
JIKA ketawa dikatakan antara ubat paling mujarab, buah-buahan dan lukisan pula adalah dos tambahan yang diperlukan untuk membantu mempercepatkan pemulihan.
Pepatah itu telah memberi inspirasi kepada MBG Fruitshop mengunjungi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi menghadiahkan 20 buah lukisan dan bakul buah-buahan kepada semua kanak-kanak di wad pediatrik PPUKM sempena Hari Kanak-Kanak Malaysia baru-baru ini.
Lukisan yang disumbangkan tersebut akan dipaparkan pada dinding hospital dan bilik mainan bagi menceriakan persekitaran dan mempercepatkan pemulihan pesakit kanak-kanak.
Selain lukisan dan sumbangan buah-buahan, sejumlah wang tunai juga telah dikumpulkan menerusi acara melukis MBG yang disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak PPUKM.
"Sumbangan kepada wad kanak-kanak PPUKM adalah sebahagian daripada kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan kami iaitu Kesihatan adalah Kekayaan. Ia bagi menggalakkan kehidupan yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Untuk menyokong perayaan Hari Kanak-Kanak, kami memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta interaksi keluarga," kata Pengarah Urusan MBG, Adnan Lee.
Tambahnya, baru-baru ini MBG turut menganjurkan peraduan di laman Facebook untuk menggalakkan orang ramai makan buah-buahan dan menjaga kesihatan keluarga dengan memberi tumpuan kepada kanak-kanak.
"Kebanyakan pemenang adalah kanak-kanak dan mereka telah menggunakan kuasa insan sebagai sudut utama fotonya untuk memperlihatkan keseronokan, tenaga, semangat berpasukan, setiakawan dan keriangan.

"Kesemua elemen ini penting untuk kesihatan mental dan fizikal yang baik," ujarnya.
Bagi menunjukkan betapa hebatnya 'kuasa' kanak-kanak dalam berkarya, dua pemenang utama yang dipilih terdiri daripada kanak-kanak.
Salah seorang pemenang hadiah utama, Tan Ann Ann, 13, memperlihatkan hubungan akrab antara ibu dan anak. Apabila Ann Ann mengambil keputusan untuk menyertai peraduan di laman Facebook, langkah pertama yang diambil adalah memberitahu kawan karibnya iaitu ibunya sendiri, Lee Pei See, 36.
Sebagai seorang guru tuisyen, Pei See membantu mengumpulkan semua pelajar di bawah bimbingannya untuk membolehkan anaknya merakamkan gambar mereka dalam keadaan seronok dan bergurau senda.
"Kami menghabiskan banyak masa yang menyeronokkan bersama, ketawa dan riang gembira sepanjang proses membuat persiapan untuk penggambaran. Hadiah utama ini adalah satu ganjaran kepada kami, tetapi hadiah paling berharga ialah menjadi kawan sejati kepada anak saya," ujarnya.
Hadiah bernilai RM10,000 telah diberikan kepada semua pemenang. Untuk maklumat selanjutnya sila ke www.mbg.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: