Thursday, November 17, 2011

Papan gentian batang sawit dikomersial


PAPAN Gentian Berketumpatan Sederhana yang diperbuat daripada batang sawit hasil kajian MPOB.
PAPAN Gentian Berketumpatan Sederhana yang diperbuat daripada batang sawit hasil kajian MPOB.
MPOB jalin kerjasama dengan syarikat Korea Selatan

USAHA berterusan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bahan buangan sawit mula menunjukkan hasil apabila pengeluaran secara komersial Papan Gentian Berketumpatan Sederhana (MDF) daripada batang sawit (OPT) dilaksanakan baru-baru ini.
Ia susulan kerjasama antara agensi itu dengan syarikat Korea Selatan, Dongwha Fiberboard Sdn Bhd (Dongwha).
Melalui usaha sama itu, MPOB membekalkan kepakaran dan teknologi yang dipatenkan kepada Dongwha yang akan mengeluarkan MDF daripada OPT itu di tiga kilangnya di Nilai, Negeri Sembilan; Merbok serta Kulim di Kedah.

Berdasarkan kapasiti pengeluaran tiga kilang berkenaan sebanyak 1,700 meter padu sehari, syarikat itu memerlukan sumber bahan berjumlah 2,720 tan sehari.

Pelancaran pengkomersialan MDF daripada OPT itu disempurnakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok kelmarin sempena Kongres Antarabangsa Minyak Sawit (PIPOC 2011) yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Lumpur yang berakhir hari ini.

MPOB dalam kenyataannya pada kongres itu berkata, pengkomersialan MDF daripada OPT menunjukkan yang bahan berkenaan yang sebelum ini hanya dibuang begitu saja mempunyai nilai ekonomi tinggi dan mampu menjadi alternatif kepada kayu getah serta kayu tropika lain yang kini berdepan masalah kekurangan bekalan dan harga yang tinggi.
MPOB memulakan R&D bagi pengeluaran MDF sejak 1990-an dan tahun lalu ia membina kilang percubaan sebagai pusat bagi prapengkomersialannya.

Dalam perkembangan sama, MPOB berkata, ia telah membangunkan sebanyak 48 teknologi membabitkan penggunaan biomas sawit dalam pelbagai sektor.

Sektor terbabit adalah bio-komposit, produk pertanian, produk kimia serta bio-tenaga dengan antara yang paling menonjol adalah MDF, komposit plastik automotif, briquettes dan pengeluaran selulos.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May, berkata industri sawit dijangka menyumbang RM178 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) pada 2020 melalui R&D serta inovasi yang dilaksanakan agensi itu.

Strategi berkenaan membabitkan peningkatan pengeluaran, mekanisasi perladangan sawit, pembaikan amalan perladangan dan peningkatan pengeluaran produk dengan nilai tambah, katanya pada pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Program Transformasi Ekonomi Negara: Peranan Industri Minyak Sawit.’

MPOB juga katanya, berusaha membangunkan produk oleo derivatives yang mana bidang itu mampu menyumbang GNI sebanyak RM5.8 bilion pada tahun 2020.

Choo berkata, melalui R&D yang dijalankannya, MPOB dapat meletakkan Malaysia sebagai peserta industri makanan dan produk berasaskan kesihatan di samping meningkatkan pegangan pasaran di peringkat global termasuk untuk produk halal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: