banjir lagi

AJIL – Hujan lebat bermula malam semalam yang melanda Pantai Timur, khasnya Hulu Terengganu mengakibatkan beberapa kampung di Dun Ajil dinaiki air awal pagi semalam.

Keadaan banjir berlaku disebabkan air Sungai Padi, Sungai Kua dan Sungai Ajil melimpah ke rumah penduduk berhampiran tebing serta sekitarnya.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa kampung di Dun berkenaan, mendapati Kampung Kua, Kampung Bukit Kolam dan Kampung Tok Randok sudah mula dinaiki air seawal jam tiga pagi semalam.


Hujan lebat tiga jam

Penduduk, Habsah Salleh, 57, berkata, kira-kira dua hingga tiga jam setelah hujan lebat melanda, air Sungai Kua yang tidak jauh dari rumahnya, mula memasuki kawasan dapur dan halaman rumah.

“Ketika hujan lebat, malam tadi (semalam), makcik sudah bersedia mengangkat barang di bahagian dapur dan diletakkan di tempat yang lebih tinggi kerana bimbang ditenggelami air.

“Barang lain yang berharga juga siap disimpan kerana jika hujan berterusan, kami akan berpindah ke Masjid Kua iaitu pusat pemindahan banjir di kawasan ini seperti kebiasaan tahun sebelumnya untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.


Air setinggi paras lutut

Menurut Habsah dari Kampung Kua, air yang masuk ke bahagian dapur setinggi paras lutut sekitar jam 4 pagi semalam mulai surut secara beransur-ansur menjelang 9 pagi.

“Bagaimanapun, keadaan ini mula mencemaskan kami sekeluarga, bimbang tidak sempat menyelamatkan diri kerana air mula naik pada waktu malam ketika penduduk sedang tidur.

“Sekarang ini pun, memang tidak dapat tidur dengan lena kerana amaran pertama (banjir) telah berlaku dan pada kebiasaannya, sebanyak dua hingga tiga kali juga kampung dinaiki air musim banjir,” katanya.

Sementara itu, Hasmawati Mohamad, 36, dari Kampung Tok Randok berkata, dia menyedari hujan lebat jam 10 malam dan tidak menyangka hujan itu menyebabkan air Sungai Ajil melimpah ke rumahnya.

“Pada mulanya saya cuma ingat, hujan biasa, tetapi lama-kelamaan apabila ia tidak berhenti dan semakin lebat, rasa tidak sedap hati dan keluar melihat keadaan luar rumah.


Terkejut air masuk ke dalam rumah

“Terkejut juga apabila buka pintu hadapan, tengok air sudah melimpah di pekarangan rumah dan dalam sekelip mata tanpa sempat berbuat apa-apa, air mula masuk ke dalam rumah. Pada masa itu, saya hanya sempat mengemas apa yang patut sahaja,” katanya yang menceritakan detik berkenaan.

Menurutnya, menyedari kea­­daan semakin buruk, dia mengalihkan dua kenderaannya ke tempat yang lebih tinggi dan selamat.

“Ternakan seperti itik dan ayam juga sempat dimasukkan ke dalam reban bagi mengelak lemas banjir atau dihanyutkan air.

“Tetapi nasib baik, hujan berhenti pada pagi ini (semalam), kalau tidak teruk lagi keadaan banjir ini” katanya.

Katanya, hampir lima rumah di kawasan itu dinaiki air awal pagi semalam termasuk rumahnya yang berada paling hampir dengan Sungai Ajil.


Warga emas enggan pindah

Sementara itu, seorang warga emas enggan meninggalkan rumah biarpun kediamannya di Kampung Bukit Kolam di sini, hampir ditenggelami air sedalam kira-kira dua meter, semalam.

Walaupun hampir sejam dipujuk oleh pihak Bomba dan Penyelamat, Embong Ismail, 76, yang tinggal seorang diri tidak mahu berpindah dari rumah pusakanya atas alasan telah biasa dengan keadaan itu.

“Pakcik dah biasa dengan keadaan banjir ini, biarlah pak cik tinggal di rumah ini, sekejap lagi air akan surut,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, semalam.

Walaupun beberapa kali turut dipujuk oleh anak lelakinya Otman, 38, yang telah berpindah ke pusat pemindahan banjir, Embong yang mempunyai lima anak masih enggan meninggalkan rumahnya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kampung berkenaan mendapati lima rumah yang didiami 18 orang ditenggelami air hampir dua meter.

Kesemua mangsa mula dipindahkan ke Balai Raya Kampung Bukit Kolam kira-kira jam 11 pagi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Daerah Hulu Terengganu mula dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam.

Paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap kini melebihi paras bahaya iaitu 22.14 meter (bahaya 21.5 meter) dan Sungai Telemong di Kampung Paya Rapat meningkat kepada paras amaran iaitu 21.2 meter (amaran 21 meter).

Semalam, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang boleh mengakibatkan banjir terutama di kawasan rendah.