Sunday, November 27, 2011

AIM18 bunuh kepercayaan


SUASANA sidang media khas penyerahan semula trofi Lagu Terbaik AIM18 sedikit tegang apabila Rosmin (dua dari kiri) dihujani perbagai persoalan.


POLEMIK penjurian dalam penganjuran AIM oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang sepatutnya ditutup dengan penuh gilang-gemilang pada 12 November lalu berakhir dengan tragedi yang menghancurkan prestij acara itu. Ia disifatkan sebagai detik paling memalukan dalam sejarah hampir dua dekad AIM dianjurkan.

Sudah 18 kali dianjurkan, insiden salah faham tentang kriteria utama dalam pemilihan sesebuah Lagu Terbaik AIM sepatutnya tidak harus berlaku. Sudah sah tertulis dalam 'piagam' AIM sendiri bahawa lagu terbaik haruslah dipilih daripada salah satu pemenang lagu terbaik daripada setiap genre muzik. Jadi kenapa harus lagu yang tidak memenangi mana-mana subkategori diumumkan sebagai Lagu Terbaik AIM 18?

Mulanya lagu Penakut karya dan nyanyian Yuna diangkat sebagai Lagu Terbaik, selang dua minggu kemudian, ralat AIM diperbetulkan apabila lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain dan karya Edry Abd. Halim pula diumumkan sebagai pemenang sebenar.

Sebagai penganjur yang mengambil alih kuasa AIM daripada Persatuan Akademi Industri Muzik (Akademi), RIM ternyata mempamerkan pekung di dada. Meletakkan kesalahan itu atas bahu firma juruaudit Ernst & Young dalam mentafsirkan pemenang dan hasil penjurian dianggap alasan paling pincang yang diberikan oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim.

"Penjurian untuk lagu terbaik bagi empat kategori muzik, pop, rock, etnik kreatif dan nasyid dinilai oleh 23 orang panel juri, manakala untuk lagu terbaik pula, dinilai oleh 10 juri lain. Juri untuk lagu terbaik tidak mengetahui lagu mana yang dipilih sebagai pemenang setiap kategori.

"Itu adalah teknik penjurian yang diguna pakai sejak beberapa AIM terdahulu, cuma tahun ini sahaja, keputusan lagu terbaik tidak selari dengan apa yang diputuskan dalam penjurian lagu terbaik di peringkat kategori muzik," tegas Rosmin tentang penarikan semula trofi lagu terbaik daripada Penakut kepada Sedetik Lebih.

Ernst & Young meletakkan lagu Penakut sebagai Lagu Terbaik AIM berdasarkan markah tertinggi daripada 20 lagu yang dinilai oleh 10 orang juri dalam pemilihan lagu terbaik.

Tersiratnya, lagu karya Yuna itu sudah menang sebagai lagu terbaik di mata 10 juri malangnya ia tidak menang sebagai Lagu Pop Terbaik AIM dalam penjurian di peringkat subkategori yang dinilai 23 juri. Jadi secara rasminya, Penakut tidak boleh menyandang trofi Lagu Terbaik AIM 18.

Dari satu sudut yang lain pula, kenapa harus ada dua penjurian berasingan, kenapa tidak salah satu lagu terbaik dari peringkat subkategori sahaja yang dinilai untuk diangkat sebagai lagu terbaik keseluruhan. Persoalan-persoalan sebegitu sedikit sebanyak menyumbang kepada kepincangan strategi RIM sendiri yang sengaja menimbulkan punca konflik.

Tindakan RIM yang sengaja mahu bermain teka-teki itu akhirnya merosakkan kepercayaan umum bahawa aspek penjurian dalam mana-mana anugerah sebenarnya bukan satu keputusan mutlak, tidak muktamad dan boleh dipertikaikan kredibilitinya.

Episod penyerahan semula trofi daripada tangan Yuna kepada Anuar Zain dan Edry berlangsung dalam suasana tenang dan terbuka di ibu negara, Khamis lalu. Sedikit mencemar maruah tetapi masih boleh disifatkan sebagai jalan penyelesaian terbaik, sama ada Yuna, Anuar Zain atau Edry, keputusan terbaharu AIM itu harus diterima walaupun kelatnya menjerat kerongkong masing-masing.

"Saya sudah rasa pelik bila diumumkan penerima lagu terbaik pada malam AIM baru-baru ini. Bila diminta menyerahkan semula trofi itu kepada Edry dan Anuar, saya harus akur walaupun rasa janggal dan terkilan.

"Orang akan kata, kasihannya Yuna, malunya Yuna, tapi bagi saya apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Perkara ini juga sedikitpun tidak menjejaskan saya tetapi lebih teruk ia memberi impak terhadap kredibiliti semua orang industri muzik sendiri," ujar Yuna yang menyifatkan setiap pihak melakukan kesilapan.

Ditanya adakah dia masih mahu bertanding lagi dalam AIM, sebagai orang baharu Yuna optimis terhadap perjuangan kariernya yang baru mencecah usia dua tahun.

"Saya takkan serik untuk bertanding lagi kerana saya seorang pemuzik Malaysia, ini periuk nasi saya. Saya tidak perlu rasa kecewa, saya perlu sokong industri," ujarnya berhemah yang memenuhi permintaan penganjur.

Rasional yang ditunjukkan Yuna menyebabkan Anuar dan Edry seperti malu alah untuk menerima trofi Lagu Terbaik AIM 18.

"Kami semua (Anuar, Edry dan Yuna) adalah mangsa dalam soal ini. Perkara ini tidak patut berlaku dan tidak harus berulang pada masa akan datang. Ia soal maruah dan saya sebenarnya malu untuk mengambil anugerah ini daripada tangan Yuna," ujar Anuar Zain secara terbuka.

Tambahnya sedikit beremosi: "Ini kesilapan paling besar dalam sejarah industri hiburan tanah air dan malangnya saya terpalit dalam sejarah ini. Tapi saya menerima penghargaan ini dengan fikiran positif agar industri seni dapat berkembang baik pada masa hadapan. Bagusnya, penganjur berani untuk mengakui dan memperbetulkan kesilapan itu secara terbuka, ini juga satu tindakan yang tidak mudah."

Menyentuh soal pembabitan KRU iaitu Norman Abd. Halim sebagai tunjang RIM, sebagai adik, Edry menafikan wujudnya campur tangan Norman dalam hal itu.

"Memang orang mudah mengaitkan Norman, dalam FFM (Festival Filem Malaysia) juga begitu, tapi dengan rendah serendah hatinya, saya boleh kata yang Norman tiada kaitan dalam soal ini," ungkap Edry berdiplomasi secukupnya tidak mahu mencalar perasaan sesiapa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: