Tuesday, November 15, 2011

‘Hanya idea saja’

PELANCARAN...pramugari menunjukkan kad Big yang dilancarkan , semalam.
PELANCARAN...pramugari menunjukkan kad Big yang dilancarkan , semalam.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menegaskan bahawa tidak ada syarikat penerbangan baru yang diberi nama Caterham Jet kerana ia hanyalah sebahagian daripada ratusan idea yang timbul hasil perbincangan beliau dan pengurusan AirAsia.

Fernandes berkata, sekiranya idea berkenaan menjadi kenyataan, ia akan dikendalikan Penerbangan Malaysia (MAS) dan bukan AirAsia seperti yang dilaporkan sebelum ini.


“Buat masa ini, tidak ada Caterham Jet. Ia hanyalah idea yang timbul hasil perbincangan yang dilakukan. Kami mempunyai ratusan idea termasuk membina hospital di bawah Tune Group. “Namun, sekalipun idea berkenaan yang disasarkan untuk pasaran premium menjadi kenyataan, ia akan dikendalikan MAS,” katanya selepas majlis pelancaran Big Global Loyalty Programme di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, idea mewujudkan Caterham Jet adalah sebahagian daripada idea lain yang berpotensi untuk dibangunkan, namun sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak masih belum dipastikan.


“Sebagai seorang yang sering ke luar negara, masa adalah begitu berharga dan menggunakan perkhidmatan penerbangan yang tidak memerlukan saya beratur panjang atau menunggu sehingga sejam sebelum menaiki pesawat adalah sesuatu yang hebat.


“Ia adalah sama dengan menaiki jet peribadi tanpa perlu memilikinya. Jika idea ini menjadi kenyataan dan Malaysia adalah negara pertama menawarkan perkhidmatan seumpama itu, mengapa tidak ia dilaksanakan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan khabar angin mengatakan pihaknya akan memulakan syarikat penerbangan super-premium menggunakan pesawat Bombardier yang dijangka mula beroperasi pada Mei 2012 di Subang dikenali sebagai Caterham Jet.


Fernandes berkata, beliau kecewa dengan kenyataan negatif segelintir pihak yang menganggap idea mewujudkan Caterham Jet sebagai menjejaskan komitmen yang dibuat berdasarkan Perjanjian Kerjasama Menyeluruh (CCF) dengan MAS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: