USIANYA 123 tahun, tiada apa dapat digambarkan tentang lorong ini hanya laluan kosong, suram dan sepi yang menjadi lantai si peniaga mencari rezeki, sang pengkarya mengekpresikan diri manakala anak muda bermadu kasih.
Namun, itu kisah lalu. Detik 19 Februari menjadi saksi Jalan Hang Kasturi yang dahulunya suram berubah wajah tersenyum indah mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
Inisiatif itu dilakukan oleh Cental Market Sdn Bhd untuk menghidupkan suasana deretan yang dahulunya ibarat pekan ‘mati’ menjelang jam 9.30 malam.
Tidak terkecuali arus pemodenan, Pasar Seni memberi nadi baru kepada lorong itu yang kini dikenali sebagai Kasturi Walk dengan meletakkan ikon Wau Bulan, tersergam indah di tengah-tengahnya.
Ibarat penyambut tetamu, ikon itu menjadi daya tarikan pelancong tempatan mahupun luar negara untuk mengunjungi Kasturi Walk, laluan berbumbung yang dipenuhi dengan 55 gerai berkonsepkan pusat membeli-belah ‘outdoor’.
Menurut Pengurus Kanan Pengiklanan dan Promosi Pasar Seni, Mak Soon Peng, idea kreatif membina wau gergasi itu adalah hasil cetusan Pengarah Urusan Pasar Seni, Bernard Bong sejak mengambili alih bangunan warisan berkenaan daripada Melewar Leisure Sdn Bhd, tujuh tahun lalu.
“Wau itu sendiri sudah melambangkan warisan permainan tradisional rakyat tempatan yang sesuai diangkat menjadi ikon di Kasturi Walk.
“Lagipun pelancong sememangnya sukakan sesuatu yang unik, buktinya sebelum wau itu siap mereka sempat merakamkan kenangan bersama ikon yang masih dalam pembinaan,” katanya ketika ditemui oleh Mingguan mStar baru-baru ini.
Menampilkan konsep pusat membeli-belah yang lebih santai dan unik, Soon Peng berkata deretan gerai menggunakan reka bentuk rumah Melayu tradisonal di sepanjang jalan itu menawarkan pelbagai produk kraftangan tempatan, lukisan, barangan perhiasan dan cenderamata, serta tidak ketinggalan makanan dan minuman yang mampu memenuhi selera pelancong.
Bagi menghidupkan suasana di waktu malam, Kasturi Walk yang dibuka seawal jam 11 pagi hingga 11 malam menjadi penyambung urusan jual beli selepas Pasar Seni tamat beroperasi kira-kira 9.30 malam.
“Pasar seni dan Kasturi Walk ibarat aur dan tebing. Penambahbaikan itu dilakukan bukan untuk persaingan semata-mata tetapi menjadi alternatif kepada pelancong dan penghuni kota yang ingin membeli-belah di waktu malam.
“Pelancong asing sinonim dengan aktiviti sehingga larut malam. Memandangkan Kasturi Walk terletak di tengah-tengah pusat bandar yang sarat dengan hotel bajet, pembukaan gerai-gerai yang tidak ubah seperti pasar malam itu, mampu memukau hati mereka untuk berkunjung ke situ,” jelasnya.
Rentetan menarik fasa demi fasa dilalui Pasar Seni seiring dengan peralihan zaman, Kasturi Walk tidak ketinggalan disuntik dengan pelbagai idea baru dari semasa ke semasa tanpa mengorbankan nilai estetika dan warisan negara yang memiliki gaya klasik serta nostalgia tersendiri.
“Kasturi Walk punya keunikan jika dibandingkan dengan pusat membeli-belah yang lain. Di sini, kami cuba mempromosikan kraf tangan, seni dan budaya masyarakat Malaysia. Jadi, kami mahu tarikan terbaru itu tampil dengan kelainan dan keceriaannya lebih terserlah berbanding sebelum ini,” ujar Soon Peng.
Jika diteliti satu persatu gerai yang terdapat di situ, rata-ratanya produk yang dijual setiap peniaga berbeza antara satu sama lain.
Ia dilakukan demi mewujudkan persaingan sihat sesama peniaga di kawasan yang mempunyai prospek cerah untuk memasarkan produk warisan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Kami akan mengawal setiap produk yang dijual di sini. Sesiapa yang berminat dikehendaki membawa bersama kertas proposal tentang produk yang ingin mereka pasarkan.
Kami tidak mahu berlaku pengulangan jualan barangan sama kerana mahu setiap peniaga dapat menjana pendapatan masing-masing,” tambahnya.
Aspek kebersihan terutamanya ketika melibatkan penjualan makanan dan minuman turut ditekankan pihak pengurusan Central Market Sdn. Bhd di kalangan peniaga.
Memandangkan urusan jual beli di sini banyak bertumpu kepada pelancong asing, kebersihan turut menjadi faktor penting yang berupaya menarik lebih ramai pengunjung untuk menjejak kaki ke sini walaupun seketika.
“Kebersihan amat penting kerana pelancong gemar menikmati makanan tempatan. Jadi kami mahu memastikan kualiti produk yang terdapat di Kasturi Walk terjamin dari segi kebersihannya. Kini, tiada sampah-sarap seperti dulu kerana kami ada tukang cuci yang ditugaskan untuk menjaga kebersihan di kawasan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: