Tuesday, March 22, 2011

Migrasi Raptor Si Tanjung Tuan Menakjubkan

Pengerusi Jawatankuasa bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohamad Razi Kali (kiri) bersama Maya Karin tidak melepaskan peluang melihat burung pemangsa di Tanjung Tuan dari menara khas.

JIKA di Taiwan aktiviti melihat penghijrahan burung-burung raptor berjaya menarik perhatian 60,000 pemerhati dalam masa dua hari, kini aktiviti yang sama turut menarik perhatian masyarakat di Malaysia.

Menyedari persinggahan ribuan raptor di Tanjung Tuan, Melaka adalah fenomena luar biasa yang hanya dapat dilihat sekali setiap tahun, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) telah mengambil inisiatif menganjurkan ‘Hari Memerhati Raptor’(Raptor Watch) pada 12 dan 13 Mac lalu.

Presiden MNS, Profesor Madya Dr Maketab Mohamed berkata acara tahunan itu dianjurkan bagi memupuk kesedaran orang ramai tentang kepentingan memelihara hutan dan alam sekitar, khususnya hutan Tanjung Tuan yang terletak di antara negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

“Tanjung Tuan dilihat sebagai model eko-pelancongan terbaik kerana ia menjadi lokasi persinggahan burung-burung pemangsa yang berhijrah kerana perubahan musim.

“Menjaga kawasan ini akan memberi kebaikan jangka pendek dan jangka panjang kepada kita,” katanya kepada Mingguan mStar.

Menerusi aktiviti terbesar anjuran MNS yang diadakan sejak tahun 2000 ini, orang ramai bukan sahaja berpeluang melihat kumpulan burung pemangsa berterbangan di sekitar Tanjung Tuan, tetapi juga dapat mengambil bahagian dalam aktiviti berkaitan pemuliharaan alam.

Menjadikan acara lebih menarik apabila Duta MNS, Maya Karin turut ‘turun padang’ memberi sokongan kepada acara ini.‘Raptor Watch’ pada tahun ini telah mengetengahkan tema ‘Mari Bersama - Hutan Untuk Manusia Dan Burung’.

Tahun lalu, pemerhati raptor berjaya merekodkan sebanyak 73,152 ekor raptor yang singgah di hutan rekreasi tersebut dalam masa 43 hari.

“Pada tahun ini pula, lebih 20,000 ekor burung pemangsa berjaya direkodkan dalam masa dua hari,” katanya.

Burung pemangsa yang sensitif

BURUNG pemangsa seperti Grey-faced Buzzard, Oriental Honey Buzzard, Japanese Sparrowhawk, Black Baza dan Chinese Goshawk merupakan spesies burung yang sering dilihat berterbangan di Tanjung Tuan sekitar Mac dan April.

Kumpulan burung ini memilih lokasi ini sebagai lokasi persinggahan disebabkan Tanjung Tuan menjadi laluan pendek yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia.

“Selepas terbang mengembara sejauh beribu-ribu kilometer dari negara seperti Siberia, China, Korea dan Jepun, burung-burung ini akan berehat di Tanjung Tuan sebelum meneruskan pengembaraan ke Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: