PARIS - Bekas pemain no.1 dunia, Roger Federer muncul juara Paris Masters buat kali pertama dalam kariernya apabila menjinakkan pemain tuan rumah, Jo-Wilfried Tsonga 6-1, 7-6 (7/3) dalam aksi final semalam.
Ia merupakan kejuaraan ketiga pemain Switzerland itu tahun ini selepas Doha dan Basel Masters, sekaligus menyaksikan kejuaraan ke-69 buat Federer sepanjang kariernya selaku pemain tenis profesional.
"Ia memang indah, bagaikan mimpi menjadi realiti, sudah terlalu lama saya idamkan kejuaraan Paris Masters," kata Federer.
"Sejujurnya, saya juga terkejut dengan persembahan cemerlang saya dalam perlawanan itu."
Tsonga yang merupakan juara dua tahun lepas begitupun terlebih dahulu mencuri tumpuan menerusi beberapa pergerakan agresif bagi memerangkap Federer.
Namun Federer, 30, kembali tenang menguasai saingan menerusi servis yang baik sekaligus muncul juara.
Kata Tsonga, Federer memang layak untuk menang.
"Dia memang pemain yang hebat. Federer memang berhak merangkul Paris Masters sejak dahulu lagi, hanya masa sahaja yang menentukan dan kini masanya telah tiba," katanya.
Kedua-dua pemain itu juga kini mengesahkan slot untuk beraksi di Jelajah Akhir Dunia ATP di London pertengahan bulan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: