Saturday, March 12, 2011

Pencemaran di China kritikal


SELAIN daripasa asap yang dikeluarkan di kilang, China juga berhadapan dengan masalah pelupusan bahan kimia secara terbuka.


KUMPULAN pencinta alam sekitar, Greenpeace, pada Isnin lalu memuji China kerana menetapkan had pencemaran baru tetapi pendekatan yang diambil adalah tidak cukup berbanding paras yang diperlukan negara penyumbang karbon dunia itu.

Menurut media negara tersebut, Kementerian Perlindungan Alam Sekitar China hujung minggu lalu menyatakan ia telah memasukkan nitrogen oksida dan amonia nitrogen ke dalam senarai pencemar utama yang mahu dikurangkan sehingga 1.5 peratus tahun ini.

Nitrogen disertakan dengan keperluan oksigen kimia (COD) iaitu ukuran pencemaran air dan sulfur dioksida dalam senarai pengurangan yang disasarkan Beijing.

"Oleh kerana keadaan mendesak dalam krisis alam sekitar China, sekadar menetapkan sasaran untuk empat pencemar adalah tidak mencukupi," kata pengurus kempen iklim dan tenaga Greenpeace China, Yang Ailun.

Kementerian berkenaan menyatakan bahawa untuk mencapai sasaran, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap industri yang banyak menghasilkan pencemaran seperti pembuatan kertas, tekstil, kulit dan kimia selain menggandakan usaha untuk mengawal pencemaran asap kenderaan.

Kementerian juga akan melabur dalam pembinaan dan penaiktarafan loji rawatan air sisa serta membangunkan teknologi bagi mengurangkan pencemaran kilang.

Menurut Ailun, kerajaan perlu mewujudkan sistem pemantauan yang efektif bagi memastikan setiap langkah dilaksanakan dan tindakan pantas dikenakan ke atas mereka yang melanggarnya.

China yang pada November lalu mengakui 'peranan' sebagai pengeluar terbesar gas rumah hijau. Ia juga adalah antara negara dunia yang mengalami pencemaran udara terburuk berikutan perkembangan pesat sejak 30 tahun lalu. Perkembangan itu bagaimanapun turut menjejaskan alam sekitar.

Pembangunan ekonomi

China telah membelanjakan berbilion dolar untuk membersihkan alam sekitar namun setakat ini masih enggan mengurangkan kadar pencemaran, dengan alasan ia akan menjejaskan pembangunan ekonomi.

Republik itu pada tahun lalu menyatakan tekad untuk memperlahankan kadar pencemaran dengan mengurangkan penggunaan tenaga per unit KDNK kepada 40 hingga 45 peratus dari paras tahun 2005 hingga 2020, yang pada dasarnya merupakan 'sumpah' mereka terhadap penggunaan tenaga lebih efisien.

Menurut Kementerian Alam Sekitar China, pencemaran teruk dan penggunaan sumber yang besar menyebabkan China diselubungi masalah alam sekitar yang genting seterusnya berkemungkinan menjejaskan perkembangan ekonomi jika tidak diatasi dengan betul.

Menterinya, Zhou Shengxian juga memberi amaran bahawa kestabilan sosial yang menjadi isu penting kerajaan juga berdepan dengan risiko berikutan peningkatan kebimbangan masyarakat terhadap kesihatan.

"Dalam ketamadunan China sejak beribu-ribu tahun dulu, konflik antara manusia dan alam sekitar tidak pernah seserius seperti hari ini.

"Pengurangan, kerosakan dan kehausan sumber serta keadaan ekologi yang bertambah buruk kini menyekat pembangunan ekonomi dan sosial negara," tegasnya dalam satu esei yang disiarkan dalam laman web kementerian itu.

Penilaian risiko

Jelas Shengxian, pihak berkuasa akan mewujudkan sistem penilaian risiko perubahan pencemaran udara dan perubahan iklim. Ia akan mengambil kira risiko pemanasan global untuk mempertimbangkan pembangunan projek baru seperti pembinaan kilang.

"Kita akan menerima balasan buruk malah kerugian yang tidak dapat ditafsirkan jika kita tidak ambil peduli mengenai konflik antara manusia dan alam sekitar," ujarnya.

China selaku ekonomi kedua terbesar dunia, masih lagi dengan alasannya bahawa negara membangun perlu diberikan kelonggaran tentang pencemaran. Hakikatnya, 'selera' penggunaan tenaga di negara itu terus meningkat.

Tahun lalu saja menyaksikan peningkatan 5.9 peratus berbanding 2009 iaitu 3.25 bilion tan pembakaran arang jika mengikut data rasmi.

Negara itu banyak bergantung kepada penggunaan arang batu menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pembekalan tenaga.

Sejak 2009, insiden keracunan yang besar berlaku berulang kali dan ia dikaitkan dengan pencemaran.

Bulan lalu saja, seramai 28 orang kanak-kanak termasuk beberapa bayi di Anhui, wilayah timur negara itu, dikejarkan ke hospital kerana keracunan plumbum akibat pencemaran dari sebuah kilang bateri tempatan.

Laporan awal bulan lalu pula memaklumkan bahawa sebanyak 10 peratus daripada padi yang ditanam di China mungkin dicemari dengan unsur logam berat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: