Wednesday, March 2, 2011

4,596 pelajar pilih anggota MPP UMP


Badhrulhisham Abdul Aziz mengucapkan tahniah kepada pemenang sambil diperhatikan Yuserrie Zainuddin di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 1 Mac - Seramai 4,596 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menunaikan tanggungjawab memilih perwakilan mereka pada pilihan raya kampus yang berlangsung di dua lokasi iaitu UMP di Gambang dan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik kampus Kuala Pahang, Pekan, baru-baru ini.

Dengan peratusan sebanyak 75 peratus pelajar yang mengundi, proses pengundian bermula seawal pukul 9 pagi dan berakhir pukul 5 petang itu berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.

Proses pengundian bagi pilihan raya kali ini bagi kedua-dua kampus tersebut dijalankan melalui elektronik atau E-Undi bagi memilih anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP bagi sesi 2011/2012.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pemilihan perwakilan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kerusi Kawasan Umum dan Kawasan Fakulti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP UMP 2011/2012 berkata, sebanyak 24 kerusi dipertandingkan tahun ini berbanding 21 kerusi pada tahun sebelumnya bagi mengisi lapan Kerusi Umum, manakala 16 Kerusi Fakulti.

"Tahun ini juga menyaksikan pertambahan calon sebanyak 74 peratus iaitu seramai 53 calon bertanding tahun ini berbanding 39 calon untuk tahun lalu apabila 23 daripadanya merupakan calon pelajar wanita.

"Ini membuktikan mahasiswa UMP mempunyai kesedaran untuk hadir mengundi dan percaya suara mahasiswa didengari," katanya di sini.

Sementara itu, calon dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, S. Mathan Raj dan Norazlin Sarju @ Mohd. Nor diumum menang tanpa bertanding.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz pada pukul 6 petang di Kompleks Sukan UMP di Gambang hari ini.

Dalam pada itu, seorang pemenang kerusi umum yang mendapat undian tertinggi, Shahira Mohd Basir, 22, daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam berkata, beliau akan merealisasikan manifestonya bagi menjamin kebajikan dan keselamatan penuntut di kampus.

Turut sama memenangi kerusi Umum, Mohd. Zulwafi Baharudin, 22, dari fakulti sama yang akan memperjuangkan isu kemudahan mahasiswa terutama di dalam kampus.

Bagi Muhammad Fazli Abd. Halim, 22, dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, dia menghargai kepercayaan rakan-rakan dan akan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan untuk memperjuangkan hasrat pelajar di universiti itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: