KELIMA-LIMA anak muda ini mempunyai misi yang sama. Mereka mahu melihat nama Awanband pantas berdiri di arena hiburan arus perdana.
Ully selaku gitaris utama, Boboi (gitaris kedua), Ijan (drum), Hassan (bass) dan Faris (vokalis) sebelum ini sama-sama meniup angin Awanband di arena indie.
Diberi peluang untuk menjengah ke dunia hiburan dengan menghasilkan sebuah album komersial merupakan sesuatu yang mereka idamkan.
Maka tanggal penghujung September lalu lengkaplah permulaan kitaran penjenamaan Awanband di dunia muzik komersial. Itu juga sebagai tangga mula buat Awanband untuk mendaki ke peringkat global.
Mereka tampil dengan sebuah album berjudul Awanband. Album tersebut menampilkan enam buah lagu termasuklah yang berjudul Lintasan Bintang, Tunggu, Oh My Love, Kartita, Dramatik dan Roda Khayalan.
"Syukur kerana kami diberi peluang untuk sama-sama memeriahkan dunia hiburan mainstream. Target Awanband adalah untuk ke luar negara. Justeru kami perlu meletakkan kekuatan di arena mainstream dahulu.
"Namun begitu, tidak kiralah sama ada di dunia mainstream atau indie kita semua sebenarnya sama. Masing-masing memperjuangkan muzik kerana muzik adalah universal," kata Faris kepada Sensasi Bintang.
Dengan mempertaruhkan album bergenre pop alternatif rock, Awanband tidak mahu sekadar menghasilkan lagu sebagai penyedap telinga tetapi ingin menyampaikan mesej.
Awanband komited untuk terus memperjuangkan lagu-lagu mereka demi menggembirakan orang ramai.
"Kami mahukan orang yang mendengar lagu-lagu Awanband memperoleh jalan penyelesaian tidak kira dalam apa-apa jua perkara yang mereka dihadapi kerana muzik adalah satu cabang kehidupan.
"Muzik dengan impak yang positif buat pendengar dan peminat adalah apa yang ingin Awanband sampaikan," kata Ully.
Tidak mahu terpesong daripada matlamat asal band yang ditubuhkan sejak tahun 2007 itu, Awanband tidak pernah memikirkan soal perpecahan grup.
Biarpun dimomokkan dengan kisah-kisah band lain yang pernah terkubur, kelima-lima mereka nekad untuk terus bersama-sama sampai bila-bila.
"Kami tidak pernah fikir soal untuk berpecah. Lagipun kami masih di peringkat permulaan dalam perjuangan yang sama-sama kami cari.
"Sebagai langkah untuk tidak mengecilkan hati sesiapa, kami sentiasa menjadikan komunikasi yang baik sebagai asas kepada penyelesaian masalah.
"Nama Awanband lebih penting. Jadi, kami tidak akan berkecil hati jika tidak semua daripada kami popular di mata peminat," kata Faris lagi.
Biarpun belum sampai dua bulan album tersebut dikeluarkan, lagu Lintasan Bintang dan Kartita kini mula mendaki carta di stesen radio tempatan.
"Sebagai permulaan, album ini seperti sebuah eksperimen kami terhadap penerimaan peminat.
"Jika peminat menyukainya, kami akan meneruskan cara ini," kata mereka yang mengikat kontrak selama tiga tahun bersama Warner Music.
Bukan sahaja menampilkan lagu-lagu berentak segar, Awanband kini pantas mencipta nama kerena telah mempunyai hampir 10,000 pengikut di laman sosial Facebook.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: