Saturday, March 12, 2011

Budaya tempatan dalam komik




KAKINYA yang berotot gagah diselubungi sut ketat, dadanya yang sasa dihiasi simbol kekuatannya selaku adiwira. Bagaimanapun, dia bukan hero popular Barat seperti Superman atau Batman. Dia adalah Shaktimaan, pelindung kepada manusia - sekurang-kurangnya di India.

Dunia animasi di India kini diwarnai dengan kehadiran komik-komik adiwira tempatan yang jauh berbeza daripada adiwira Barat.

Dalam satu komik lain, watak Nagraj yang digambarkan berkulit hijau dan beracun menentang kejahatan bersama ular-ular, iaitu makhluk yang dipuja di seluruh India.

Sementara itu, Shakti bermata tiga yang dibaluti pakaian kulit harimau bintang dan kalung tengkorak menyeru dewa kematian Hindu, Kali, bagi memerangi gejala pembunuhan anak perempuan.

Hero yang ditonjolkan dalam komik terbaru itu berasal daripada lingkungan dan mitos di India serta dikurniakan kuasa yang diberikan oleh dewa Hindu.

Tidak hairanlah, industri komik di India yang dianggarkan bernilai AS$65 juta (RM197 juta) membina harapan untuk diterjemahkan dalam media baru seperti animasi televisyen, filem aksi, pengiklanan dan pengedaran digital melalui Internet.

Penerbit komik India berkeras menyatakan kehadiran karektor tempatan adalah kaedah terbaik dalam menghubungkan kehendak masyarakat di samping mendidik mereka tentang budaya.

Bagi golongan itu, formula yang digunakan membenarkan mereka menandingi komik-komik Barat dan Jepun sejak tahun 1960-an, ketika komik pertama India dilancarkan melalui siri-siri Amar Chitra Katha yang berdasarkan epik Sanskrit purba Mahabarata dan Ramayana

"Kita tidak memerlukan adiwira baru, kita mempunyai banyak adiwira sebelum ini.

"Ideanya adalah menggunakan jalan cerita dan mitologi tempatan dalam format komik untuk mengajar kanak-kanak mengenai sejarah dan budaya mereka," kata Pengurus Permasaran ACK Media, Rushabh Sanghavi.

Syarikat itu terlibat menerbitkan siri-siri Amar Chitra Katha dan juga siri kegemaran kanak-kanak seperti Tinkle.

Komik Hollywood


WATAK Nagraj, adiwira berkuasa ular mendapat sambutan ramai di India.


Industri berkenaan pernah suram sekitar tahun 1990-an dengan kehadiran komik-komik Barat dan filem-filem Hollwood yang mengambil alih pasaran terbuka negara itu.

Bagaimanapun, dalam dekad-dekad terakhir ini, ia kembali bangkit melalui suntikan dana dan penggunaan teknologi baru dalam percetakan, animasi, pendigitan dan pengedaran.

Negara itu melihat potensi awal melalui penerbitan animasi pertama berciri panjang pada tahun 2005 yang mengambil ksah dewa Hindu, monyet Hanuman, Beberapa komik termasuk Shaktimaan juga diterbitkan ke siri televisyen.

Sejak itu, institut-institut animasi dan syarikat produksi semakin bertambah dan memberi peluang kepada generasi muda meneroka bidang itu berbanding pekerjaan tradisi seperti doktor dan jurutera.

Pengaruh komik juga semakin meningkat. Ia dieksploit untuk mengiklankan apa sahaja daripada gula-gula getah sehinggalah kepada mi segera.

Tentera India turut menggunakannya untuk tujuan pengambil rekrut baru, manakala pihak perbankan menggunakannya untuk menyampaikan arahan kepada kepada kakitangannya.

Persidangan Komik

Keterujaan itu semakin memuncak apabila India menjadi tuan rumah Persidangan Komik buat julung-julung kali yang dihadiri lebih 16,000 pengunjung. Ia satu jumlah yang agak kecil berbanding kehadiran 130,000 pengunjung ketika Comic Con yang berlangsung selama empat hari di San Diego tahun lalu.

Bagaimanapun, sebagai industri yang baru berputik, pencapaian itu amat membanggakan.

Menurut syarikat produksi Twenty Media Online, Jatin Varma, pihak penganjur berjaya mencapai sasaran pelaburan berjumlah AS$40,000 (RM121,000) dan menggalakkan sebahagian pengunjung memakai kostum sepanjang persidangan itu.


INDUSTRI animasi di India sedang berkembang pesat dan ia menjanjikan harapan buat syarikat pengeluar komik.


Berpakaian seperti karakter Jean Luc Picard dari Starship Enterprise, Varma berkata syarikatnya mahu menarik kepercayaan orang ramai terhadap industri itu.

Dalam tempoh tiga bulan lagi, syarikatnya bakal menganjurkan Comic Con selama dua hari di kompleks Dilli Haat di New Delhi.

Ia sekali gus bakal menarik penerbit untuk bertemu dengan juruanimasi bebas, penulis skrip dan mendegar maklum balas peminat-peminat dan pengedar untuk menghasilkan produk baru di pasaran.

"Industri ini semakin berkembang di India. Di peringkat permulaan banyak masalah yang timbul membabitkan pengedaran dan publisiti," katanya.

Adiwira Barat

Namun, terdapat salah faham yang meluas mengenai komik India. Verma menjelaskan, ada antara rakyat di negara itu lebih menggemari adiwira Barat dan menganggap komik India tidak cukup kompleks untuk diterjemahkan dalam bentuk filem.

Lebih daripada itu, banyak pihak di dalam industri tersebut juga tidak menyedari potensi karya mereka yang boleh diangkat menjadi karya filem dan pastinya menguntungkan.

"Kami mahu menghentikan salah faham ini. Kami mahu besarkan skopnya. Ketika ini, orang ramai belum bersedia melihat perubahan," ujarnya.

Sementara itu, ada pengunjung yang memberi pendapat untuk memastikan industri itu lebih berdaya cipta dan pada masa yang sama mengekalkan adiwira yang dapat dikenali masyarakat India.

Daanesh Anand, pelajar ekonomi berusia 21 tahun berkata, dia berharap komik-komik India dapat menonjolkan lebih banyak kelemahan pada watak utamanya.

"Adiwira Barat mempunyai kelemahan dan ia membuatkan jalan ceritanya sukar diduga. Kelemahan Superman ialah kriptonit, begitu juga Batman yang merupakan manusia biasa di mana mindanya boleh dikawal oleh makhluk asing dan sebagainya," katanya.

"Adiwira India pula tidak mempunyai sisi gelap. Mereka mempunyai berkuasa sepanjang masa," ulasnya.

Pencipta watak komik, Karan Vir Arora yang mengendalikan ruang pameran Vimanika Comics memberitahu, dia memanfaatkan watak dewa India seperti Shiva beradu dengan penjahat moden dari dunia abad ke-21.

"Saya meletakkan harapan tinggi dalam tempoh lima tahun yang akan datang," kata Arora.

Lelaki itu yakin kunjungannya ke persidangan komik di San Dieogo tahun lalu telah menyedarkannya bahawa komik adalah medium baru keagamaan dalam menyelesaikan hambatan agama, sosial dan kasta.


BANYAK pengeluar komik menjadikan naskhah mereka sebagai medium untuk menyampaikan pesanan khidmat masyarakat selain memperkukuhkan pemahaman generasi muda tentang isu seperti kesihatan, alam kerjaya dan keagamaan.


"Kami mahu melihatnya dari sudut agama yang mendasari suasana di India," katanya.

Penerbit berjaya

Diamond Comics, merupakan salah satu syarikat yang paling kukuh di India dengan pulangan tahunan sehingga AS$5.6 juta (RM17 juta) berjaya mengukuhkan tapaknya dalam industri.

Ia dilakukan melalui pengekalan karektor komik Everymen of India, iaitu watak lelaki berkumis Chacha Chaudhary, kanak-kanak nakal bernama Pinki dan Billu serta wanita gemuk yang penyibuk, Channi Chachi.

"Anda tidak akan menemui pembunuhan, misteri atau darah di dalam komik kami. Komik kami hanyalah berpaksikan fantasi, kegembiraan dan budaya. Kami mengekalkan adab resam budaya India," kata pengasas dan Pengarah Urusan Diamond, Gulshan Rai.

Bagaimanapun katanya, komik tetap merupakan wadah terbaik untuk mendidik sama ada mengenai kesusasteraan silam, pengundian semasa pilihan raya dan rawatan bagi penyakit kelamin.

Dengan misi berkenaan, Diamond telah menyasarkan komik berbentuk keagamaan bertujuan mengajar masyarakat tentang agama.

Ia juga telah menerbitkan beberapa siri tentang kempen kerajaan pada tahun 70-an. Antara lain ia memperkenalkan watak bidan Sudha yang menjawab persoalan tabu mengenai kesihatan, perancangan keluarga dan kesihatan seksual, lengkap dengan ilustrasi yang mudah difahami.

Setiap bulan, Diamond mengeluarkan kira-kira dua juta komik dan diterjemahkan kepada 21 bahasa sebelum diedarkan di kawasan perkampungan di negara itu.

Ia merupakan potensi besar dalam industri itu dengan kebanyakan penerbit dianggap bertuah sekiranya jualan mereka mencecah 1,000 salinan dan kebanyakan bacaan hanya diikuti oleh komuniti di sesetengah kawasan.

Katanya, mengenali sasaran pembaca, memastikan harga murah, halaman yang penuh warna-warni dan unsur komedi dapat memastikan jualannya mendapat sambutan.

"Kita seharusnya mempunyai keghairahan untuk meneroka pasaran," ujarnya sambil mencadangkan filem dan televisyen India yang selama ini teragak-agak untuk memahami industri komik tempatan agar memberi perhatian yang lebih serius terhadapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: