Tuesday, November 1, 2011

Lima tahun hidu bau busuk

  PENDUDUK tidak dapat menahan bau busuk ketika mendekati   sistem vakum yang gagal  berfungsi dan  tidak diselenggara oleh  pemaju.
PENDUDUK tidak dapat menahan bau busuk ketika mendekati sistem vakum yang gagal berfungsi dan tidak diselenggara oleh pemaju.
Penduduk di Bukit Merah dakwa pemaju gagal baiki sistem kumbahan

BAGAN SERAI: Beratus penduduk di satu kawasan perumahan di Bukit Merah, dekat sini, terpaksa menghidu bau busuk dan terdedah kepada limpahan air najis apabila sistem kumbahan di kawasan itu gagal berfungsi sejak lima tahun lalu akibat tidak dibaiki.
Pengerusi persatuan penduduk kawasan perumahan itu, Abo Bakar Mohd Nor, mendakwa pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan dan menghantar surat mengenai masalah itu kepada pemaju, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil.
Katanya, penduduk berdepan pencemaran bau kerana penyelenggaraan sistem kumbahan di kawasan itu gagal berfungsi, menyebabkan bau najis dan limpahan air kotor itu menjejaskan kehidupan harian orang ramai.

“Keadaan lebih buruk apabila hujan lebat kerana air najis akan melimpah keluar dan memasuki rumah penduduk berdekatan sehingga memaksa mereka membersihkan rumah,” katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, apabila masalah itu diajukan kepada pemaju, jawapan yang diterima adalah mesin pam kumbahan itu rosak dan memerlukan kos tinggi untuk dibaik pulih.

Katanya, pemaju mendakwa setiap kali hendak menghidupkan mesin pam kumbahan itu, ia memerlukan kira-kira 20 liter minyak dan membabitkan kos RM700.
“Kami fikir alasan itu tidak munasabah kerana kos berkenaan bukan masalah kami, sebaliknya tanggungjawab pemaju untuk menyelesaikannya.

“Kami sudah membuat aduan kepada Pejabat Perumahan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar bagi memaklumkan masalah ini, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Abo Bakar berkata, masalah itu berlarutan sejak 2006 dan sepanjang tempoh berkenaan penduduk terpaksa menahan bau busuk setiap hari.

Katanya, paling teruk ketika musim hujan lebat kerana air najis itu melimpah keluar serta mengotori rumah penduduk.

“Kami berharap agensi dan pihak berkaitan prihatin dengan masalah ini, termasuk wakil rakyat atau exco melakukan tinjauan untuk melihat sendiri masalah yang dialami penduduk di kawasan perumahan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: