Saturday, March 12, 2011

Sivik: Jadikan mata pelajaran teras


BILAKAH kita akan dapat melihat situasi seperti ini atas pada setiap masa. Namun jika kesedaran sivik dijadikan mata pelajaran teras, ia mungkin berlaku. - Gambar hiasan


TULISAN minggu lepas berjaya memenuhkan e-mel Bidai dengan pelbagai cadangan mengenai kesedaran sivik. Malah antara yang mahukan mata pelajaran sivik yang ada sekarang diubah dan dipraktikkan.

Kata mereka dengan hanya menelaah mata pelajaran berkenaan di bilik darjah tidak memadai dengan konteks zaman sekarang.

Ia perlulah dipraktikkan kerana kesedaran itu bukan boleh dipelajari. Tetapi ia lebih kepada perbuatan setiap hari.

Bidai memang bersetuju dengan saranan berkenaan dan merasakan untuk mewujudkan kembali mata pelajaran itu bukanlah perkara yang sukar.

Kita banyak pakar dalam hal ini. Pakar motivasi pun kini semakin ramai dan memberi ceramah dalam pelbagai program televisyen.

Mereka ini boleh dikumpulkan dalam mewujudkan satu sukatan pelajaran baru bagi mata pelajaran kesedaran sivik untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti.

Bukan untuk menambah bebanan pelajar. Tetapi Bidai merasakan ia perlu diadakan kembali dan dipraktikkan bagi membolehkan minda sivik di kalangan generasi muda berada pada tahap tertinggi.

Namun janganlah ia jadi seperti sebelum ini di mana mata pelajaran itu diajar secara melepaskan batuk di tangga. Tidak diambil peduli dan dibiarkan seolah-olah ia bukanlah satu mata pelajaran penting.

Bidai merasakan kesedaran sivik bukan hanya boleh diajar di sekolah semata-mata tetapi ia juga boleh dimasukkan ke dalam kokurikulum.

Walaupun secara relatifnya kita melihat pergerakan Pengakap, Pandu Puteri, Kadet Bersatu, Kadet Polis, taekwondo, silat dan lain-lain aktiviti luar sekolah menitik-beratkan keperluan menghormati antara satu sama lain dan juga menghormati orang yang lebih tua, namun pemahaman mengenai perkara itu masih dianggap longgar.

Apa kata, salah satu cabang pendidikan kokurikulum itu dijadikan aktiviti mengenai kesedaran sivik.

Sebagai contoh, sebagai seorang Pengakap, mereka mempunyai aktiviti kesedaran sivik termasuk membantu warga tua membersihkan laman rumah, membantu mereka yang memerlukan mengecat semula rumah mereka dan pelbagai lagi aktiviti kesedaran sivik.

Tetapi kebanyakan aktiviti itu lebih banyak tertumpu kepada pengakap yang agak muda dan baru. Sepatutnya aktiviti kesedaran sivik itu diteruskan sehingga ke semua peringkat.

Ini termasuk kepada semua aktiviti beruniform dan juga aktiviti kokurikulum yang berasaskan sukan yang lain.

Tidak hanya itu, kelab-kelab sekolah juga perlu dimasukkan elemen kesedaran sivik.

Ini merupakan satu perkara yang perlu menjadi ikutan setiap masa. Ia amat penting dalam membina jati diri seseorang yang juga mampu memberi pengajaran dan pengalaman kepada seseorang itu untuk lebih menghormati dan menyanjung tinggi generasi lebih tua daripada mereka.

Namun apa yang penting di sini ialah siapa yang perlu mengajarnya? Dan berapa kerap ia perlu diajar?

Ia perlu dijadikan pelajaran teras dan tidak keterlaluan jika ia dijadikan mata pelajaran yang wajib lulus.

Kita tidak akan rugi apa-apa jika ia diwajibkan.

Mungkin Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi boleh memikirkan cara terbaik untuk melaksanakan perkara ini.

Mungkin peperiksaan mata pelajaran itu tidak perlu dilakukan dengan cara bertulis, tetapi lebih kepada praktikal yang bagi Bidai ia lebih berkesan.

Ini berikutan jika ia hanya diajar secara teori dan tidak dipraktikkan, matlamat untuk meningkatkan kesedaran sivik tidak akan terhasil. Malah ia akan kembali seperti asal dan tidak dihiraukan oleh generasi muda selepas lulus mata pelajaran itu.

Namun jika ia melalui peringkat praktikal dan perlu dilakukan untuk lulus, maka sedikit sebanyak ia pasti akan ‘sangkut’ di dalam minda dan sanubari mereka.

Tapi apa yang penting ialah mereka yang mengajarnya. Pendidik perlu mempunyai sifat jati diri yang unggul dalam mengajar topik berkenaan. Bukan sekadar nak menghabiskan masa mengajar semata-mata.

Ia perlu dilakukan dengan nilai kesedaran sivik yang sama dan Bidai percaya barulah ia menjadi satu mata pelajaran yang menarik.

Jika tidak dilakukan sekarang, bila lagi?

Fikirkanlah...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: