SEMPANG – Menyedari ancaman babi hutan ke atas penduduk di beberapa kampung dalam Dun Serkam sejak lebih enam bulan lalu, operasi menempak haiwan liar berkenaan giat dilakukan semalam.
Operasi terbabit melibatkan sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) bersama Angkatan Relawan Malaysia (Rela) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sempang.
Pengerusi JKKK Sempang, Masud Md dani, 62, berkata, ancaman babi hutan itu bukan sahaja merosakkan tanaman penduduk, malah turut mengancam keselamatan mereka selain membabitkan kemalangan melibatkan motosikal.
Menurutnya, operasi yang julung kali diadakan itu akan diteruskan pada fasa kedua dalam masa terdekat.
Katanya, ia berikutan masih banyak haiwan liar berkenaan yang berkeliaran di kawasan kampung dan kehadirannya mengganggu keselesaan penduduk.
“Kami mengambil masa lebih kurang sebulan sebelum operasi ini dijalankan termasuk beberapa penelitian dan perbincangan secara terperinci supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dalam operasi itu, 13 babi hutan berjaya ditembak dengan kerjasama semua pihak terlibat.
Tambahnya, pihaknya juga akan mempertingkatkan keselamatan di kawasan kampung terbabit dan akan meneruskan operasi menembak kerana masalah itu akan berterusan sekiranya tiada langkah mengatasi diambil.
“Saya berharap penduduk kampung dapat memberi kerjasama dalam memastikan keselamatan mereka terutama semasa operasi ini diadakan,” katanya.
Difahamkan, seramai 60 individu terlibat dalam operasi itu dengan menggunakan 22 laras senapang termasuk tujuh ekor anjing pengesan yang melakukan operasi di kawasan Paya Lukah, Pasir Gembur dan Pokok Buluh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: