantuan ditawarkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia dan seluruh dunia.

Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) pada 20 November dan disambut pada Oktober baru-baru ini di Malaysia, Mingguan mStar berpeluang menemuramah mereka yang pernah melalui detik hitam pada zaman kanak-kanak tetapi telah berjaya mencipta kejayaan pada hari ini.

DIEJEK, digelar dan dipanggil dengan nama yang kurang digemari sudah menjadi perkara biasa bagi Jay, atau nama sebenarnya Jay Saminth Singh a/l Savinder Singh, 20.

Jay disahkan mempunyai masalah pembelajaran sejak dilahirkan.

Dia pernah dibuli dan dipukul rakan di sekolah kerana kekurangan dirinya, namun semua itu dianggap sebagai cabaran untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Jay, yang mengalami masalah pembelajaran sejak dilahirkan hanya mengetahui dirinya tidak sama seperti kanak-kanak normal ketika dia berusia tujuh tahun.

“Saya tak boleh duduk diam-diam dalam tempoh yang lama. Saya juga tak boleh bergaul dengan rakan-rakan seperti kanak-kanak biasa. Jadi, saya lebih selesa bersendiri,” dia mengimbas pengalaman bersekolah di tahun satu.

Walaupun mengalami masalah pembelajaran sejak kecil, keadaan fizikal Jay yang kini bergelar remaja ini tak ubah seperti remaja normal.

Namun, sesiapa yang berkomunikasi dengannya, akan dapat melihat kekurangan yang terdapat dalam diri peminat pasukan bola sepak Manchester United ini.

“Pembesaran saya lebih cepat berbanding kanak-kanak lain, tetapi berbeza dengan pertumbuhan otak saya. Tidak hairanlah kawan-kawan saya memanggil saya ‘panjang’ kerana saya sangat tinggi.

“Untuk bergaul pula, saya perlu menyusun ayat dan kata-kata serta bertutur perlahan-lahan,” katanya.

Menurut Jay, dia tidak berasa sedih atau tertekan ditakdirkan lahir sebagai kanak-kanak istimewa.

“Saya tak kisah apa orang lain anggap tentang diri saya kerana saya tahu kelebihan dan kekurangan saya. Saya selalu ingat pesan ibu dan guru bahawa setiap manusia ada kelemahan masing-masing,” tegasnya.

Di sebalik kekurangannya, Jay berasa bertuah kerana ibu bapanya tabah menghadapi kenyataan dikurniakan anak istimewa seperti dirinya.

Sejak berusia tiga tahun, dia telah dihantar ke sekolah khas bagi membolehkan dia mempelajari tentang fokus, tumpuan dan konsentrasi.

“Saya masih ingat saya ditempatkan di sebuah bilik putih. Saya juga disuruh memasukkan manik dalam botol, menyusun bongkah dan lain-lain aktiviti,” dia mengimbas zaman kembali proses pembelajaran sebelum dia memasuki sekolah rendah.

Hasil pembelajaran tersebut dan sokongan kuat ibu bapa dan guru, Jay dapat menjalani hidup seperti manusia normal pada hari ini.

Paling membanggakan, dia berjaya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta dalam bidang industri makanan.

“Berjaya dalam bidang yang saya pelajari adalah impian saya. Saya juga mahu jadi pemain bola sepak negara suatu hari nanti,” ucapnya optimis.

Selain mampu membaca dan menulis, Jay juga mempunyai kemahiran seperti menari, berenang, memasak dan bermain bola sepak.

Malah, dia juga tidak bermasalah menaiki kenderaan awam untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Kanak-kanak istimewa ada hak dapat didikan sempurna - Ibu

Sebagai ibu, Suriakala berdepan cabaran membesarkan anak istimewa.

“MENDAPAT anak istimewa bukanlah kehendak saya tetapi saya harus akur dengan hakikat ini,” kata ibu kepada Jay, Suriakala a/p Suriabagavan, 51, kepada Mingguan mStar.

Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata ini bersyukur kerana mendapat tahu tentang masalah Jay ketika dia masih bayi.

“Ketika Jay masih bayi, susu keluar melalui hidungnya. Setelah diperiksa, doktor mengesahkan anak saya mengalami masalah pembelajaran.

“Masa umurnya enam bulan pula, beratnya semakin meningkat, tidak seperti pembesaran bayi normal. Ramai yang memanggilnya ‘bayi gergasi’,” katanya.

Melihat keadaan anak bongsunya, Suriakala segera memikirkan sesuatu agar Jay dapat dibesarkan dengan kaedah terbaik bagi membolehkan dia berdikari apabila dia meningkat dewasa.

“Ibu mana yang tak sedih. Tidak kisah anak kita dalam keadaan bagaimana, sebagai ibu bapa kita perlu usahakan yang terbaik untuk mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Suriakala juga tidak menafikan terpaksa berdepan banyak cabaran membesarkan Jay.

Cabaran paling besar ialah membuatkan Jay faham keadaan dirinya yang berbeza dengan kanak-kanak lain.

“Bila dia tanya saya tentang dirinya, saya kata dia (Jay) adalah istimewa. Dalam masa yang sama saya beri motivasi supaya dia tak menyesal dengan keadaannya dan bersemangat untuk belajar.

“Tentang cakap-cakap yang kurang enak didengar, saya biarkan sahaja. Saya tak mahu terlalu sensitif sebab kalau saya lemah, Jay tak akan berubah dan mungkin lebih bermasalah,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang membesarkan Jay dia sentiasa berkata ‘boleh’ terhadap impian atau kehendak Jay.

“Setiap yang bergelar kanak-kanak harus mendapat perlindungan dan didikan yang sempurna walau apa pun keadaan mereka.

“Mereka tak harus disisihkan oleh sesiapa,” katanya.

Justeru, dia sering mengintai peluang untuk Jay dan sering membawa Jay ke majlis-majlis keramaian agar anaknya itu dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan tidak berasa rendah diri.

“Jay pernah memberi ucapan pada sukan Paralimpik Beijing 2008. Walaupun sukar, tapi dia berjaya melaksanakannya.

“Sebagai ibu, saya nampak perubahan yang berlaku terhadap anak saya. Saya sedar, walaupun bermasalah, mereka mempunyai hak untuk membesar dalam keadaan paling baik seperti kanak-kanak biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: