BUKAN sesuatu yang pelik kalau si selebriti ini memberikan pelbagai alasan remeh jika terlambat sampai ke sesuatu lokasi untuk tugasannya. Kiranya, mereka yang biasa bekerja dengannya tahu sikap kurang elok si dia ni.
Setakat ini jika disebut pasal disiplin, boleh diletakkan dia ini berada dalam kedudukan Top 5 sebab kerap tersasar daripada waktu dijanjikan. Bukanlah setiap hari, tetapi dalam lima situasi, mesti ada setidak-tidaknya sekali dia tiba lewat daripada waktu ditetapkan.
Namun beberapa minit sebelum waktu dijanjikan, bayangnya tak kunjung tiba. Pastinya yang kalut ialah wakil produksi. Apabila dihubungi, katanya dia sudah di tempat letak kereta. Jadi, lega sedikit rasa hati.
Tunggu punya tunggu, lima minit tiada, 10 minit pun tak kunjung-kunjung tiba. Bila dia mengaku sudah sampai dan mahu mencari petak kosong, tentulah produksi enggan mengganggunya berulang kali. Tetapi, selepas langsung tak nampak batang hidung, sekali lagi dia dihubungi.
Rupa-rupanya dia sudah menutup telefon bimbitnya. Aduhai, lawak apa yang dilakukan? Berpetak juga muka wakil produksi mahu menjelaskan kepada orang atasannya. Kalau pun ada masalah, kenapa tak sedari awal menjelaskan keadaan sebenar daripada membiarkan orang tertunggu-tunggu.
Cik Normah rasa, spesies begini jangan lagi dilayan. Orang lain pun ada ketikanya terlambat, tetapi punya alasan kukuh. Dia pula lebih cemerlang apabila sampai ke tahap tak muncul langsung. Selepas itu, bukan reti mahu meminta maaf, malah berlagak seperti tiada apa-apa berlaku. Atau barangkali dia diserang amnesia?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: