Saturday, November 26, 2011

Gabung unsur tradisi, moden

AZ ZAHRAH...rekaan jubah yang diberi poto�ngan ala cheongsam menyerlahkan gaya kreativiti pereka.
AZ ZAHRAH...rekaan jubah yang diberi potongan ala cheongsam menyerlahkan gaya kreativiti pereka.

MELANGKAH penuh gaya di pentas peragaan, lima model dengan lima persalinan bertukar ganti. Masing-masing dengan rekaan unik menepati tema Pesona Timur bersempena Festival Fesyen Islam 2011 (IFF) yang diadakan di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Kehadiran 12 pereka Muslimah yang bernaung di bawah Persatuan Usahawan dan Pereka Busana Muslim Malaysia (Amaed) nyata memberi nafas baru kepada pengertian rekaan fesyen itu sendiri. Tanpa meninggalkan ciri-ciri Muslimah, semua pereka tampil dengan idea serta gaya tersendiri sama ada daripada segi potongan, perhiasan serta fabrik digunakan.

  • Foto

    BERANI...rekaan moden pada padanan blaus dan seluar menampilkan gaya kasual bersama perhiasan kepala sekadar menambah seri.

  • Foto

    UNIK...selain tampil anggun, rekaan blaus berhud bersama seluar rekaan Najjah memberi penampilan berbeza.

  • Foto

    MENAWAN...tampil menawan menerusi kaftan yang diberi sentuhan moden menerusi potongan serta fabrik.

  • Foto

    MENYERLAH...keistimewaan Pearl Haya pada rekaan tudung sedia dipakai yang ditambah ropol bagi menyerlahkan keunikannya.

  • Foto

    GALERI MUSLIMAH...menggunakan fabrik broked bagi menyerlahkan gaya Pesona Timur.

  • Foto

    LENGKAP...rekaan jubah dengan sentuhan tradisi Timur memberikan keunikan tersendiri.

Apa yang nyata dalam keghairahan pereka menghasilkan persalinan, gabungan unsur tradisi dan moden menjadi panduan dalam menterjemahkan gaya Timur yang tentunya unik dan berada dalam kelas tersendiri.

Walaupun ada antara busana yang terlalu kompleks dan tidak mampu dipakai wanita, namun pertunjukan fesyen ini menjadi garis panduan bagi mereka menzahirkan rekaan mengikut idea serta kreativiti sendiri.


Lima persalinan daripada pemilik Galeri Muslimah, Nora Shikien Zakaria, menonjolkan konsep tradisi Empayar Maharaja. Dia yang baru kali pertama menyertai IFF teruja kerana dapat menzahirkan rekaan terkini bersesuaian tema Pesona Timur. Pilihannya adalah fabrik broked bersama campuran sutera dan sifon bagi memberikan impak berbeza.


“Bagi mengetengahkan unsur kepahlawanan, sengaja saya memilih fabrik broked dengan sentuhan elemen batu permata seperti jed yang diletakkan pada baju,” katanya.

Kebanyakan baju diberi potongan kaftan serta jaket pada warna meriah seperti keemasan, merah, hitam dan kelabu.

Menurut Nora, pertunjukan fesyen IFF yang Shikien mengetengahkan ramai pereka baru memberi pengalaman kepada pereka menghasilkan rekaan bersifat antarabangsa. Secara tidak langsung, industri fesyen terutama busana Muslimah berkembang pesat dan memberi pandangan berbeza kepada masyarakat bukan Islam.

Najjah yang mengetengahkan konsep Puteri Milineum Timur tampil berbeza dengan lima persalinan moden menggabungkan unsur tradisi masyarakat Timur.

Menurut Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, dia sengaja memilih unsur moden kerana ingin tampil berbeza dan nampak menyerlah.

“Saya memilih unsur moden kerana inginkan kelainan dengan pereka lain yang mengetengahkan unsur tradisional seperti pakaian Korea atau kimono Jepun,” katanya.

Farrah juga memilih warna terang dan lembut seperti ungu, merah bata, hijau lumut dan merah jambu berbeza dengan rona asal dalam rekaan busana masyarakat Timur.

Pearl Haya yang terkenal dengan rekaan tudung tampil memikat bersama persalinan kaftan dan jubah berwarna-warni. Memilih rona terang seperti kuning, merah jambu, biru dan hijau, ternyata rekaan sedia dipakai sesuai untuk acara kasual.
Menariknya jenama ini yang terkenal dengan rekaan tudung siap beropol mengetengahkan gaya lebih anggun pada reben bertingkat serta ropol yang dipadankan pada tudung polos. Ternyata gabungan warna menawan dan tidak keterlaluan ini memberi nafas baru bagi penggayaan wanita moden masa kini.

Mengekalkan unsur tradisional pada rekaan busana, Az Zahrah tampil dengan gaya berkimono serta jubah berhud yang diberi sentuhan moden. Penggunaan fabrik broked serta tradisi songket mengekalkan keaslian busana bersesuaian tema masyarakat Timur.

Antara pereka lain yang mempersembahkan rekaan mereka ialah NainiKifli, Serikapas, Irshah, Mariamah, MyDesign, Molek, Signature Boutique dan Udaimatunnur.

Menurut Naib Presiden Amaed, Mona Din, Amaed yang ditubuhkan pada 15 Februari 2011 oleh Datuk Raja Rezza Shah Zurin bertujuan mengetengahkan pereka busana Muslimah kepada industri fesyen Islam.

Selain 12 pereka ini, Amaed turut dianggotai Radzuan Radzwill, Tom Abang Saufi, Aida Khalida, Aktif Bistari dan Jarumas.

“Dengan adanya pertunjukan fesyen berprestij ini, idea serta kreativiti pereka muda dapat diketengahkan selaras dengan impian menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab fesyen sama seperti keunggulan kota Milan sebagai pusat terjemahan fesyen terkenal dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: