Saturday, March 26, 2011

Rahsia di sebalik lirik Ramli Sarip


AKAR umbi didikan agama dan seni budaya bangsa Melayu yang melingkari kehidupan Ramli Sarip sejak kecil banyak mempengaruhi jiwanya dalam berkarya.


Imej pakaian dan konsep muzik rock yang ditampilkan oleh penyanyi berusia 59 tahun ini memang sinonim dengannya.

Datanglah apa juga trend fesyen dan muzik, tetapi irama rock yang dikaitkan dengan budaya Barat itu tetap di hati penyanyi warganegara Singapura ini.

Ramli seakan-akan sudah lali dengan pelbagai tohmahan pihak yang skeptikal dengan penampilannya itu selama ini.

Masa yang berlalu hampir empat dekad membuktikan rambut panjang dan seluar jeans lusuh yang membaluti tubuh rocker itu selama ini tidak menjadi kudis buatnya.

Sebaliknya, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Kamelia bersama Sweet Charity pada 1980 itu mendapat gelaran Papa Rock kerana kesetiaannya memperjuangkan muzik itu.

Malah, Ramli yang lahir pada 15 Oktober 1952 ini t urut membuktikan dia bukan rocker yang 100 peratus berpaksikan budaya Barat.

Ini kerana, terdapat banyak lirik dalam lagu-lagu yang dimuatkan dalam albumnya menampilkan mesej ketuhanan. Misalnya, melalui album Bukan Kerana Nama yang diterbitkan pada 1986 dan Ziarah Seni (1994).

Ekoran kecenderungannya dalam lirik lagu berkonsepkan dakwah itu terutama sejak akhir-akhir ini, ada pihak yang mengaitkan Ramli dengan ajaran tasauf.

Tidak bercakap secara terus terang, tetapi huraian ayatnya saat diajukan persoalan itu mampu mencerminkan niat murni beliau.

"Sebenarnya, ajaran tasauf sudah ada sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Saya terhibur dengan elemen itu. Apa yang saya lakukan itu dengan izin Allah. Apa pun semua itu berbalik kepada rasa cinta saya kepada Allah," ujarnya.

Luahan jujur tetapi penuh makna yang mendalam itu menggambarkan rasa tanggungjawab Ramli dalam berkarya menerusi lirik dan lagu ciptaannya.

Dengan pengalaman menyanyi sejak berusia 16 tahun, penyanyi bersuara serak-serak itu tidak menafikan elemen dakwah boleh diselitkan di sebalik lagu-lagu yang menghiburkan.

"Fitrah manusia suka berhibur. Kita juga sukakan hiasan yang cantik dan makanan yang sedap. Hiburan itu salah satu resipinya.

"Dalam hal ini, saya ada banyak 'peluru' (lagu) yang boleh digunakan pada majlis-majlis tertentu termasuklah lagu-lagu rock, etnik dan berkonsepkan puisi. Saya ada lebih 20 'peluru' yang boleh dihalakan untuk tujuan itu (dakwah)," ujarnya.

Sewaktu ditanya rahsia jiwanya yang kental dengan jati diri berteraskan Melayu dan Islam, semua itu katanya, hasil didikan orang tuanya sewaktu dia masih kecil.

Dibesarkan di Muar, Johor, zaman kanak-kanaknya begitu kental dengan elemen-elemen budaya Melayu yang melingkari kehidupannya seharian.

"Sejak kecil saya sudah biasa dengan ajaran Islam dan budaya Melayu. Di Johor yang terkenal dengan bermacam-macam seni budaya seperti kuda kepang dan muzik inang mahupun zapin. Semua itu mempengaruhi saya.

"Pesan bapa saya, kalau mahu buat apa juga perkara hati kita kena bersih dan mengikut jalan yang betul. Pada usia 16 tahun lagi saya sudah mula menyanyi di kelab-kelab malam yang ada bermacam-macam pengaruh seperti arak dan gangster. Kalau tidak kuat iman, habislah (rosak akhlak) saya," jelasnya.

Didikan agama

Didikan agama yang diberi oleh bapanya sukar untuk dilupakan di mana ia diberikan secara tidak langsung dalam nasihat yang penuh lemah lembut.

"Dalam mendidik anak, arwah bapa saya tidak menggunakan kekerasan sebaliknya penuh hikmah di mana akhirnya saya dan adik beradik lain boleh memikirkan apa yang cuba disampaikannya.

"Begitu juga dengan amalan-amalan sewaktu zaman kanak-kanak di kampung dulu seperti berzanji. Arwah bapa saya tidak paksa kami mengikuti kalau ada majlis marhaban atau berzanji tetapi dia suruh fikirkan.

"Apabila sudah dewasa barulah saya dapat memahami apa yang dimaksudkannya. Ini kerana, dalam melakukan kerja-kerja berkaitan amal ibadat ia tiada paksa dan biarlah ia datang daripada keikhlasan hati. Sekarang baru saya tahu peri pentingnya semua itu dalam kehidupan seharian kita," ungkapnya.

Sebagai penyanyi rock paling veteran yang masih menyanyi di persada muzik Singapura dan Malaysia, Ramli tentunya telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis dalam bidang tersebut.

Justeru, beliau bijak mengasingkan antara elemen hiburan yang tidak melampau dalam karya-karya yang dipersembahkannya kepada khalayak.

"Dalam hal ini, kalau tidak diimbangi antara agama dan budaya hiburan, maka kita akan rapuh. Walaupun mendapat jolokan Papa Rock tetapi sebenarnya saya kurang senang dengan gelaran itu. Apa pun saya kena terima.

"Pada masa sama, saya harus bijak menyelitkan elemen dakwah di sebalik lagu nyanyian saya. Contohnya menerusi lagu ciptaan saya berjudul Musafir Rindu yang ditujukan buat golongan yang sudah berusia dan semakin hampir kembali kepada-Nya," ungkapnya.

Beliau yang muncul bersama Sweet Charity menerusi album berjudul Sweet Charity pada 1979, Pelarian (1980), Sejuta Wajah (1981), Penunggu (1982), Batu (1983), Koleksi (1984) dan Berita Gempa (1985) kini sedang dalam proses menerbitkan album dalam bentuk cakera video digital (DVD).

Dengan judul Konsert 40 Tahun Bagaikan Bermimpi yang dirakamkan secara langsung di panggung Esplanade, Singapura tahun lalu merupakan buah tangan terbaru hasil gabungannya semula dengan Sweet Charity.

"Album itu akan diterbitkan pada tahun ini juga di mana DVD itu diedarkan sebanyak 3,000 unit sahaja. Selain DVD turut disertakan ialah 62 muka surat buku kecil yang memaparkan gambar dan sejarah penubuhan Sweet Charity," katanya.

Selepas keluar dari Sweet Charity dan menjadi penyanyi solo pada pertengahan tahun 1980-an, Ramli telah menghasilkan 12 album Solo.

12 album itu bertajuk Ramli Sarip yang diterbitkan pada 1985, Bukan Kerana Nama (1986), Perjalanan Hidup (1987), Istilah (1988), Seni dan Suara (1989), Warisan (1989), Rentak Hidup (1991), Ziarah Seni (1994), Syair Timur (1997), Alive (1999), Raja Rock (2002) dan Kalam Kesturi (2002).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: