Monday, November 14, 2011

Mahasiswa pertahan institusi raja


TENGKU Sulaiman Shah (tengah) bergambar dengan pelajar Fakulti Undang-Undang UiTM yang mengadakan lawatan ke Istana Alam Shah, Selangor baru-baru ini.


MAHASISWA institusi pengajian tinggi terutama yang mengambil jurusan undang-undang perlu diberi pendedahan mengenai fungsi raja sebagai ketua agama Islam serta peranan istana dalam Perlembagaan Malaysia.

Pendedahan peranan dan fungsi institusi raja amat penting dalam usaha membetulkan persepsi generasi muda hari ini mengenai Ketuanan Raja-Raja Melayu.

Selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, mahasiswa perlu mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan walaupun terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan peranan institusi berkenaan.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini seramai 80 mahasiswa Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan kunjungan ke Istana Alam Shah, Klang dan Galeri Sultan Abdul Aziz Shah dalam usaha memartabatkan dan menjunjung kasih sistem raja berperlembagaan yang merupakan asas perpaduan sesebuah negara.

Kunjungan itu diketuai Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) merangkap Pensyarah Fakulti Undang-Undang UiTM, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Lawatan yang julung kali diadakan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah disambut Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah, Tengku Panglima Di Raja Selangor adinda Sultan Selangor serta kerabat Diraja Selangor telah mendekatkan mahasiswa dengan Istana Alam Shah.

Kunjungan rombongan itu menjunjung kasih fungsi dan peranan Sultan sebagai Ketua Agama Islam. Mahasiswa juga berkesempatan melawat dan diberi taklimat mengenai fungsi Dewan Di Raja, Lembaga Pengampunan, ruang istiadat majlis yang melibatkan rakyat negeri Selangor dan lain-lain termasuk pejabat Sultan Selangor.

Selain itu, mahasiswa yang terlibat turut mendapat pendedahan teori dan asas perlembagaan negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: