Tuesday, March 22, 2011

Su Kim Pejuang Legasi Budaya Peranakan

Buku Kebaya Tales, salah satu buku yang dihasilkan oleh Su Khim dalam usahanya untuk memperkenalkan budaya masyarakat Baba Nyonya.

BUDAYA Peranakan yang diamalkan oleh masyarakat Baba dan Nyonya di negara iniadalah salah satu budaya yang unik lagi menarik yang banyak dipengaruhi unsur-unsur tradisi Cina seperti meraikan perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tanglung tetapi mengikut acuan budaya tempatan dan penjajah.

Keunikan itu disebabkan ia adalah himpunan pelbagai pengaruh budaya seperti Melayu, Indonesia, Acheh, Bali, Batak, Jawa, Sumatera, Medan, India, Portugis, Belanda dan British. Seiring dengan peredaran masa, budaya menarik itu semakin terhakis dan mungkin pupus sekiranya tidak dipelihara. Budaya ini bermula dari Melaka pada kurun ke-14. Kerana dipengaruhi oleh berbagai-bagai jenis budaya, ia secara beransur-ansur berevolusi sekali gus menyerlahkan keunikan budaya Peranakan pada kurun ke-18 sehingga pertengahan kurun ke-20.

Presiden Persatuan Peranakan Baba dan Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor (PPBNKLS), Dr Lee Su Kim yang gigih dalam usahanya mempertahankan warisan negara itu mengakui budaya Peranakan menjadi semakin lemah ekoran berlakunya modenisasi dan pembaratan.

“Banyak amalan dan adat resam (Baba dan Nyonya) tidak lagi diamalkan kerana kebanyakannya mengambil masa yang lama untuk melakukannya. Misalnya, ramai lupa cara masakan Peranakan seperti ayam buah keluak, ayam pongteh, joo hoo char, achar awak kerana persediaannya sangatlah cerewet, mengambil masa yang lama untuk disiapkan, di samping banyak menggunakan tenaga.

“Perkahwinan Baba Nyonya pula pada masa itu memerlukan tempoh masa 12 hari,” katanya kepada Mingguan mStar.

Lee berkata, perkahwinan campur turut menyebabkan budaya peranakan semakin lemah. Namun bagi Profesor Madya, Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu, kesedaran orang ramai terhadap budaya Peranakan tidak pernah pudar.

Katanya, ini kerana selain Malaysia, minat mendalam terhadap budaya tersebut turut timbul di rantau ini terutamanya Singapura dan Thailand.

“Drama bersiri, The Little Nyonya yang menceritakan tentang kisah rumahtangga keluarga Peranakan ditonton oleh orang ramai bukan sahaja di Singapura bahkan di China dan Thailand.

“Di Thailand misalnya, minat besar terhadap budaya Peranakan menggalakkan komuniti Peranakan untuk menganjurkan satu simposium antarabangsa di Phuket pada Mei tahun lalu yang dihadiri oleh Ratu Maha Chakri Sirindhorn,” katanya.

Tambah Lee, pengiktirafan Bandaraya Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) memastikan kawasan yang didiami kebanyakan Baba dan Nyonya terpelihara sekali gus memelihara kesinambungan budaya Peranakan.

Sebagai Presiden wanita PPBNKLS yang pertama, Lee terus komited mempertahankan budaya Peranakan agar ia terus berkekalan untuk generasi masa hadapan.

Antara usaha beliau termasuk mengadakan projek penyelidikan, menulis buku serta mengadakan bengkel dan syarahan mengenai budaya Peranakan.

“Sekiranya kita tidak mempelajari budaya Peranakan sebanyak yang mungkin, wadah budaya ini akan hilang selama-lamanya. Aktiviti dondang sayang kini jarang dipraktikkan lagi,” ujarnya.

Identiti budaya Baba Nyonya bagi Lee, akan menempuh evolusi dan berubah tetapi dia berazam untuk terus berjuang mempertahankan warisan negara ini. Hasil karyanya, Kebaya Tales: Of Matriarchs, Maidens, Mistresses and Matchmakers (2011) menjadi bukti kepada komitmen tingginya itu.

Buku tersebut mengandungi 13 cerpen mengenai cerita-cerita Baba dan Nyonya yang memilukan, melucukan serta menyentuh perasaan selain menghimpunkan adat resam, kepercayaan, budaya Peranaka, gambar dan foto dari koleksinya sendiri.

l Dr Lee ialah penulis sembilan buah buku termasuk buku paling laris berjudul Malaysian Flavours: Insights into Things Malaysian, Manglish: Malaysian English at its Wackiest dan Nyonya in Texas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: