Monday, November 14, 2011

Kem motivasi dedah pengajian di politeknik


SEBAHAGIAN calon SPM tekun mengikuti kem motivasi selama tiga hari dua malam di Politeknik Premier Johor Bahru, baru-baru ini.


JABATAN Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendekati golongan sasar melalui program Kem Motivasi selama tiga hari dua malam (3D2N) di Politeknik Premier Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Program itu merupakan satu pendekatan untuk mempersiapkan para pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengenali dan mengetahui peluang pendidikan yang terdapat di institusi pengajian politeknik yang ada di negara ini.

Seramai 139 pelajar dari 13 buah sekolah menengah dari Zon Selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan terlibat dalam program motivasi ini.

Sekolah-sekolah berkenaan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, SMK Seri Tanjung, SMK Dang Anum, SMK Pasir Panjang, SMK Bukit Saujana, SMK Anjung Batu, SMK Seri Mersing, SMK Pasir Gudang, SMK Pasir Gudang 2, SMK Pasir Gudang 3, SMK Megah Ria, SMK Bandar Seri Alam dan SMK Pengawa Timor.

Pelbagai pengisian menarik disusun sepanjang program seperti teknik menjawab soalan sains dan matematik, bengkel menghadapi peperiksaan, aktiviti Explorace Intelek, kuliah kerohanian, ceramah dan taklimat daripada para pensyarah politeknik dan guru-guru cemerlang serta resolusi program.

Program ini diharap akan dapat terus diadakan lagi bagi mendedahkan peluang-peluang yang terdapat di politeknik kepada lepasan SPM di seluruh negara dan seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk memilih bidang yang bersesuaian dengan minat serta pencapaian akademik masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: