Wednesday, November 9, 2011

Saingan sengit vokal berkumpulan


LAGU Pelita dendangan supergrup A.P.I juga mempunyai potensi besar untuk menerima pengiktirafan.


SETIAP tahun, kategori ini tidak terlepas daripada menjadi perhatian peminat dan pencinta muzik tempatan.

Manakan tidak. Calon-calon yang bertanding setiap tahun dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik juga bukan calang-calang.

Sama ada secara duo mahupun kumpulan, mereka yang pernah dicalonkan dalam kategori ini membuktikan gandingan dan keharmonian melagukan sesebuah lagu berjaya memikat hati pendengar.

Tahun ini, lima calon yang berjaya ke peringkat akhir kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) bakal memberikan saingan yang cukup sengit.

Selain daripada nama-nama popular, ada juga calon yang begitu asing pada pendengaran sebahagian besar daripada peminat muzik tempatan.

Tetapi, itu bukan satu halangan untuk mengiktiraf bakat mereka kerana apa yang penting adalah kualiti dan mutu persembahan vokal yang ditonjolkan dalam lagu.

Lima calon yang bertanding tahun ini ialah 3 Suara yakni gandingan mantap Ning Baizura, Shila Amzah dan Jaclyn Victor menerusi lagu berhantu, Beribu Sesalan.

Turut tersenarai supergrup A.P.I. yang dicalonkan menerusi lagu Pelita, Caipifruta (Menceceh Bujang Lapuk), Dayang Nurfaizah dan Marcell (Sayang) serta Inteam (Salamun Salam 2).

Kalau diukur kepada populariti calon utama yang dilihat akan mudah membawa pulang gelaran ini sudah semestinya 3 Suara.

Memang tidak dapat dinafikan gabungan vokal ketiga-tiga penyanyi untuk lagu ini memang hebat dan keseimbangan serta keharmonian itu dapat didengar dengan jelas.

Ditambah dengan kekuatan lagu ini sendiri menjadikan penghayatan Beribu Sesalan cukup berbekas dengan lontaran vokal Ning, Shila dan Jac.

Seperti mana semua sedia maklum, AIM juga penuh dengan kejutan dan jangan terkejut kalau kategori ini dimenangi oleh Caipifruta.

Benar, nama mereka cukup asing dan masih baru tetapi kredibiliti penyampaian vokal kuartet ini tidak boleh dipandang sebelah mata.

Berbekalkan pengalaman luas menyertai pertandingan koir di seluruh dunia menjadikan Caipifruta berada dalam liga sendiri.

Tidak keterlaluan dikatakan, Caipifruta memberikan sentuhan baru dan berbeza dalam definisi penyampaian vokal berkumpulan.

Atau mungkinkah trofi perak berbentuk mikrofon ini akan menjadi milik Dayang dan Marcell menerusi lagu duet mereka, Sayang? Tidak mustahil rasanya apatah lagi kombinasi vokal mereka telah menjadikan lagu ini begitu indah dan mesra di telinga.

Kumpulan A.P.I. pula menggabungkan tiga vokalis yang bukan calang-calang iaitu Azlan & The Typewriter, Noh dari kumpulan Hujan dan Monoloque yang menjadikan lagu Pelita begitu unik dan istimewa.

Jika mereka menang pada malam itu nanti, sudah pasti ia adalah satu sejarah kerana belum pernah lagi dalam senarai pemenang sebelum ini dimenangi oleh kumpulan rock.

Namun begitu, usah sesekali dipandang enteng kepada kumpulan Inteam yang merupakan satu-satunya kumpulan nasyid yang tercalon dalam kategori ini.

Sebarang kemungkinan boleh berlaku dan jika Inteam menang, mereka harus berbangga kerana menjadi penyambung kepada legasi kumpulan nasyid sebelum ini yang merupakan pemenang terbanyak dalam kategori ini.

Pilihan Hits: 3 Suara (Ning Baizura, Shila Amzah & Jaclyn Victor) - Beribu Sesalan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: