KAK ANI

Nama Noraniza Idris sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri nyanyian tempatan kerana gelaran Ratu Irama Malaysia yang disandangnya.

Sejak tampil dengan album Awal Dondang pada 1997, muzik etnik kreatif terus melonjak naik dan mendapat tempat dalam kalangan pendengar.

Seolah-olah sudah sinonim dengan irama itu, Noraniza yang lebih dikenali sebagai Kak Ani bagaimanapun muncul dengan sedikit kelainan menerusi album terbarunya, Primadona.

Dalam album yang bakal dipasarkan Mei tahun depan itu, Kak Ani menyanyikan semula enam lagu nyanyian penyanyi popular 70-an iaitu Datuk Sharifah Aini, Allahyarhamah Rafeah Buang dan Sanisah Huri.

“Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan untuk muncul dengan album ini, cuma baru sekarang peluang itu tiba.

“Saya sememangnya meminati ketiga-tiga penyanyi dan membesar dengan lagu mereka. Maka, album ini adalah sebagai penghargaan saya kepada mereka yang telah banyak memberi sumbangan kepada industri,” katanya ketika sidang media Santai Primadona Noraniza Idris 2012, baru-baru ini.

Menurut Kak Ani, lagu yang telah dipilih adalah Dekatlah Padaku, Kekasih Pujaan (Datuk Sharifah Aini), Pengorbanan, Perpisahan (Rafeah Buang), Sejak Bertemu Padamu dan Kerana Kau (Sanisah Huri).

“Saya pilih lagu bukan berdasarkan lagu yang saya suka sahaja, tetapi lagu yang sesuai dengan pendengar juga.

“Dalam hal ini, saya banyak berbincang dengan suami, Jeffri Huri, dan secara kebetulan minat dan idea kami seiring. Kami yakin lagu yang dipilih mampu mengembalikan nostalgia pendengar,” katanya yang tidak kekok untuk menyanyikan lagu pop.

Sebagai permulaan, Kak Ani berkata, peminat boleh mendapatkan cakera padat single pertama Dekatlah Padaku yang mengandungi fulltrack, minus one dan instrumental apabila dilancarkan 25 Disember ini sempena program Santai Primadona Noraniza Idris 2012 di Msuite Hotel, Johor Bahru, Johor.

“Dalam program ini, kita akan mengisi ruang persembahan dengan lagu klasik popular 70-an dengan suntikan nilai komersial.

“Lagu ini juga akan digunakan sebagai penggerak promosi untuk menarik minat pelancong menyertai program yang mempromosikan budaya dan kesenian melalui pelancongan,” katanya.

Acara anjuran syarikatnya, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPV) dengan kerjasama A&A World Vacation Sdn Bhd dan Fontana Cafe & Catering itu mempromosikan tawaran pakej perkahwinan, makanan dan percutian keluarga di lokasi seluruh negara sepanjang tahun depan.

Mereka yang berminat boleh mendapat maklumat lanjut di www.noranizaidris.com.

Mahu anak perempuan

Berkongsi sedikit kehidupannya setelah mendirikan rumahtangga buat kali ketiga, Kak Ani mengakui rezekinya semakin murah.

“Alhamdulillah, abang (panggilan buat suami) tidak pernah menghalang saya bergiat aktif dalam bidang seni.

“Malah, dia sendiri yang mahu saya menghasilkan album setiap tahun dan dia turut terlibat dari segi pemasaran album terbaru saya,” katanya.

Pasangan ini juga tidak merancang untuk menimang cahaya mata, namun mahu memiliki anak perempuan jika ada rezeki.

“Anak-anak perkahwinan kami terdahulu semuanya lelaki, kalau dapat anak perempuan itu adalah rezeki.

“Namun, ini semua terserah kepada rezeki dan kami pun tidak terlalu mengharap,” katanya.