Cavill menunjukkan keupayaannya mengangkat tubuh naik ke bumbung.
Henry Cavill menunjukkan tubuhnya yang sasa di set penggambaran filem Superman yang baru di Vancouver, Canada
SUDAH pasti ia satu peranan yang sukar dibawa.
Tapi Henry Cavill membuktikan yang dia tidak ada masalah membawa gelaran ‘Man Of Steel’ ketika menayangkan tubuhnya yang sasa dalam set penggambaran filem ‘Superman’ terbaru di Vancouver, Canada, minggu lalu.
Aktor British yang berusia 28 tahun ini kelihatan sangat sasa ketika merakam babak di mana dia tidak berbaju, dengan latar belakang skrin hijau.
Cavill telah bekerja keras untuk mendapatkan tubuh sasa begini untuk berlakon watak ‘Superman’ dalam filem adaptasi komik terbaru ini.
Ketika bercakap tentang diet dan senaman, Cavill baru-baru ini berkata, “Saya dalam pelan 5,000 kalori sehari. Anda perlu makan protein dahulu, kemudian sedikit karbohidrat... anda perlu sentiasa memastikan anda tidak lapar.”
“Saya bersenam selama dua setengah jam sehari, memaksa tubuh saya melepasi had biasa dan pastikan otot naik dan jadikan diri saya kelihatan seperti Superman. Walaupun Cavill, aktor filem ‘Stardust’, turut menunjukkan tubuh sasanya dalam filem ‘Immortals’, fizikal tubuhnya dalam filem Superman, sedikit berlainan.
Katanya, “Walaupun sasa, masih berbeza. Apabila anda lihat saya dalam filem ‘Immortals’ anda akan faham maksud saya. Tubuh saya akan dibentuk sepanjang penggambaran ini. Tapi saya rasa memang berlainan daripada filem ‘Immortals’”
Cavill juga bercerita tentang memakai sut pakaian Superman yang terkenal yang pernah dipakai oleh aktor seperti Christopher Reeve, Brandon Routh dan Dean Cain yang pernah melakonkan watak adiwira dalam filem sebelum ini dan adaptasi dalam siri televisyen.
Katanya kepada Total Film, “Seronok sangat. Tak ada perasaan selain ini. Mereka cuma pakaikan sut itu, saya pusing memandang cermin dan terus rasa tak tahan nak ketawa - saya ketawa terbahak-bahak.”
“Waktu itu saya fikir, ‘Okey, inilah sebenarnya, bukan jenaka lagi. Sekarang masanya... Saya perlu lakukan... Saya sedang lakukan.’”
Filem ‘Man Of Steel’ yang dijangka ditayangkan pada 2013, turut dibintangi oleh Amy Adams sebagai teman sepejabatnya, wartawan Lois Lane di Daily Planet.
Ketika diwawancara tentang wataknya itu, Amy Adams berkata, “Apa yang saya suka tentang Lois Lane ini, dia seorang wanita yang sentiasa kuat, berjaya dan berdikari. Saya tertarik dengan watak itu.
“Apa yang saya suka mengenainya, dia seorang yang bijak tetapi mengekalkan sifat kewanitaannya dan saya rasa perwatakan itu yang mahu saya ajar kepada anak saya, yang seorang tidak perlu menjadi lelaki untuk berkuasa.
“Anda masih boleh jadi seorang wanita yang mempunyai kuasa.”
Filem “Man Of Steel” turut dibintangi oleh Russell Crowe sebagai Jor-El dan Laurence Fishburne sebagai editor Daily Planet, Perry White.
Kevin Costner dan Diane Lane turut berlakon sebagai ibu bapa Clark, Jonathan dan Martha Kent.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: