![]() |
| Nurafiqah Abd. Latif bersama K. Kamalanathan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Johor Bahru di Pasir Gudang, kelmarin. |
JOHOR BAHRU 1 Mac - Keinginan untuk mengikut jejak langkah dua abangnya yang berjaya ke menara gading memberi motivasi bagi Nur Afiqah Abdul Latiff, 22, untuk belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran.
Berkat sokongan dan dorongan dua abangnya yang dianggap sebagai 'mentor' itu, dia akhirnya berjaya melanjutkan pengajian dalam Diploma Teknologi Pembuatan di Politeknik Johor Bahru.
Lebih manis, usaha gigihnya selama tiga tahun mendalami bidang berkenaan membuahkan hasil apabila turut dinobatkan penerima Anugerah Pengarah Politeknik pada Majlis Konvokesyen Politeknik Johor Bahru di sini semalam.
Menurut Nur Afiqah, selain ibu bapa dan para pensyarah, kedua-dua abangnya itu, turut memberi sokongan untuk dia berjaya.
Mereka ialah Ahmad Tarmizi, 24, dan Ahmad Tarbani, 23, yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam adalah antara individu yang banyak memberikannya inspirasi untuk berjaya dalam pengajiannya.
Anak ketiga daripada enam beradik itu mengakui, sejak kecil dia dan dua abangnya serta adik-beradik lain sentiasa dididik oleh ibu bapa mereka, Napsiah Jaafar, 49 dan Abdul Latiff Bidin, 51, supaya mencintai ilmu.
"Sejak kecil lagi sekiranya saya menghadapi masalah di dalam pelajaran, saya akan merujuk kepada kedua-dua abang saya.
"Kedua-duanya sangat rajin belajar selain cemerlang dalam pelajaran sehingga saya ingin mengikut jejak langkah mereka untuk belajar sehingga ke menara gading," katanya.
Kini, dia yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.68, melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pembuatan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, K. Kamalanathan, 22, pula menganggap anugerah itu sebagai penyuntik semangat untuk menyambung pengajiannya selepas ini.
Pemegang Diploma Mekanikal Bahan yang memperoleh CGPA 3.64 memberitahu, antara rahsia kejayaannya di dalam pelajaran adalah sentiasa menghormati para pensyarah selain mengamalkan konsep belajar secara berkumpulan.
Seramai 1,737 penuntut menerima diploma dan sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Politeknik Johor Bahru Ke-13 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: