Tuesday, November 1, 2011

Bekalan lembu Aidiladha cukup


BEKALAN lembu dijamin mencukupi sempena sambutan Aidiladha bulan depan. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Sebanyak 53,000 ekor lembu dibekalkan bagi keperluan umat Islam menyambut Aidiladha tahun ini dan jumlah itu dijangka mencukupi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 47,000 lembu daging hidup telah diimport dari Australia.

Bakinya iaitu 4,000 ekor lembu lagi diimport dari Thailand dan selebihnya adalah sumber dari dalam negara.

"Lembu-lembu dari Thailand dan Australia diimport oleh syarikat-syarikat yang telah diberi permit manakala lembu hidup dalaman adalah dari projek-projek integrasi Felda dan RISDA di seluruh negara," kata beliau dalam kenyataan di sini semalam.

Mengenai harga ayam, daging lembu dan kambing di pasaran runcit sempena sambutan Aidiladha ini, Aziz berkata, harga yang ditetapkan dijangka stabil sehingga tiba musim perayaan itu.

Beliau berkata, ini kerana persediaan awal dan bekalan yang mencukupi sudah dilaksanakan untuk menampung permintaan pengguna.

Menurutnya, harga ayam runcit atau sembelih adalah RM7.80 sekilogram (kg), daging lembu tempatan RM22.50 sekg, daging kerbau India RM12 sekg, daging kambing tempatan RM32 sekg manakala harga daging kambing import adalah RM28 sekilogram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: