SEBAGAI penyedia perkhidmatan televisyen bersatelit dan radio berbayar pertama di Malaysia, menggunakan slogan ‘Macam-macam Ada’, Astro mengekalkan momentum dengan menyediakan pelbagai jenis saluran bukan sahaja hiburan, sukan dan muzik malah termasuk pendidikan.
Khusus buat penonton yang meminati bidang sains, rancangan Clever! edisi Malaysia sangai sesuai ditonton kerana ia bukan sahaja sesuai untuk pelajar sekolah namun semua peringkat umur.
Menerusi program terbitan ini, penonton boleh belajar dan mengetahui lebih banyak mengenai sains dan eksperimen yang akan membuatkan anda teruja dengan hasil kajian yang dilakukan.
Setelah berjaya mendapat sambutan luar biasa di musim pertama, Clever! di musim kedua kini kembali dan apa yang menarik, program ini masih lagi mengekalkan dua orang hosnya, Aznil Nawawi dan Rafidah Abdullah.
Produksi musim kedua ini memperkukuhkan komitmen Astro dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan warga muda Malaysia dengan menggabungkan aspek pendidikan dan elemen hiburan.
“Kami mengekalkan semangat yang sama seperti musim pertama yang mana ia bertujuan untuk membantu pelajar mempelajari dan memahami sains menerusi format persembahan yang menghiburkan lagi menarik.
“Musim ini, Clever! akan membawakan pengalaman lebih meluas dan lebih seronok bagi menarik perhatian pelajar merangsang minda mereka untuk mecetuskan logik akal dan kreativiti,” jelas Ketua Pendidikan Astro, Ravi Gopal semasa sidang akhbar yang diadakan di Restoran Delicious, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
Apa yang menarik, beberapa selebriti tempatan akan dijemput bagi sama-sama menguji pengetahuan saintifik pada diri mereka dengan berganding bersama peserta yang merupakan pelajar sekolah sebagai sebuah pasukan. Antara selebriti yang membuat penampilan istimewa dalam Clever! 2 termasuklah Zizan, Johan dan Nabil Raja Lawak, Jaclyn Victor, Ana Raffali, Sarimah Ibrahim, Diana Danielle dan Didie Alias.
Selain itu, bagi mereka yang mahukan pengalaman langsung mengenai dunia sains, Karnival Sains Clever! yang diadakan di banyak lokasi akan dibuka secara percuma kepada orang awam.
Bagi penonton yang ketinggalan dan ingin menonton episod Clever! dan ingin mendalami pemahaman sains mereka, sila lawat laman web Clever! di www.astro.com. my/clever.
Jangan ketinggalan menonton episod baharu musim baharu Clever! yang akan ke udara setiap Sabtu pada pukul 1.30 petang mulai 22 Oktober lepas di saluran Astro TVIQ (saluran 610).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: