Wednesday, March 16, 2011

TM naik taraf rangkaian komunikasi DBKL



TELEKOM Malaysia Berhad (TM), dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini melancarkan projek rangkaian infrastruktur, DBKL*Net merangkumi rangkaian teras perkongsian maklumat antara jabatan dan pejabat cawangan DBKL untuk menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

Naib Presiden Eksekutif, Segmen Kerajaan TM, Datuk Kairul Annuar Mohamed Zamzam berkata, projek usaha sama dua pihak ini menyaksikan pengintegrasian rangkaian merentasi pelbagai operasi DBKL.

Menurutnya, secara tidak langsung mewujudkan satu rangkaian telekomunikasi yang lebih pantas, selamat dan diyakini dengan menggunakan Metro-E pada platform litar suwa.

“Dengan rangkaian yang bersepadu melalui DBKL*Net, ianya akan memperkasakan DBKL bagi menyampaikan perkhidmatan yang lebih seragam dan standard kepada orang ramai.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada DBKL kerana melaksanakan satu inisiatif yang bermanfaat dan berorientasikan rakyat dan TM amat berbangga kerana dapat menyokong DBKL bagi menjayakan projek penting ini,” katanya selepas majlis pelancaran oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.

Kairul Annuar berkata, TM berkedudukan baik untuk menyokong Projek Permulaan (EPP) Kerajaan dengan memberi fokus kepada perniagaan domestik dan bukti pencapaian TM sebagai rakan usaha sama pilihan kerajaan.

Menurutnya, TM sebagai pihak yang berperanan penting, komited kepada pelaburan berterusan dalam infrastruktur komunikasi negara bagi menjayakan agenda kerajaan ke arah merealisasikan e-Kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: