HATINYA robek bagaikan dicarik-carik setiap kali mengenangkan kesudahan mahligai yang dibina hanya dikecapi keindahannya dalam tempoh cukup pendek.
Sekelip mata segala perancangan yang diatur dengan teliti semata-mata ingin meluangkan masa bersama isteri tersayang harus dilenyapkan begitu sahaja.
Menerima dugaan yang berlaku dengan sudut pandangan positif, Jimmy Shanley mengakui tidak pernah membenci isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, meskipun berkesempatan tinggal sebumbung selama 20 hari sahaja.
“Tidak ada guna kalau saya bermasam muka dengan isteri sendiri. Sebaliknya saya masih bersabar menanti kepulangannya untuk kembali normal menjalani kehidupan sebagai suami isteri,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! Rabu lalu.
Memaparkan reaksi mimik muka seperti seorang individu yang tidak dibelenggu masalah peribadi, Jimmy sebenarnya tidak sabar untuk menanti kehadiran orang ketiga dalam keluarganya iaitu cahaya mata pertama.
Walaupun, sedikit terkilan kerana mengetahui saat menggembirakan itu daripada mulut orang lain dan bukannya disampaikan oleh isteri sendiri, dia masih lagi mampu mengukir senyuman ikhlas.
Ibu mentuanya, Datin Muniroh Kassim merupakan individu yang memberitahu Jimmy berhubung kandungan isterinya yang ketika itu sudah berusia empat minggu.
Namun disoalnya sendiri, bagaimana perasaan seorang suami apabila sehingga kini tidak berpeluang melihat dengan mata sendiri isteri yang mengandung lima bulan.
Sudah pasti hatinya cukup sepi dan cemburu dengan pasangan lain apabila bibit manis seorang suami yang bakal bergelar ayah tidak dapat dilaluinya.
“Pengalaman untuk sentuh perut isteri yang mengandung perlu dilupakan. Saya tidak macam orang lain yang menemani isteri masing-masing membuat pemeriksaan di hospital.
“Sedih memang sudah tentu saya sedih tetapi saya sentiasa ingatkan kepada diri sendiri ia merupakan ujian untuk menilai tahap kesabaran,” terangnya dengan penuh perasaan.
Membilang hari detik-detik kehadiran cahaya mata, Jimmy mengakui dia bersedia memikul tanggungjawab sebagai ayah dengan mengambil keputusan untuk menjaga sendiri anaknya itu.
Dia begitu yakin dapat mencurahkan sepenuh belaian kasih sayang dan mampu melaksanakan tugas itu tanpa rasa kekok.
|
|
Jadi tidak mustahil, Jimmy mampu bergerak sendiri ke pusat beli-belah untuk menyediakan segala persiapan bagi menantikan kelahiran penyeri rumah tangganya.
“Saya memang terlalu gembira untuk beli barang bayi. Walaupun tidak tahu apa yang diperlukan, saya tidak risau kerana ada pembantu iaitu jurujual.
“Persiapan hampir lengkap, keterujaan pun semakin bertambah meskipun terpaksa berkongsi kegembiraan ini seorang diri,” akuinya yang memilih rona hijau bagi kelengkapan memandangkan masih tidak mengetahui jantina bayinya itu.
Dirinya dari dulu lagi mengimpikan sebuah keluarga bahagia yang sering meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak.
Kini apa yang sedang dilalui bagaikan tidak percaya kerana Jimmy cukup yakin bahawa dia mampu memiliki sebuah institusi keluarga yang ceria.
“Keluar melakukan aktiviti kegemaran keluarga merupakan detik yang paling saya nantikan. Tetapi bila dah jadi macam ini, ia amat menyedihkan,” tuturnya penuh sayu.
Tidak jemu memujuk rayu
Dirinya yang sudah terbiasa berdikari sejak kecil dan tidak malu bertanya membuatkan Jimmy seorang lelaki yang tidak berfikiran mengikut kata hati.
Apa yang ditempuhi tidak pernah membuatkan dirinya bersikap putus asa. Bahkan, dia kuatkan semangatkan melepaskan ego dalam diri semata-mata untuk menyelamatkan kebahagiaan rumah tangga.
Tidak jemu memujuk rayu tidak kira sama ada menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau talian telefon hanya kerana ingin lihat wajah isteri tersenyum kembali kepadanya seperti sedia kala.
Sambil rancak berbicara, renungannya tajam seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang hilang dalam sanubarinya tetapi perjalanan hidup harus ditempuhi jua.
Bila ditegur, dia mengeluh menandakan resah menyelubungi diri kerana tidak tahu bagaimana keadaan isteri dan anak di dalam kandungan.
|
|
“Setiap hari saya menaruh harapan dia membalas SMS atau menjawab panggilan telefon. Saya begitu teringin untuk tahu perkembangan kesihatan isteri dan anak,” luah Jimmy lagi.
Tempoh masa lima bulan hidup bersendirian tidak menimbulkan perasaan dendam terhadap isterinya yang sepatutnya menemani dirinya.
Jika wanita yang disayanginya itu pulang ke pangkuannya, Jimmy memanjat kesyukuran kerana hubungan mereka masih boleh diselamatkan.
Paling penting, dia ingin saling bermaafan sekali gus melupakan segala kepahitan yang telah berlaku. Tiba masanya untuk membuka tirai baru bersama isteri.
“Inilah cabaran bila sudah berumah tangga, apa yang berlaku perlu dimaafkan dan jangan disimpan dalam hati. Benda yang telah terjadi biarkan berlalu, kami berdua kena buka buku baru,” katanya.
Dengar nasihat kaunselor
Menyentuh seperkara lagi yang hangat dibualkan umum adalah tentang dua permohonan Jimmy iaitu permohonan kembali taat dan permohonan nusyuz (bermaksud isteri enggan mentaati perintah suami) yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Jimmy berbuat demikian tanggal Januari 11 lalu bermatlamat mahukan Nursuhaila kembali taat kerana dia didakwa telah meninggalkan rumah selepas 20 hari berkahwin.
Impaknya, pada Rabu lepas, mahkamah yang sama memerintahkan Nursuhaila memfailkan pembelaan terhadap dua permohonan suaminya itu.
Tindakan yang menimbulkan spekulasi mengenai rumah tangganya yang dikatakan semakin rapuh itu sebenarnya menurut Jimmy bukan untuk mengaibkan isterinya itu.
Disebabkan terlalu sayangkan isterinya itulah dia bertindak sedemikian dan ia dibuat bukannya untuk suka-suka tetapi berdasarkan nasihat pakar kaunseling dan tokoh agama.
“Saya tidak buat keputusan melulu tanpa fikir panjang kerana selepas puas pujuk dan kami juga pernah berjumpa kaunselor pada 15 November lalu, keadaan masih lagi sama.
“Mungkin dengan tindakan ini ia dapat menyatukan kembali hubungan kami. Saya perlu banyak bersabar untuk melalui kenangan manis,” tuturnya mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: