PROGRAM Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti yang bakal berlangsung mulai 24 November hingga 2 Disember ini di Dewan Anjung Budiman, UiTM Shah Alam semakin terasa bahangnya dengan suntikan semangat yang tinggi di kalangan peserta yang terlibat khususnya pihak penganjur.
Bagi memastikan program sepanjang 10 hari berjalan lancar pelbagai perancangan dilaksanakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di peringkat Fakulti Pendidikan yang bertindak sebagai pencetus idea dalam pelaksanaan program cubaan memecahkan rekod Malaysia Book Of Record (MBR).
Penasihat program debat, Noriza Hussin dan pelajarnya mengambil inisiatif menubuhkan satu jawatankuasa kecil bagi membantu pihak sekretariat tertinggi UiTM sepanjang program ini berlangsung.
Penubuhan jawatankuasa itu bertujuan melicinkan penganjuran program selain membantu daripada segi publisiti dan logistik.
Menyedari sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 1,300 pendebat terdiri daripada pelajar sekolah, kolej, politeknik, institut perguruan dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari peluruh negara penubuhan jawatan kuasa kecil ini bertepatan dengan fungsi dan peranan dalam memastikan cubaan memecahkan rekod MBR tercapai.
Antara fungsi dan peranan jawatan kuasa itu ialah menganjurkan Klinik Debat UiTM dengan disertai pelajar kokurikulum satu dan pengucapan awam UiTM di Dewan Dedaru, Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam baru-baru ini.
Selain itu, penganjuran klinik tersebut turut memfokuskan teknik debat dan tanggungjawab setiap pendebat.
Bermula dengan tanggungjawab pencadang pertama disusuli dengan pencadang kedua dan pencadang ketiga, seterusnya peranan ketua pembangkang, timbalan ketua pembangkang dan pembangkang ketiga serta diakhiri dengan sesi penggulungan bagi kedua-dua pihak.
Selain itu, klinik perdebatan itu juga membantu peserta bagaimana untuk membina usul berdasarkan tema program iaitu Transformasi dan Perpaduan Bangsa Dalam Mengangkat Martabat Bahasa Melayu.
Ia juga fokus kepada kemahiran berkomunikasi khususnya dalam aspek tonasi dan penguasaan istilah-istilah Bahasa Melayu di samping melatih diri peserta untuk berfikir secara kritikal.
Justeru, kesemua pendebat memperlihatkan kesungguhan mereka dalam membantu peserta yang akan menjadi pendebat dalam program ini.
Lebih mengharukan apabila terdapat sukarelawan-sukarelawan daripada fakulti lain yang turut hadir memeriahkan untuk menjadi peserta pendebat program ini.
Atas dasar minat, sukarelawan-sukarelawan ini tampil menunjukkan komitmen yang tinggi membentuk beberapa kumpulan yang terdiri daripada lapan pelajar dan seterusnya mengadakan diskusi berkenaan usul perdebatan di dalam klinik perdebatan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: