Tuesday, March 22, 2011

Bilangan Pelanggan Ke Restoran Malaysia Meningkat

Raja Badrulnizam Kamalzaman

RESTORAN Malaysia kini menjadi saingan kepada restoran-restoran Asia di London yang selama ini lebih dikuasai oleh makanan popular dari Thailand, India dan China.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia ke United Kingdom (UK), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata, ini berikutan usaha Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengukuhkan Program Malaysia Kitchen (MKP).

“Perkembangan paling ketara adalah peningkatan bilangan pelanggan berkunjung ke restoran Malaysia di UK terutama di London.

“Walaupun masih baru, namun restoran Malaysia kini menjadi saingan kepada restoran-restoran dari negara Asia lain yang lebih lama menguasai pasaran,” katanya kepada Mingguan mStar dalam satu temuramah di London, baru-baru ini.

Raja Badrulnizam bagaimanapun berkata, MKP akan terus dipergiatkan di UK bagi memastikan restoran Malaysia mendapat tempat di pasaran Eropah.

“Kita mahu cipta persekitaran permintaan yang memberangsangkan terhadap makanan Malaysia yang turut memberi kesan kepada eskport barangan tempatan.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menarik lebih ramai warga asing menjadikan Malaysia sebagai destinasi makanan dunia,” kata Raja Badrulnizam.

Justeru beliau berkata, restoran Malaysia di luar negara merupakan sebahagian daripada MKP dalam perkongsian idea, nilai dan manfaatnya.

Dalam pada itu, Raja Badrulnizam memberitahu, London menjadi tumpuan utama aktiviti promosi makanan Malaysia kerana ia adalah pencetus trend bagi warga dunia.

“Ini membantu menggalakkan orang ramai untuk berkunjung ke restoran Malaysia namun pengusaha perlu meneruskan strategi itu supaya pelanggan kembali semula.

“Oleh itu, pengusaha perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan, menu dan persekitaran yang mendamaikan serta paling utama adalah kualiti masakan,” katanya.

Selain itu Raja Badrulnizam berkata, pengusaha juga boleh membantu mempromosikan produk makanan Malaysia yang digunakan dalam masakan mereka.

“Situasi menang-menang ini dapat meningkatkan lebih ramai pelanggan restoran Malaysia di samping memperluaskan pasaran eksport barangan tempatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: