Wednesday, March 2, 2011

UMK, Jabatan Perikanan kaji hasilkan benih ketam nipah


Akuarium disediakan bagi memudahkan proses penghasilan pembenihan ketam nipah.


KOTA BHARU 1 Mac - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Pusat Pengeluaran Perikanan Ikan Laut, Jabatan Perikanan sedang menjalankan kajian penghasilan benih ketam nipah dan pengurusan kesihatannya.

Pensyarah Kanan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) UMK, Dr. Lee Seong Wei berkata, kajian itu untuk mengatasi masalah kekurangan benih ketam nipah yang dihadapi penternak.

Beliau berkata, penyelidikan tersebut dimulakan pada Januari 2010 dan akan berakhir Disember ini.

Katanya, industri ternakan ketam nipah atau nama saintifiknya scylla serrata mempunyai masa depan yang baik untuk dibangunkan kerana mendapat permintaan tinggi dari hotel-hotel dan restoran eksklusif.

Jelasnya, harga ketam nipah di pasaran mampu mencecah RM28 hingga RM40 sekilogram.

"Objektif kajian ini adalah untuk menghasilkan benih ketam nipah dan menghuraikan perkembangan awal embrio serta perkembangan larva di bawah keadaan penetasan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Seong Wei berkata, di bawah kajian itu induk betina ketam nipah yang ditangkap di laut akan dipelihara di dalam tangki fiber.

Beliau berkata, ketam itu akan diberi makan kepah setiap hari sebanyak 20 peratus daripada berat badannya dan air juga akan ditukar setiap hari.

"Ketam nipah akan bersalin kulit sebelum mengawan atau bertelur dan kebiasaannya ketam betina mampu mengeluarkan telur sebanyak tiga kali untuk setiap kali proses mengawan.

"Ketam betina yang membawa telur dikenali sebagai berried female akan diasingkan dan diletakkan secara individu dalam tangki penetasan bagi tujuan pengeraman dan penetasan telur," ujarnya.

Menurut Seong Wei lagi, aktiviti ternakan ketam nipah di negara ini kurang popular berbanding ikan dan udang kerana sumber benih yang terhad.

Katanya, sehingga kini benih ketam nipah hanya diperoleh daripada sumber semula jadi.

"Masa depan akuakultur di negara ini mempunyai peluang cerah sekiranya diusahakan secara komersial terutama melibatkan ternakan hidupan air sama ada ikan, udang, kerang-kerangan, ketam dan rumpai laut.

"Namun, industri ternakan ketam nipah kurang popular kerana kajian mengenai teknik penghasilan benih ketam nipah secara komersial di seluruh dunia masih belum mencapai kejayaan.

"Kami berharap hasil daripada projek ini akan dimanfaatkan oleh para penternak ketam nipah yang menghadapi masalah kekurangan benih ketam nipah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: