Sunday, November 13, 2011

Jasmin mahu privasi


SELEPAS cedera terkena air panas di lokasi, Jasmin hanya bercuti selama dua minggu. Walaupun ada parut di paha dan betis, itu tidak menyekatnya untuk menerima tawaran lakonan.


LEBIH 20 tahun Jasmin Hamid bergelumang dalam dunia seni namun wajahnya seperti tidak dimamah usia. Dia antara dramatis yang sentiasa ditunggu-tunggu kemunculannya di layar kaca.

Aktres kelahiran Kuala Lumpur itu pernah menjulang trofi Aktres Terbaik di Anugerah Skrin 1996 menerusi watak komedi dalam drama Jutawan Segera.

Terbaru, Jasmin muncul dalam telefilem, Bara Cinta Ramadan yang cukup menyentuh hati. Lakonannya bersama Zamarul Hisham dan Fauziah Nawi disiarkan pada Aidilfitri lalu. Penghayatannya cukup berkesan dalam drama-drama seperti Bicara Aur Dengan Tebing, Datin Wan Abe, Syurga Di Mana, Ilham Suci dan Relung Kasih.

Selepas dikejutkan dengan insiden terkena air panas pada Mei lalu, Jasmin kini bakal bersatu dengan nama-nama besar seperti Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida, Aaron Aziz, Ziela Jalil dan Fizz Fairuz.

Mereka sedang beraksi dalam teater Badai Semalam yang mengambil tempat di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 20 Disember ini.

DORA DALAM BADAI SEMALAM

Menjadi Dora saya kena menjiwai kehidupan perempuan kabaret. Walaupun dipandang rendah tapi Dora juga ada hati dan perasaan. Untuk watak itu, saya tak akan bermain dengan pelakon lain, saya cuma hidup di sisi Karim (Aaron Aziz), Dialah kekasih Karim sebelum kehadiran Mazni dan apabila perkahwinan Karim tidak bahagia, Dora menjadi tempat Karim mencari kebahagiaan.

PARUT DI PAHA DAN BETIS

Alhamdulillah, ia semakin sembuh dan sekarang saya masih menjalani rawatan. Doktor menasihatkan saya agar tidak terburu-buru untuk mengambil pembedahan laser kerana bimbang akan mendatangkan risiko kepada kulit, takut kulit akan menggelembung dan parut menjadi lebih teruk. Jadi biar ia pulih sedikit demi sedikit, lambat sikit tidak mengapa, bukan parut kekal pun.

KISAH PERIBADI DAN KEPERIBADIAN

Saya memang tak suka kisah peribadi menjadi bahan untuk diceritakan. Ada selebriti yang suka tapi saya tidak menyukainya. Namapun peribadi, jadi tidak perlulah dipaparkan. Itu pegangan saya.

UKURAN LAKONAN

Setiap medium, teater, drama atau filem ada kepayahan dan kepuasan tersendiri untuk menjayakan sesuatu watak. Saya juga tidak boleh untuk menilai keberkesanan karakter. Hanya penonton yang boleh menilai semua itu.

NOVEL

Saya bukan pembaca novel sebaliknya saya suka menonton. Kalau saya baca pasti akan tertidur. Saya cuma akan baca skrip sebab itu periuk nasi saya, mahu tidak mahu tetap kena baca, Macam dalam Badai Semalam, saya tak sempat menelaah baca novel berkenaan hanya baca skrip sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: