Tuesday, November 15, 2011

Hamilton kuasai GP Abu Dhabi


HAMILTON memenangi GP Abu Dhabi selepas Sebastian Vettel tersingkir seawal pusingan pertama kelmarin.


ABU DHABI - Lewis Hamilton berjaya mencatat kemenangan di Grand Prix (GP) Abu Dhabi selepas juara dunia perlumbaan Formula Satu (F1), Sebastian Vettel tersingkir seawal pusingan pertama kelmarin.

Vettel dari pasukan Red Bull melakukan kesilapan teknikal sehingga menyebabkan jentera yang dipandunya berputar dua kali.

Keadaan tersebut telah memaksa pemandu dari Jerman itu berhenti di pit dan kerosakan yang teruk telah menyebabkan dia terkeluar daripada perlumbaan buat kali pertama pada musim ini.

Hamilton yang pernah menjadi juara pada tahun 2008, mengambil peluang tersebut untuk mendahului pencabar lain dan menamatkannya 8.4 saat di hadapan pelumba Ferrari, Fernando Alonso.

Rakan sepasukan Hamilton pula, Jenson Button menamatkan perlumbaan di tempat ketiga diiukuti oleh pemandu Red Bull, Mark Webber pada saingan di Litar Yas Marina itu.

"Kejayaan yang baik, kejayaan yang menarik seperti biasa," kata Hamilton melalui radio pasukannya sejurus melepasi garisan penamat.

"Saya mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada ibu saya. Selamat hari jadi dan terima kasih kerana hadir menyaksikan perlumbaan ini." kata Hamilton seterusnya melompat dari penghadang untuk memeluk ibunya.

Ia merupakan pulangan yang besar buat Hamilton selepas dibayangi beberapa masalah yang dihadapinya sebelum ini seperti persengketaan dengan pemandu Ferrari, Felipe Massa serta masalah dari luar litar.

Tahun lalu, Hamilton pernah memecat bapanya, Anthony Hamilton sebagai pengurus dan pada bulan lepas dia mengesahkan sudah berpisah dengan teman wanitanya, penyanyi kumpulan pop, Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger.

"Saya rasa hebat. Ia bagaikan perlumbaan yang terbaik bagi saya. Untuk bersaing dengan beberapa pelumba yang hebat di dunia memang sukar.

"Nyata sekali, pasukan telah melakukan kerja yang hebat di hentian pit. Saya gembira untuk kembali di sini," kata Hamilton.

Pada perlumbaan yang masih berbaki 14 pusingan, Alonso berjaya memintas Hamilton yang berada di hentian pit.

Namun, selepas tiga pusingan kemudian, Hamilton berjaya mendahului Alonso semula apabila Alonso berhenti di pit.

Bagaimanapun, pemandu dari Sepanyol itu, tidak memberikan sebarang saingan yang sengit selepas itu.

"Saya mempunyai permulaan yang menarik dan telah bersaing dengan Jenson pada pusingan pertama," kata Alonso.

"Kemudian, saya mendapati bahawa saya berada di tempat kedua selepas ketinggalan antara tiga hingga lima saat berada di belakang Lewis. Di perhentian terakhir, saya ketinggalan dua saat di belakang pemandu McLaren itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: