Tuesday, March 15, 2011

SEMPENA HARI WANITA ANTARABANGSA: Apa Yang Menjadikan Mereka CEO

BUKAN mudah untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam sesebuah organisasi apatah lagi jika yang memimpin itu seorang wanita.

Bukan skeptikal, namun apa yang cuba ditonjolkan di sini ialah, kaum Hawa yang sebelum ini sering dilabel sebagai kaum yang lemah kini boleh duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan golongan lelaki.

Buktinya, kini ramai golongan wanita diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi.

Persoalannya, adakah ia langkah yang tepat memandangkan golongan wanita sering dikaitkan dengan bebanan tanggungjawab terhadap keluarga tetapi diberi peranan penting untuk mengaturkan sebuah organisasi mega bertaraf dunia.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa Ke-100 bulan ini, Mingguan mStar membawakan temubual eksklusif bersama tiga wanita tunggak utama pentadbiran sebuah hospital swasta untuk tatapan pembaca.

Erica Lam

Ketua Pegawai Operasi, Erica Lam

Dalam pada itu, Erica Lam yang juga bertanggungjawab memantau hal ehwal operasi harian hospital berasa amat bertuah kerana organisasi berkenaan mempunyai polisi istimewa yang memihak kepada ibu bekerja yang sentiasa sibuk sepertinya.

“Seperti ramai wanita lain, kami juga bertungkus-lumus mengimbangi tanggungjawab antara kerjaya dan keluarga. Oleh itu kakitangan wanita di sini amat bernasib baik kerana ia mempunyai polisi berorientasi kekeluargaan.

“Kami tidak dibenarkan bekerja sehingga larut malam. Malah hujung minggu juga dikhaskan sebagai cuti rehat agar kami dapat meluangkan lebih masa untuk keluarga,” kata Erica yang menguruskan sendiri keluarganya terutama dua anak berusia 6 dan 8 tahun setelah pembantu rumahnya berhenti kerja pada Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Meski pun bergelar COO, Erica terpaksa bangun seawal 5 pagi untuk menyediakan sarapan pagi dan menghantar anak-anak ke sekolah selain menguruskan tugas-tugas lain seperti mengemas dan membasuh baju.

Seperti Suet Guan dan Engku Marina, beliau juga bersyukur kerana mempunyai suami penyayang yang menjadi tempat bergantung dan tidak pernah lupa memberikan sokongan apabila isteri-isteri ‘perkasa’ mereka pulang dalam keadaan penat.

Tambah Erica, wanita kini menjadi lebih kuat disebabkan sokongan dan kasih sayang keluarga terutama suami. Baginya, amat penting bagi wanita dibesarkan dengan betul dan mendapat pendidikan sewajarnya sebelum mengejar impian berumah tangga serta berjaya dalam kerjaya pilihan mereka.

“Ini penting untuk memastikan pasangan anda tidak menghalang kejayaan anda sebagai wanita, sebaliknya isteri perlu galakkan dan sokongan suami walaupun dia mempunyai kebolehan kerana keyakinan itu datang apabila wanita itu percaya pada dirinya sendiri,” tegas beliau.

Tan Suet Guan

Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Suet Guan

Majoriti kakitangan wanita bukan perkara asing dalam industri penjagaan kesihatan malah profesion dalam bidang perubatan menilai tinggi penglibatan kaum hawa yang secara umumnya lebih perihatin terhadap keperluan pesakit, demikian jelas Tan Suet Guan.

“Banyak industri hari ini diterajui oleh wanita. Di Malaysia, khasnya, industri korporat juga banyak dikendalikan pemimpin wanita begitu juga dengan jawatan dalam kerajaan selain pemimpin parti politik.

“Negara kita banyak memberi peluang kepada wanita berbanding negara maju lain di dunia. Tapi kita juga harus lebih terbuka dan memberi peluang kepada setiap individu dengan menilai kemampuan bukan berdasarkan jantina mereka,” jelasnya.

Suet Guan yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengurusan juga menolak persepsi bahawa majikan wanita lebih condong kepada kakitangan sejantina apabila peluang kenaikan pangkat terbuka dalam organisasi tersebut.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa sistem penilaian pusat perubatan itu berdasarkan indeks pencapaian utama (KPI) yang tidak dipengaruhi diskriminasi sebaliknya mengikut pencapaian dan kemajuan setiap individu tanpa mengira jantina.

“Bagi kami, rasa hormat menghormati sesama individu adalah jauh lebih penting. Atas rasa hormat itu kami menilai prestasi setiap kakitangan berdasarkan sistem KPI untuk memastikan calon layak diberi peluang kenaikan sewajarnya.

Engku Marina Engku Hitam

“Saya juga percaya bahawa keserasian itu penting. Individu yang dilantik itu haruslah calon paling ideal untuk mengisi kekosongan mana-mana jawatan sekali pun,” tegasnya lagi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Engku Marina Engku Hatim

Engku Marina yang berkecimpung dalam industri ini selama 14 tahun pula berpendapat bahawa persaingan di tempat kerja pada hari ini lebih sengit di antara kedua-dua jantina berbanding lebih sedekad lalu.

Menurutnya, ini berlaku apabila generasi baru banyak mengambil iktibar daripada perjuangan rakan-rakan terdahulu yang terpaksa banyak berkorban dan meningkatkan usaha untuk menonjolkan kebolehan serta kemahiran masing-masing berbanding rakan sejawat lelaki.

“Persaingan juga lebih sihat dan positif. Golongan lelaki dilihat lebih terbuka dan faham dengan kebangkitan wanita di tempat kerja justeru banyak isu sensitif yang pernah timbul suatu ketika dahulu terhapus dengan sendirinya.

“Walaupun demikian, segelintir mengakui bahawa bekerja di bawah pemimpin wanita memberikan mereka corak pengalaman bekerja yang agar berbeza berbanding majikan lelaki. Ada yang menganggap positif, ada yang sebaliknya,” ujar beliau.

Beliau turut mengakui beberapa cabaran masih timbul dalam melaksanakan tugas sebagai majikan wanita lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan kakitangan dari pelbagai jabatan di organisasi berkenaan.

“Kami juga berdepan cabaran tersendiri. Terutama apabila berdepan doktor yang mempunyai ego masing-masing. Ada kalanya mereka merasakan lebih pintar membuat keputusan berbanding kami kerana lebih arif dalam aspek perubatan.

“Juga terdapat sedikit sentimen kerana secara tradisinya, doktor lelaki bekerja rapat dengan jururawat wanita. Justeru, mereka sudah biasa dibantu wanita, bukan diarahkan oleh wanita,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: