Thursday, November 17, 2011

Kolam tadahan undang maut

PENDUDUK menunjukkan   kolam takungan air di kawasan industri Batu 7, Dungun.
PENDUDUK menunjukkan kolam takungan air di kawasan industri Batu 7, Dungun.
Pihak berkuasa diminta tutup segera agar kejadian lemas tak berulang

DUNGUN: Penduduk di Kawasan Industri Batu 7, dekat sini menggesa pihak berkuasa menutup sebuah kolam takungan air di kawasan itu yang mengorbankan nyawa seorang pemuda ketika mandi di situ minggu lalu, bagi mengelak kejadian sama berulang.
Tinjauan ke kawasan kolam itu mendapati ramai penduduk bimbangkan keselamatan keluarga mereka dan meminta pihak berkuasa menutup kolam terbabit.
Penduduk, Mohamad Sahar, 47, berkata kolam terbabit menjadi tumpuan kanak-kanak dan remaja mandi dan memancing ikan berikutan keadaan airnya tenang, bersih dan sejuk serta banyak ikan.

“Sebenarnya kolam itu dalam dan berbahaya. Saya sering menghalau dan mengejar kanak-kanak jika terserempak mereka sedang mandi atau bermain di kawasan itu kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, kolam sedalam kira-kira 15 meter itu berbahaya dan tindakannya meminta kanak-kanak keluar dari kawasan itu ada kalanya mengundang marah orang ramai.

“Selepas seorang pemuda lemas dalam kolam itu, orang ramai mula sedar dan mahu kawasan itu ditutup segera,” katanya.
Razuan Ismail, 30, berkata, jalan masuk ke kawasan itu lengang dan jika berlaku sesuatu, mangsa sukar mendapatkan pertolongan.

Katanya, kedudukan kolam itu terlindung akibat dilindungi pokok besar dan tumbuhan terbiar.

“Jika sesiapa lemas, orang ramai tidak menyedarinya kerana kawasan itu sunyi,” katanya.

Razuan berkata, pihak berkuasa perlu meletakkan papan tanda amaran bagi memberi peringatan kepada mereka yang tidak tahu bahaya mandi di kolam itu.

Afandi Ali, 43, pula berkata, kolam itu dipercayai digali untuk pengambilan tanah bagi menambak beberapa kawasan projek binaan.

“Ramai kanak-kanak dan remaja yang mandi dan memancing di kolam itu datang dari luar kampung ini dan mereka tidak mengetahui bahaya menanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: