jetli

Kehebatan aksi Jet Li membintangi filem dan drama tempatan sudah tidak dapat dinafikan lagi.

Pelakon lahir pada 26 April 1963 ini, memulakan kariernya sebagai pelakon tambahan dengan mempamerkan bakatnya dalam seni mempertahankan diri, wusyu.

Jet Li mempelajari wusyu sejak berumur lapan tahun dan banyak medal diperolehnya sepanjang menjadi atlet di sekolahnya.

Bakatnya itu diteruskan sehingga ke layar perak, apabila anak kelahiran Beijing ini, memulakan kariernya dalam bidang lakonan dan perfileman.

Pada 1982, Jet Li mula berlakon dalam filem pertamanya, Shaolin Temple sebelum menghasilkan Once Upon A Time In China.

Setelah bakatnya itu mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit filem, Jet Li terus menjadi rebutan mempamerkan kehebatannya dalam melakonkan aksi.

Malah, rezekinya tidak pernah putus kerana sehingga kini, Jet Li telah berlakon dan mengarah hampir 50 filem tempatan ( Hong Kong) dan antarabangsa.

Terbaru, peminat Jet Li sekali lagi dapat menyaksikan aksi hebat bapa kepada empat anak perempuan ini, dalam filem The Sorcerer and the White Snake yang ditayangkan pada 29 September lalu.

Selain di negara kelahirannya, Jet Li turut melebarkan sayap bidang lakonannya ke peringkat antarabangsa, seperti Amerika.

Di sana, Jet Li terus mendapat tempat di hati penonton dengan aksinya dalam filem Lethal Weapon 4, Romeo Must Die (2000), The One (2001), Kiss Of The Dragon (2001), Hero (2002), Cradle 2 The Grave (2003), Jet Li: Rise To Honor (2004), Unleashed (2005), Fearless (2006) dan War (2007).

Kerana cinta masih mendalam terhadap tanah air, pada 2007, Jet Li kembali ke negaranya dan menyambung bidang lakonan yang tidak dapat ditinggalkannya itu.

Berlakon dalam filem Hong Kong seperti The Warlords (2007), The Forbidden Kingdom (2008), The Mummy: Tomb Of The Dragon Emperor, The Expandables (2009), kerinduan peminat tempatannya telah terubat.

Walaupun sibuk dengan karier, Jet Li masih punya masa untuk membina sebuah keluarga bahagia apabila berkahwin dengan Nina Lichi setelah perkahwinan pertamanya dengan heroin Kids From Shaolin, Qiuyan, gagal.

Jet Li pilih Singapura

Pada awal Januari lalu, Jet Li mengambil keputusan menetap di Singapura kerana aspek keselamatan dan sistem pendidikan negara itu yang memberi penekanan terhadap pengajaran Bahasa Inggeris dan Mandarin kepada para pelajarnya.

Menurut Li, dia mahu anak-anaknya menerima pendidikan bahasa Inggeris dan Cina di negara itu.

Jet Li yang membintangi filem Hollywood, termasuk The Expendables dan The Mummy: Tomb of the Dragon Em peror menyatakan keputusannya itu turut dipengaruhi oleh ketiadaan paparazi di negara itu.
“Anak-anak saya akan menerima pendidikan dua bahasa yang baik, selain kestabilan sosial negara ini.

“Mereka (anak-anaknya) juga tidak diganggu oleh para wartawan,” kata Jet Li dalam satu temu bual bersama AFP.

Jet Li ketika itu berada di Singapura untuk menyertai persidangan dermawan menyatakan rasa terkejut, ekoran minat orang ramai berhubung penghijrahannya dari Amerika Syarikat (AS) ke Singapura.

“Melucukan kerana saya telah memegang pasport AS dan tinggal di sana selama 20 tahun, tiada siapa bercakap mengenainya. Sekarang, bila saya datang ke Singapura, semua orang ingin tahu kenapa saya datang ke sini,” katanya.

Terdapat khabar angin menyatakan bahawa bintang filem itu membeli rumah AS$14 juta (RM42.7 juta) di Singapura.

Jet Li tidak menyatakan sama ada dia menggugurkan ke rakyatan AS dan China tetapi undang-undang Singapura membenarkan rakyatnya memiliki dua kerakyatan.

Jet Li mengikut jejak langkah aktres popular China, Gong Li yang menjadi warganegara Singapura pada 2008.