SEBAHAGIAN pemilik rumah dan kedai Flet PKNS Pusat Bandar Taman Keramat, Jalan Jelatek pada sidang media menuntut ganti rugi dan pampasan sewajarnya daripada PKNS.
AMPANG: Pemilik rumah dan kedai Flet Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Bandar Taman Keramat akan menuntut ganti rugi terhadap PKNS kerana mengabaikan kerja penyelenggaraan lebih satu setengah tahun, selain menuntut pampasan lebih wajar terhadap pengambilalihan kediaman milik mereka.
Tuntutan ganti rugi dan pampasan itu dibuat lapan pemilik rumah dan enam pemilik kedai yang mendakwa terpaksa hidup dalam kesengsaraan selepas PKNS menghentikan kerja penyelenggaraan sejak Jun 2010 termasuk tidak mengangkat sampah, bekalan elektrik dan air terputus, bumbung bocor dan sebagainya sehingga mereka diarah mengosongkan premis masing-masing pada 9 November lalu.
“PKNS tidak sepatutnya mengetepikan hak kami untuk mendapatkan pampasan sewajarnya kerana kami adalah pemilik dan bukan penyewa, malah tempoh pajakan tanah juga masih berjalan sehingga 2085 iaitu kira-kira 74 tahun lagi.
“Bagaimanapun, kami diusir secara paksa apabila PKNS menggunakan undang-undang menerusi kerajaan Selangor untuk merampas tanah yang kami duduki.
“Sejak PKNS menghentikan kerja penyelenggaraan, rumah kami seperti neraka dengan sampah bertimbun, tikus, elektrik dan air diputuskan menyebabkan kami hidup terseksa. Sikap PKNS mengurangkan jumlah pampasan kepada lebih rendah itu juga seolah olah ‘menghukum’ pemilik kerana enggan berpindah sebelum ini,” katanya.
Fadhilah berkata, sebelum ini penduduk diarah mengosongkan rumah dan kedai masing-masing pada Oktober 2009 bagi memberi laluan projek pembinaan Datum Jelatek yang merangkumi hotel, pusat beli belah dan kondominium mewah dengan jumlah pampasan antara RM250,000 hingga RM300,000 bergantung kepada saiz rumah, manakala antara RM400,000 hingga RM500,000 bagi rumah kedai.
Bagaimanapun, katanya, pemilik merasakan jumlah itu tidak berbaloi berbanding kerugian dan potensi kawasan berkenaan yang terletak tidak sampai dua minit berjalan kaki ke menara berkembar KLCC.
“Selepas beberapa rayuan dibuat pada hujung 2009, PKNS bersetuju menaikkan jumlah pampasan kepada RM350,000 bagi rumah sebelum jumlah itu dikurangkan tetapi jumlah pampasan sebenar untuk kedai belum diputuskan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdul Karim Jaafar, 49, berkata selepas keluar dari rumahnya, nasibnya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga kerana bukan saja diberhentikan kerja, malah kini terpaksa menyewa rumah di Taman Permata dengan kadar RM1,000 sebulan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: