LUAR dugaan, begitulah sambutan Taklimat untuk Para Kontraktor bagi Projek Transit Aliran Pantas (MRT) Lembah Klang Jajaran Sungai Buloh - Kajang di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Masakan tidak, majlis yang dianjurkan oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) itu menyaksikan hampir 1,000 usahawan dan teknokrat serta pemain industri pembinaan dan kejuruteraan hadir untuk mendengar taklimat.
Kapasiti Kristal Ballroom di Hotel PJ Hilton hanya dapat memuatkan 700 hadirin menyebabkan segelintirnya diberikan tempat duduk tambahan manakala mereka yang lain terpaksa berdiri di bahagian pintu masuk dan ruang legar luar dewan.
Bagaimanapun, taklimat tersebut berlangsung begitu singkat, kira-kira satu jam, daripada yang dijadualkan. Ia membabitkan penerangan mengenai gambaran projek MRT secara keseluruhan serta sesi soal jawab antara pihak Prasarana dan kontraktor.
Taklimat singkat itu sedikit mengecewakan segelintir peserta yang menjangkakan sesuatu yang lebih lengkap dan gambaran penuh tentang projek MRT dan bidang kerja yang ada.
Selain itu, tiada kertas kerja diedarkan kepada peserta berhubung butiran lengkap berkaitan kerja-kerja kontraktor kecuali risalah ringkas mengenai projek MRT.
Kekecewaan itu jelas dilihat di kalangan hadirin apabila sebahagian besarnya terus keluar dewan dan pulang sebaik sahaja taklimat berakhir.
Namun apa yang Mingguan mStar perhatikan ialah projek bernilai RM36 bilion itu telah mencetuskan semangat para usahawan dan kontraktor, ramai yang mencadangkan supaya Prasarana mengadakan taklimat susulan sebagai penilaian pra-kelayakan kepada kontraktor.
Suara pandangan
Timbalan Pengurus Besar Bahagian Teknikal sebuah syarikat kontraktor, G.C.Hong berkata, tawaran yang diberikan itu merupakan satu peluang yang amat bagus untuk semua terutama kontraktor tempatan.
Menurutnya, peluang melakukan kerja-kerja awam diberikan kepada kontraktor tempatan menolak persepsi bahawa setiap projek mega itu mesti memerlukan kepakaran asing.
“Taklimat ini memberi kefahaman kepada kami bahawa Prasarana adalah pihak yang terbabit dalam urusan tender dan dokumentasi mengenai projek MRT.
“Sikap keterbukaan ini memberi peluang kepada semua kontraktor berdasarkan pengalaman, kekuatan dan keupayaan masing-masing terhadap pakej kerja yang ditawarkan,” katanya.
Hong berkata, taklimat berkenaan turut memberi ruang kepada kontraktor menyuarakan pandangan dan pertanyaan berkaitan dengan projek terbabit.
Keperluan sebenar
Bagi Ketua Bahagian Pembinaan Perspec Prime (Malaysia) Sdn Bhd, Yariub O.A., taklimat tersebut dilihat begitu praktikal dan lengkap mengenai penjajaran projek, penetapan setiap stesen serta jarak laluan keseluruhan.
Bagaimanapun katanya, penjelasan boleh diperkemaskan dengan lebih terperinci sehingga ke peringkat pengesahan penjajaran projek, rekaan dan struktur.
“Berdasarkan pandangan kejuruteraan, setiap perkara yang lengkap dan terperinci perlu didedahkan sewajarnya bagi menentukan keperluan, nilai dan kekangan sebenar.
“Pun begitu, saya bersetuju berhubung penganjuran taklimat ini melibatkan penyertaan semua kontraktor dengan penerangan secara telus dan demokratik.
“Sesiapa (kontraktor) yang cekap dan mempunyai cadangan kejuruteraan berhubung pakej yang ditawarkan seharusnya mengambil peluang keemasan ini,” katanya.
Contoh model
Eksekutif Pembangunan Perniagaan Topaz Intergrated Technology Sdn Bhd, Wan Mohamad Noor Al-Amin Mohd Nasir@Azman pula berkata, MRT merupakan sebuah projek mega negara dan keputusan untuk membuka tawaran kepada semua kontraktor adalah satu peluang baik dalam industri.
“Walaupun tawaran adalah terbuka, diharapkan projek ini dapat mengambil kira penggunaan teknologi itu menyamai negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat.
“Kekuatan kontraktor berdasarkan prestasi dan pengalaman mereka sama ada boleh meyakinkan pihak Prasarana dalam melaksanakan projek ini atau tidak,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, Prasarana perlu mengadakan taklimat susulan kerana pembentangan pertama masih tidak lengkap dan sekadar memberitahu tentang kewujudan projek MRT dan bukan mengenai kerja kontraktor secara khusus.
“Dalam taklimat tidak diperjelaskan tentang jenis teknologi dan butiran pengangkutan sedangkan perkara itu perlu difahami oleh semua kontraktor,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohamad mencadangkan agar Prasarana menjadikan mana-mana negara sebagai contoh yang mempunyai kekutan dari segi projek MRT.
Menurutnya, ia boleh dijadikan sebaai model kerana projek tersebut membabitkan pengangkutan berkelajuan tinggi yang memberi impak besar kepada negara.
Jadual lengkap
Ketua Jualan Green Business JV Trust, Dennis McMahon menyifatkan taklimat tersebut sepatutnya mempunyai butiran lengkap meskipun ia mungkin dianggap sebagai peringkat awal sebelum penilaian prakelayakan dibuat.
Justeru katanya, jadual lengkap mengenai setiap pakej kerja serta gambaran sebenar peringkat yang membabitkan penyertaan kontraktor perlu dibentangkan.
“Ini termasuk butiran mengenai kerja-kerja kejuruteraan awam dan elektrikal supaya cadangan, idea dan pertanyaan dapat dikumpulkan untuk dipertimbangkan.
“Kami sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan kerana masing-masing dapat memenuhi kehendak projek yang disesuaikan dengan keupayaan kontraktor,” katanya.
McMahon berkata, apa yang lebih penting adalah pelan utama kerana sistem dan kerja-kerja pembinaan adalah sebahagian projek terbabit.
“Jika diberi peluang, kami sedia menyumbangkan hasil yang boleh dipelbagaikan sama ada secara skala kecil, hubungan kerjasama atau sub-kontrak,” katanya.
Seorang rakan niaga, M. Kartik berkata, kontraktor berasaskan perniagaan hijau seperti dia turut menyuarakan minat dengan tawaran projek MRT bagi memastikan segala kerja-kerja berjalan lancar dan mesra alam sekitar.
“Teknologi hijau adalah pengkhususan kami, namun taklimat yang disampaikan oleh pihak Prasarana tidak banyak mendedahkan apa yang sebenar diperlukan oleh kontraktor menyebabkan kami tidak pasti tentang kesesuaiannya dengan projek MRT.
“Justeru, kami memerlukan rundingan yang lebih baik supaya kerja-kerja seperti sistem, struktur dan penyelenggaraan dapat dinyatakan dalam cadangan,” katanya.
Wujud konsortium
Kontraktor Gabungan Cekap Bina Sdn Bhd, Ahmad Tajuddin Abu Bakar berpendapat bahawa oleh kerana segelintir kontraktor tempatan tidak mempunyai kepakaran tinggi maka peluang yang ditawarkan menerusi sub-kontraktor amat bertepatan.
“Projek MRT merupakan sebuah projek mega dan penyertaannya sudah tentu membantu memacu aliran tunai serta pertumbuhan perniagaan syarikat,” katanya.
Tajuddin yang bersedia menerima tawaran itu meskipun sekadar peringkat sub-kontraktor dalam projek tersebut berkata, terdapat pelbagai jenis kontraktor yang hadir maka dicadangkan supaya taklimat susulan diadakan untuk kumpulan khusus.
Katanya, sebagai usahawan tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kumpulan khusus seharusnya membentuk satu konsortium untuk projek mega ini.
“Tidak dinafikan kekangan kewangan merupakan satu faktor untuk mewujudkan sebuah konsortium serta aspek lain seperti kepakaran dan keupayaan. Jika diberikan peluang, ia dapat menunjukkan bakat yang ada pada syarikat kami dan satu penggerak bagi menyaingi syarikat lain dalam industri,” kata Tajuddin.
Nilai kelayakan
Taklimat untuk Para Kontraktor bagi Projek Transit Aliran Pantas (MRT) Lembah Klang Jajaran Sungai Buloh-Kajang itu dibentangkan oleh Pengarah Kumpulan Bahagian Pengurusan Projek Prasarana, Zulkifli Mohd Yusof. Ia meliputi jenis kerja dalam projek MRT seperti pembinaan terowong bawah tanah, struktur landasan atas, trek dan sistem.
Zulkifli berkata, taklimat itu bertujuan memberi lebih kefahaman kepada kontraktor tentang pakej kerja, sama ada mereka berada dalam kedudukan pra-kelayakan atau tidak.
Sehubungan itu katanya, taklimat tambahan akan diadakan untuk kontraktor dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.
“Peringkat pra-kelayakan bertujuan untuk mengenal pasti kontraktor yang kukuh dari segi kewangan dan mempunyai kepakaran teknikal serta rekod yang baik. Hanya kontraktor yang berada dalam peringkat pra-kelayakan dibenarkan untuk membida tawaran tender,” katanya.
Pra-kelayakan untuk pakej kerja akan dilaksanakan dalam beberapa peringkat terdiri daripada kerja struktur landasan pada awal Mac ini, terowong bawah tanah (suku kedua 2011) serta kerja-kerja membabitkan sistem dan trek (suku ketiga 2011).
Projek MRT merupakan satu daripada lima program utama yang akan dilaksanakan di bawah Greater KL meliputi ibu negara dan bandar satelit di sekitarnya, seperti yang diumumkan pada Bajet 2011.
Prasarana syarikat yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bertindak menyelaras, menjalan dan mempercepatkan projek infrastruktur yang diluluskan kerajaan.
MMC-Gamuda JV Sdn Bhd pula dilantik sebagai Rakan Penyampaian Projek (PDP) dengan peranan sebagai pengurus projek yang ditugas memastikan projek MRT disiapkan mengikut tempoh serta kos yang ditetapkan.
Projek MRT membabitkan laluan sejauh 51 kilometer (9.5 kilometer daripadanya merupakan laluan bawah tanah) dari Sungai Buloh merentasi pusat bandar Kuala Lumpur sehingga ke Kajang dengan 35 stesen.
Jajaran Sungoh Buloh-Kajang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2016 yang bakal menyediakan perkhidmatan rel yang efisien kepada 1.2 juta pengguna dengan anggaran melebihi 400,000 perjalanan sehari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: