Sunday, November 13, 2011

Ezad sendirian


UNDUR diri daripada, Ezad nekad mahu menjenamakan diri dengan imej lebih matang. Dia kini muncul dengan album solo pertama, Mengharap Bintang yang sudah di pasaran sejak tiga bulan lalu.


JIKA diukur pada usia perjalanan seni Ezad Lazim, dia sudah boleh dianggap otai. Ezad sudah muncul dalam industri hiburan melalui kumpulan Exist sejak 16 tahun lalu.

Entah mengapa Ezad tiba-tiba berubah angin di saat nama Exist mekar di hati peminat. Dia keluar daripada grup tersebut lima tahun lalu.

Dalam tempoh itu, dia menyendiri. Namanya tidak lagi disebut-sebut seperti mana popularnya lagu Jesnita, Mengintai Dari Tirai Kamar, Kapal Terbang Kertas, Julia dan Percayakan Siti sebelum ini.

"Saya bukan sengaja menyepi, tetapi mencari kekuatan diri. Saya mencari pengetahuan dan ruang untuk terus berada di dalam industri ini biarpun sendirian," katanya dalam sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Menganggap keputusan menarik diri daripada kumpulan yang ditubuhkan sejak 1991 itu sebagai satu pilihan yang baik untuknya, Ezad kini tampil untuk menjenamakan semula dirinya.

Menjauh daripada imej muda seperti ketika bersama Exist, jejaka berusia 32 tahun itu mengatur strategi seni yang sesuai dengan usianya. Dia kini muncul dengan imej lebih matang di samping album solo pertama.

Dinamakan sebagai Ezad: Mengharap Bintang, album yang telah dilancarkan kira-kira tiga bulan lalu itu kini sudah menjadi kegilaan peminat.

Menampilkan sepuluh buah lagu, Ezad kelihatan bersungguh- sungguh dengan kerjaya solonya. Album itu mengandungi lima buah lagu lama dan lima buah lagu popular Exist yang dinyanyikan semula.

"Memang ada rasa takut untuk berdikari, tetapi saya kena ketepikan hal itu. Paling penting adalah sokongan daripada semua termasuk rakan-rakan, peminat dan media yang memberikan saya semangat.

"Tampil dengan album solo bukan sesuatu yang mudah. Saya banyak belajar daripada artis solo lain bagaimana mereka terus ada dalam industri ini," ujarnya yang telah menghasilkan enam album bersama Exist.

Antara lagu yang terkandung di dalam album itu adalah Percintaan Ini, Mengharap Bintang, Masih Terserlah Ayu Mu, Alasanmu dan Tiba-tiba Teringat.

Dia yang seperti bermula semula dalam karier nyanyian menganggap bergerak sendiri dan bersama kumpulan adalah sesuatu yang berbeza.

"Pastinya cabaran itu lebih besar, tetapi saya perlu tampil dengan produk yang berkualiti untuk diterima peminat," kata anak kelahiran negeri Jelapang Padi itu.

Dia menampilkan beberapa orang pencipta lagu lama dan baharu antaranya Adi Sixthsense, Eddie Hamid, Saari Amri, Mawar Putih, Ed Lazim, Harun Ahmad dan Juwie.

Ezad yang pernah membintangi beberapa buah filem seperti Mami Jarum, Mistik dan Kuliah Cinta kini turut kembali tampil dalam kerjaya lakonan.

Wajahnya boleh disaksikan di dalam drama Cinta Tampal yang disiarkan di saluran Astro Warna pada setiap hari khamis pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: