Saturday, November 12, 2011

508 murid SK Rapat Jaya sertai pertandingan mewarna


SEBAHAGIAN daripada guru-guru bersama murid- murid yang memenangi pertandingan mewarna anjuran Utusan Malaysia di SK Rapat Jaya, Ipoh, semalam.


IPOH 11 Nov. - Pertandingan mewarna anjuran akhbar Utusan Malaysia sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia di Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Jaya, dekat sini hari ini berlangsung meriah dengan penyertaan 508 murid sekolah tersebut.

Pertandingan mewarna yang bermula pukul 9 pagi itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu A (prasekolah), B (tahun satu hingga tiga) dan C (tahun empat, lima dan enam).

Kategori A dimenangi oleh Nurul Sadirah Mohd. Rushdan, 6, manakala kategori B pula diungguli oleh Kasih Lia Bisyara Ahmad Kamal, 8, sementara Mohd. Amirul Fazlie Mohd. Zawawi, 11, pula kategori C.

Kesemua pemenang menerima hadiah berupa hamper dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Guru Besar SK Rapat Jaya, Faridah Mansor manakala tujuh lagi peserta terbaik bagi setiap kategori turut membawa pulang hadiah sagu hati.

Selain itu, peserta juga menerima naskhah akhbar Utusan Malaysia, secara percuma setiap orang.

Turut hadir, Eksekutif Jualan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. Cawangan Perak, Mohd. Saifuddin Sarmin.

Menurut Faridah, program anjuran akhbar Utusan Malaysia yang pertama kali diadakan di sekolah itu bukan sahaja memenuhi masa lapang murid-murid malah mampu mendekatkan lagi mereka dengan akhbar tersebut.

Selain itu, katanya, pertandingan mewarna yang bertemakan 1Malaysia itu juga mampu menyemai sikap mencintai negara di kalangan murid-murid peringkat rendah.

"Sambutan yang diterima daripada murid dan guru untuk program ini sangat menggalakkan dan pada masa akan datang kita akan melakukan lebih banyak program bermanfaat seumpama ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: